Kamala Harris Rasmi Pejabat Serantau CDC Bagi Asia Tenggara

Umum sejuta lagi dos vaksin untuk Vietnam, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak enam juta.
Staf BenarNews
2021.08.25
Bangkok, Jakarta, Kuala Lumpur & Manila
Kamala Harris Rasmi Pejabat Serantau CDC Bagi Asia Tenggara Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris berucap semasa merasmikan Pejabat Serantau Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) bagi Asia Tenggara di Hanoi, 25 Ogos 2021.
[Reuters]

Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris pada Rabu merasmikan Pejabat Serantau Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika bagi Asia Tenggara di Hanoi dengan berkata kerjasama Washington dan rantau itu adalah bertujuan untuk meningkatkan lagi tahap kesihatan penduduknya serta keselamatan serantau.

Penubuhan pejabat serantau CDC baharu itu adalah bagi meningkatkan kerjasama kesihatan dengan negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) ketika penularan varian Delta COVID-19 yang amat mudah berjangkit dan menyaksikan peningkatan mendadak dalam jumlah kes harian baharu di beberapa negara di rantau itu.

“Kerjasama kami di Asia Tenggara mempunyai kepentingan bersama terhadap kesihatan rakyat, kekuatan ekonomi dan keselamatan kita secara kolektif,” kata Harris di laman Twitter semasa berkunjung ke Vietnam, yang merupakan sebahagian daripada lawatan rasmi sulung beliau ke Asia Tenggara selepas Singapura.

Pejabat Serantau CDC di Hanoi itu, yang diumumkan oleh Washington pada September tahun lepas, dijangka membantu menyediakan respons pantas terhadap ancaman kesihatan di rantau tersebut, kata Kedutaan AS di Hanoi.

Harris turut mengumumkan tambahan sejuta dos vaksin kepada Vietnam, yang menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan Washington kepada negara itu sebanyak enam juta. AS akan turut menyediakan peruntukan sebanyak $23 juta bagi membantu Vietnam meningkatkan aksesnya bagi mendapatkan vaksin.

Timbalan Perdana Menteri Vietnam dan Menteri-Menteri Kesihatan dari negara anggota ASEAN serta Papua New Guinea hadir semasa Harris merasmikan Pejabat Serantau CDC itu di Hanoi, menurut kenyataan Rumah Putih.

Sementara itu, sehari sebelum kunjungan Harris, China berkata ia akan menyediakan dua juta dos vaksin lagi untuk Vietnam, yang menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan Beijing kepada negara itu sebanyak 2.5 juta – jauh lebih rendah berbanding sumbangan AS.

Persaingan AS dan China dari segi strategik, diplomatik dan ekonomi sedang berlangsung dalam kalangan negara anggota ASEAN dalam isu penghantaran vaksin koronavirus dan pertikaian berkaitan Laut China Selatan.

Sebelum menghulurkan sumbangan kepada Vietnam, yang diumumkan hari ini, Washington berkata setakat ini, ia telah menyumbangkan lebih 23 juta dos vaksin dan lebih $158 juta sebagai bantuan kemanusiaan serta kesihatan kepada negara anggota ASEAN.

Beijing pula telah menyumbangkan dos vaksin dalam jumlah yang lebih kecil berbanding Washington kepada negara anggota ASEAN.

China telah menyumbang kira-kira 17 juta dos – termasuk yang terkini kepada Vietnam sebanyak 2 juta – kepada negara anggota ASEAN, menurut angka yang terdapat dalam laman sesawang Bridge Consulting, sebuah firma penyelidikan yang berpangkalan di Beijing.

Beberapa hari selepas Washington pada Jun menyatakan sumbangan vaksin dan bantuan pandemik yang diberikan itu dibuat‘tanpa sebarang ikatan,’ Beijing turut mengeluarkan kenyataan dengan nada yang sama.

Bagaimanapun, seorang pemimpin negara anggota ASEAN iaitu Presiden Filipina Rodrigo Duterte pada Selasa lepas berkata meskipun “tiada sebarang ikatan dalam sumbangan vaksin COVID-19 China kepada negara itu, tetapi kapal-kapal mereka sudah berada di sana.”

Duterte merujuk kepada kehadiran kapal-kapal China di perairan Filipina berhampiran kawasan Laut China Selatan yang menjadi pertikaian, dengan Beijing mengemukakan paling banyak tuntutan, yang bercanggah dengan award tribunal antarabangsa.

Washington pula mungkin “bersetuju untuk memindahkan IP bagi membolehkan Vietnam mengeluarkan vaksin,” kata Carlyle Thayer, seorang profesor emeritus di University New South Wales di Australia dan Akademi Angkatan Pertahanan Australia di Canberra, kepada Radio Free Asia (RFA), sebuah entiti BenarNews.

