Malaysia Kekalkan Had Umur Minimun Perkahwinan Wanita Islam
2021.12.16
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 8.15 petang waktu tempatan ETS - 2021-12-16
Malaysia pada Khamis berkata kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan had umur bagi wanita Islam yang mahu berkahwin daripada 16 kepada 18 tahun selepas banyak negeri menolak cadangan itu, demikian kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam semasa ditanya mengenai keputusan yang telah dicapai pada September lalu.
Idris Ahmad memberitahu Anggota Parlimen bahawa Putrajaya telah menjalankan kajian terhadap cadangan untuk menaikkan had umur minimum melalui forum bersama kerajaan negeri.
“Berdasarkan maklum balas dan pandangan yang kami terima, kebanyakan negeri pada dasarnya bersetuju mengekalkan had umur perkahwinan sedia ada sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang keluar Islam negeri masing-masing,” kata Idris.
Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah bermesyuarat pada 22 September untuk menilai maklum balas terhadap cadangan yang dibuat di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.
“Hal ini ditetapkan semasa Mesyuarat Sekretariat Dasar Perundangan Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Bil. 1/2021 pada 22 September lalu, setelah mengambil kira pandangan daripada negeri-negeri.
“Sehubungan itu Sekretariat berpendapat tidak perlu meminda had umur minimum perkahwinan bagi wanita Islam,” kata Idris semasa menjawab soalan Anggota Parlimen Batu Kawan dari Parti Tindakan Demokratik (DAP), Kasthuri Patto.
Kumpulan hak asasi wanita dan badan bukan kerajaan lain mempersoalkan keputusan dan ketidaktindakan kerajaan itu.
Sehingga kini, hanya Selangor yang meminda had umur perkahwinan minimum yang sah. (Wilayah persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak telah bersetuju, tetapi tidak membuat sebarang perubahan terhadap undang-undang di negeri mereka.
Tujuh negeri iaitu Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan belum lagi memberi persetujuan dengan cadangan tersebut.
Penurunan statistik
Semasa menjelaskan pendirian kerajaan itu, Menteri berkenaan turut memberitahu Anggota Parlimen terdapatnya penurunan jumlah kelulusan permohonan perkahwinan bawah umur dikalangan orang Islam bagi tempoh tiga tahun lepas disebabkan prosedur yang ketat.
Beliau memaklumkan bahawa jumlah permohonan perkahwinan bawah umur turun daripada 2,885 bagi tempoh tiga tahun dan berakhir pada 31 Ogos 2018, kepada 2,098 dalam tempoh lebih lama sedikit dan berakhir pada 31 Oktober.
Idris berkata melalui prosedur baharu setiap pemohon untuk perkahwinan bawah umur perlu melalui penilaian yang ketat, termasuk pemeriksaan latar belakang, yang bertujuan melindungi semua pihak.
"Sekiranya permohonan difailkan oleh pihak perempuan, mereka perlu memberikan alasan, latar belakang pasangan pengantin, latar belakang seksual dan akademik serta wali (penjaga sah)," kata Idris menjawab soalan oleh Anggota Parlimen dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Shaharuzukirnain Abd Kadir.
“Jika permohonan difailkan oleh pengantin lelaki, mereka perlu memberikan alasan kenapa permohonan itu dibuat, latar belakang, tahap persefahaman dalam hal perkahwinan, kebenaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Polis DiRaja Malaysia jika perlu.”
Plan lima tahun
Pada Januari 2020, kerajaan pimpinan PH telah melancarkan pelan lima tahun menangani masalah perkahwinan bawah umur di negara itu.
Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Wan Azizah Wan Ismail berkata rancangan itu dibangunkan selepas mengenal pasti enam faktor yang menyumbang kepada perkahwinan bawah umur, menurut laporan berita tempatan ketika itu.
Wan Azizah, yang juga menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mengakui bahawa ia akan mengambil masa bertahun-tahun untuk meminda undang-undang dan adat berkaitan perkahwinan bawah umur melibatkan kanak-kanak.
Beliau berkata pelan lime tahun yang menyenaraikan 17 strategi dan 58 program telah dibangunkan oleh kementerian berkenaan dengan kerjasama daripada 61 agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan juga UNICEF (Agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).
Dalam laporannya pada masa itu, UNICEF menganggarkan kira-kira 1,500 kanak-kanak berkahwin setiap tahun di Malaysia setakat 2018.
Seorang Anggota Parlimen pembangkang mempersoalkan status rancangan kerajaan PH itu.
“Saya akan tanya Rina Harun (Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Siti Zailah perkara ini sekali lagi – apakah yang berlaku dengan pelan lima tahun untuk menghapuskan perkahwinan kanak-kanak yang dilancarkan oleh Wan Azizah?” ciap Anggota Parlimen DAP Hannah Yeoh di laman media sosial Twitternya pada Khamis.
Pada Mac lalu, Rina telah berikrar komitmen kerajaan dalam menangani perkahwinan bawah umur melibatkan kanak-kanak bagi memenuhi sekurang-kurangnya lapan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan kemiskinan, keselamatan makanan dan kesihatan.
Respon aktivis hak asasi
Komen yang dibuat Idris pada Khamis itu telah menerima kritikan hebat aktivis hak asasi manusia, yang menyatakan bahawa Putrajaya tidak mempunyai kemahuan politik untuk menghentikan amalan perkahwinan bawah umur.
Peguam dan aktivis hak kemanusiaan Latheefa Koya berkata ia adalah sesuatu yang memalukan apabila kerajaan Malaysia yang silih berganti gagal menjalankan tanggungjawab mereka untuk melindungi golongan kanak-kanak yang terdedah kepada bahaya.
Dalam satu siri Tweet, Latheefa menghentam kerajaan yang dikatakan oleh beliau sebagai telah "gagal dari segi moraliti, keberanian, kemahuan politik, dan maruah!"
Ini menjadi lesen/punca pedofilia berleluasa dan menjadikan kanak2 di Malaysia sebagai mangsa! Proses 'grooming' (yang merupakan kesalahan jenayah) akan bermula lama sebelum kanak-kanak ini berusia 16 tahun!" ciap beliau
NGO Sisters In Islam turut serta menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Idris.
"Kenyataan dikeluarkan oleh Senator Idris Ahmad menunjukkan bahawa beliau merupakan seorang yang tidak membaca dan jahil mengenai fakta, bahawa Malaysia adalah negara yang menandatangani Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) pada tahun 1995 dan Konvensyen Hak Kanak-kanak tahun 1994.
"Pada bulan Mei 2021, Malaysia diletakkan pada tangga 112 daripada 156 negara dalam senarai Indeks Kesaksamaan Jantina 2021, dan pada masa yang sama ia berada pada tahap paling bawah bagi rantau Asia Tenggara," kata SIS dalam satu kenyataan pada Khamis.
Badan itu juga menyatakan bahawa kebanyakan negara ASEAN termasuk Kemboja telah menaikkan had umur layak untuk berkahwin kepada sekurang-kurangnya 18 tahun.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.