Follow us

Malaysia: Kabinet Setuju Turunkan Had Umur Mengundi

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-09-19
E-mel
Komen
Share
Seorang wanita Malaysia membuang undinya semasa Pilihan Raya Umum di sebuah pusat pengundian di Kuala Lumpur, 9 Mei 2018.
Seorang wanita Malaysia membuang undinya semasa Pilihan Raya Umum di sebuah pusat pengundian di Kuala Lumpur, 9 Mei 2018.
AP

Kabinet Malaysia pada Rabu sebulat suara bersetuju untuk menurunkan had umur mengundi dari 21 ke 18 tahun sebagai sebahagian daripada pakej komprehensif dalam cadangan untuk meminda perlembagaan untuk memastikan proses pengundian dilakukan dengan adil dan telus.

Bercakap selepas menghadiri mesyuarat kabinet mingguan di Putrajaya, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata keputusan kabinet itu dilakukan hasil perbincangan beliau dengan Suruhanjaya Pilihan Raya dan Peguam Negara Tommy Thomas yang memberikan kelulusan.

Keputusan kerajaan itu merupakan sebahagian daripada usaha Pakatan Harapan untuk memenuhi janji manifesto pilihanraya yang antara lain mahu menurunkan had umur mengundi dari 21 ke 18 dan memperkenalkan sistem pendaftaran pengundi secara automatik.

Dengan menurunkan had umur dari 21 ke 18,  Malaysia kini sama dengan Thailand, Vietnam, Cambodia, Philippines, Brunei, Laos, dan Myanmar dengan had umur 18 tahun manakala Singapura masih kekal dengan had umur 21 tahun sementara Indonesia pula pada umur 17 tahun.

Walaupun mendapat persetujuan kabinet dan Pejabat Peguam Negara, proses untuk meminda had umur mengundi perlu melalui Parlimen terlebih dahulu, kerana perkara itu tertakluk kepada perlembagaan dan memerlukan pindaan.

Syed Saddiq berkata beliau akan berjumpa dengan pemimpin tertinggi parti-parti politik di Parlimen untuk mendapatkan sokongan anggotanya bagi memastikan kerajaan akan mendapat dua pertiga majoriti bagi melakukan pindaan pada perlembagaan.

“Saya ingin mewujudkan dua perkara: kaukus golongan belia dan juga jawatankuasa untuk membincangkan agenda belia, sebagai langkah untuk mendapatkan undi majoriti bagi meluluskan cadangan. Kita memerlukan sokongan mereka.

“Saya percaya dalam perjuangan belia, mereka berkongsi semangat yang sama tentang penurunan had umur ni,” kata Syed Saddiq yang yakin dengan sokongan dari parti pembangkang.

Gabungan parti pemerintah Pakatan Harapan dan rakan sekutunya Parti Warisan Sabah(Warisan) sekarang ini mempunyai 124 kerusi di Dewan Rakyat, kurang 24 kerusi dari 148 yang diperlukan untuk meminda perlembagaan.

Pembangkang sokong

Ketua pemuda PAS Khalil Abdul Hadi pada Ahad berkata partinya yang memegang 18 kerusi di Dewan Rakyat telah menerima isyarat dari kerajaan pusat berkenaan cadangan itu dan sedang melakukan persiapan.

“Umur mengundi akan diturunkan dan akan mencipta keperluan pada parti untuk lebih menghargai dan memahami golongan belia dan remaja supaya kita akan lebih bersedia untuk pilihanraya akan datang,” kata Khalil dalam ucapannya di majlis Muktamar PAS yang ke 64 di Terengganu baru-baru ini.

Selain dari PAS, parti pembangkang lain masih belum mengumumkan komitmen mereka atas cadangan kerajaan termasuklah Umno yang memegang 49 kerusi di Dewan Rakyat.

Yap Swee Seng, pengarah eksekutif  Badan Pemantau Pilihanraya Bersih [BERSIH] mengalu-alukan komitmen kerajaan dan berkata Pakatan berjaya memenuhi salah satu daripada desakan mereka terhadap kerajaan dahulu.

“Ia (penurunan had umur) juga adalah antara cadangan dalam pembaharuan proses pengundian yang dihantar kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi,” kata Yap kepada BeritaBenar.

Beliau menambah, kerajaan seterusnya memenuhi juga janji supaya pendaftaran automatik berlaku sejurus sahaja seseorang mencecah usia 18 tahun dan juga membersihkan daftar pemilih dalam masa yang sama.

Selain dari BERSIH, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi( IDEAS) turut menyambut baik pengumuman kerajaan dan berkata belia sekarang boleh mengundi pada PilihanRaya akan datang pada 2023.

“Ini adalah satu langkah yang signifikan dalam usaha untuk memperkasakan belia untuk lebih melibatkan diri dalam proses demokrasi, sesuatu yang Pakatan laungkan sekian lama,” kata kordinator IDEAS, Aira Azhari dalam kenyataannya.

Selain dari keterujaan sesetengah pihak terhadap pengumuman kerajaan, ada juga yang mengkritik di dalam media sosial yang membandingkan ketegasan kerajaan dalam mahukan had umur lebih rendah mengundi dengan keengganan kerajaan dalam menangani isu perkahwinan bawah umur di dalam negara.

Pakar psikologi klinikal Vizla Kumaresan dalam laman Twitternya berkata dia berharap kuasa politik yang sama turut merangkumi isu perkahwinan bawah umur dan menambah kerajaan baru sudahpun berkuasa selama 131 hari tetapi perkahwinan bawah umur tetap dibenarkan di Malaysia.

Lihat Laman Penuh