Follow us

Kapal Bantuan Kemanusiaan Malaysia Tiba di Tenggara Bangladesh

Kamran Reza Chowdhury & Hata Wahari
Dhaka & Kuala Lumpur
2017-02-13
E-mel
Komen
Share
Kapal Malaysia - Nautical Aliya, yang mengangkut beratus-ratus tan makanan, perubatan dan bantuan lain bagi warga Islam Rohingya, tiba di pelabuhan Thilawa di Yangon, Myanmar, 9 Feb, 2017.
Kapal Malaysia - Nautical Aliya, yang mengangkut beratus-ratus tan makanan, perubatan dan bantuan lain bagi warga Islam Rohingya, tiba di pelabuhan Thilawa di Yangon, Myanmar, 9 Feb, 2017.
AFP

Kapal Malaysia yang mengangkut bantuan kemanusiaan bagi pelarian Rohingya di tenggara Bangladesh berhenti di tepi pantai sebuah daerah pada Isnin, sebelum pihak berkuasa negara tersebut membenarkannya belayar ke pelabuhan Chittagong untuk memunggah kargo bantuan tersebut.

Sukarelawan yang berada di dalam kapal berkenaan turut akan dibenarkan mendarat di pelabuhan paling sibuk di Bangladesh, sumber kerajaan memberitahu BeritaBenar.

Pada mulanya, pihak berkuasa tempatan tidak memberi kelulusan untuk kapal berkenaan berlabuh di Chittagong dengan alasan keadaan trafik yang sibuk di pelabuhan, dan tidak mampu untuk menampung bekalan bantuan seberat 1,700 tan termasuk makanan, ubat-ubatan, pakaian dan selimut, menurut sumber kapal Malaysia dan juga laporan media.

Dari pelabuhan, bekalan itu akan dibawa melalui jalan darat dari Chittagong ke kem-kem pelarian di Cox’s Bazar, di mana sekurang-kurangnya 66,000 warga Rohingya telah menerima perlindungan daripada tindakan keras tentera sejak beberapa bulan lalu di negeri Rakhine di Myanmar.

"Mudah-mudahan, kapal boleh berlabuh di pelabuhan Chittagong lewat malam Isnin atau awal Selasa. Kami akan membenarkan sukarelawan untuk mengagihkan bekalan bantuan kepada warga Rohingya yang tinggal di dalam kem di Cox’s Bazar, " kata Setiausaha Luar Negara bagu urusan Maritim Bangladesh, Rear Admiral Khurshid Alam kepada BeritaBenar.

Beliau berkata, kerajaan masih belum menentukan berapa ramai sukarelawan dari 230 orang yang mewakili beberapa negara lain  akan dibenarkan untuk turun daripada kapal berkenaan.

Kami akan bertemu dengan mereka dan mengeluarkan visa untuk mereka yang berminat. Kesemua mereka mungkin tidak berminat untuk pergi ke kem pelarian selepas perjalanan selama tujuh jam dari Chittagong, " katanya.

Selepas bekalan itu dipunggah dari kapal, pihak berkuasa akan menyerahkannya kepada Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dan pegawai-pegawai kerajaan dari daerah yang terjejas di Cox’s Bazar, untuk diagihkan kepada pelarian Rohingya.

"Kerajaan Bangladesh juga telah berjanji akan menyalur pelbagai bantuan yang diperlukan sepanjang misi di Cox’s Bazar dan di kem-kem pelarian Rohingya," kata Abdul Azeez Abdul Rahim, seorang rakyat Malaysia yang mengetuai misi bantuan kemanusiaan yang berada di kapal bekenaan, kepada BeritaBenar pada lewat petang Isnin.

"Kami juga amat berterima kasih kepada pegawai Tentera Laut Bangladesh, Nizamul Haque, yang menaiki Nautical Aliya untuk menyambut kedatangan misi Malaysia ke Bangladesh," katanya melalui aplikasi WhatsApp.

Datang dari Myanmar

Kapal itu memasuki perairan Bangladesh selepas belayar dari pelabuhan Yangon, Myanmar, di mana minggu lepas kapal itu memunggah muatan bekalan seberat 500 tan, termasuk beras, mi segera, air bersih dan kit kebersihan. yang akan diserahkan kepada warga Rohingya di Rakhine.

Kapal itu tiba di Yangon pada 9 Feb di tengah-tengah bantahan anti-Rohingya yang diadakan berhampiran pelabuhan itu oleh sekumpulan sami Buddha nasionalis. Pihak berkuasa Myanmar telah melarang kapal daripada berlabuh di Sittwe, ibu negeri Rakhine, dan mereka juga menghalang mana-mana 230 sukarelawan dari turun dari kapal semasa ia berlabuh di Yangon.

Para sukarelawan termasuk doktor dari Turki, Indonesia, China, Amerika Syarikat, Perancis, Thailand dan wilayah Palestin. Walau bagaimanapun, 30 orang telah dibenarkan turun di pelabuhan Yangon bagi menghadiri  majlis penyerahan bantuan berkenaan pada Khamis lepas.

"Ya, kami telah membuat persiapan yang diperlukan untuk menyambut kapal di Chittagong," seorang pegawai Tentera Laut Bangladesh memberitahu BeritaBenar dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Lihat Laman Penuh