CDC milik AS sudah lama menjalin kerjasama dengan negara-negara di Asia Tenggara, menurut Pengarah Amerikanya Rochelle Walensky dalam satu kenyataan. Walensky dan Setiausaha Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan AS Xavier Becerra berada di Vietnam bersama dengan Harris.

“Kerjasama kita yang terjalin sejak sekian lama dengan negara anggota ASEAN di rantau ini telah memperkukuh makmal kesihatan awam, pusat operasi kecemasan dan sistem pengawasan – semua peralatan yang diperlukan ketika pandemik semasa,” kata Walensky.

210825-SEA-MY-Inside.jpg

Penduduk Manila menanti untuk menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 jenis Sinovac yang dibangunkan oleh China di Akademi Holy Trinity, 13 Ogos 2021. [Dante Diosina Jr/BenarNews]

Sistem kesihatan Asia Tenggara hampir kepada “garisan merah”

Negara anggota ASEAN baru-baru ini telah menyaksikan peningkatan mendadak dalam jumlah kes baharu harian susulan kehadiran varian Delta COVID-19 yang lebih mudah berjangkit, kata pakar kesihatan di negara terbabit.

Rantau Pasifik Barat itu menyumbang sebanyak 10 peratus daripada jumlah kes baharu secara global, kata Dr. Takleshi Kasai, yang merupakan Ketua Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang berpangkalan di Manila pada Rabu.

“Di sesetengah tempat, peningkatan kes yang mendadak telah menyebabkan sistem kesihatan terjejas teruk sehingga menghampiran apa yang kita panggil sebagai ‘garisan merah’ – yang menyaksikan jumlah kes kritikal melebihi kapasiti ICU dan hospital tidak lagi mampu memberikan perkhidmatan kesihatan yang diperlukan oleh rakyat,” kata Kasai dalam satu sidang akhbar maya.

“Varian Delta kini merupakan ancaman sebenar – yang menguji keupayaan sistem kesihatan awam kita yang paling kukuh di rantau ini.”

Sebagai contoh, pusat kuarantin di wilayah selatan Binh Duong, Vietnam penuh sesak sehingga melangkaui kapasitinya, dengan pihak berkuasa tempatan mengarahkan pesakit yang belum menunjukkan gejala menjalani kuarantin di rumah, lapor Perkhidmatan Vietnam RFA.

Pada Isnin, Vietnam meletakkan Ho Chi Minh City, bandar kedua terbesarnya, di bawah langkah sekatan pergerakan ketat sehingga September. Vietnam merekodkan sejumlah 354,355 kes COVID-19 dari 27 April, iaitu hari pertama penularan gelombang keempat koronavirus di negara itu, hingga 23 Ogos.

Jiran Vietnam iaitu Laos dan Kemboja turut menyaksikan peningkatan dalam jumlah jangkitan virus itu minggu ini,

Di Manila pula kebanyakan penyedia penjagaan kesihatan terpaksa menolak pesakit dan Hospital Umum Filipina kendalian kerajaan yang memberikan perkhidmatan kepada golongan miskin pada Selasa mengumumkan bahawa ia terlalu sesak dan akan berhenti menerima kes-kes COVID-19 buat sementara waktu.

Sebanyak 73 peratus katil di unit rawatan rapi sejumlah 332 hospital di Manila telah mempunyai pesakit, kata jabatan kesihatan. Jumaat lepas, Filipina melaporkan sejumlah 17,231 kes baharu yang merupakan satu rekod atau angka tertinggi.

Thailand pula melepasi angka sejuta kes COVD-19 minggu lepas manakala Malaysia baru-baru ini melaporkan jumlah jangkitan baharu harian yang tinggi selama beberapa hari dan pada 20 Ogos ia melaporkan sejumlah 23,564 kes, angka tertinggi sejak pandemik melanda negara itu.

Jumlah kes harian COVID-19 di Indonesia telah menurun sejak beberapa minggu kebelakangan ini, bagaimanapun pada 13 Ogos, lebih suku daripada jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu direkodkan dalam tempoh empat minggu sebelum itu. Negara itu merekodkan angka tertinggi dengan lebih 56,000 kes baharu pada 15 Julai dan melepasi angka 3 juta bagi jumlah keseluruhan jangkitan seminggu kemudian.

Marielle Lucenio, Jojo Riñoza dan Dante Diosina Jr dari Manila; S. Adie Zul dari Kuala Lumpur; Ronna Nirmala dari Jakarta dan Nontarate Phaicharoen dari Bangkok menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.