KM Bagan Datuk Kapal Generasi Terbaru APMM

Hata Wahari
2017.03.15
170315-my-apmm620.jpg Kapal Ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), KM Bagan Datuk, yang merupakan kapal pertama generasi baru telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Najib Razak di Pelabuhan Klang, Selangor, 15 Mac 2017.
[Ihsan APMM]

Malaysia pada Rabu menerima sebuah daripada enam buah kapal ronda generasi baru - New Generation Patrol Craft (NGPC) yang dilengkapi pelbagai peralatan paling canggih serta laju, kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Kapal pertama yang dinamakan KM Bagan Datuk itu telah dilancarkan oleh Perdana Menetri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor di pelabuhan Klang. Kos keseluruhan bagi kesemua kapal ialah buah RM381.3 juta [AS$85.7 juta].

Lima buah lagi kapal NGPC akan dimiliki sepenuhnya pertengahan tahun hadapan dibina oleh syarikat tempatan, Destini Berhad berdasarkan kepada reka bentuk oleh syarikat Germany Fassmer Shipbuilding.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Ahmad Puzi Kahar memberitahu, kapal peronda KM Bagan Datuk itu, mampu belayar dengan kelajuan 24 knot selain boleh menempatkan sehingga 41 krew Maritim Malaysia.

“Kapal ronda berukuran 44.25 meter itu merupakan aset paling canggih milik APMM dengan dilengkapi radar termoden, meriam berukuran 30 milimeter (mm) serta pesawat tanpa pemandu (UAV).

“KM Bagan Datuk juga mampu melakukan operasi selama 14 hari tanpa perlu mendapatkan bekalan baru dan membolehkan ia melaksanakan operasi berterusan bukan sahaja di Selat Melaka tetapi juga secara berterusan di Selat Singapura dan Laut Sulu yang membabitkan rondaan secara berterusan di kawasan Kawasan Keselamatan Panti Timur Sabah (ESSCOMM),” katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.

Beliau berkata, NGPC itu bakal menaikkan semangat anggota APMM yang berhadapan dengan cabaran dan tanggungjawab keselamatan laut yang kian meningkat.

Sesuai pantau kumpulan pengganas

Ahmad Puzi memberitahu  tentang keupayaan kapal peronda itu untuk memantau 24 jam termasuk keupayaannya untuk memantau pada waktu malam terutamanya di kawasan ESSCOM di Sabah.

Kawasan ESSCOM merupakan kawasan tumpuan utama jenayah rentas sempadan yang sering dilakukan oleh kumpulan Abu Sayyaf yang terdapat di kawasan Selatan Filipina.

“Kepentingan utama APMM ialah memastikan kawasan sempadan negara tidak diceroboh dan kegiatan pelanunan terutama di Selat Melaka, Laut Singapura dan perairan Sabah dapat disekat dan dihentikan,” katanya.

Dalam pada itu, menurut syarikat Destini Berhad yang membina kapal peronda, kapal tersebut dibina untuk misi mencari dan menyelamat, pemantauan maritim dan operasi memadamkan kebakaran yang berlaku ke atas kapal di kawasan perairan.

“Lima lagi NGPC yang kini di dalam pembinaan untuk APMM akan diserahkan mengikut jadual dengan kapal terakhir dijangka akan diserahkan pada Jun 2018,” menurut pengerusi syarikat tersebut Rodzali Daud.

Sementara itu, Perdana Menteri Najib Razak semasa majlis pelancaran kapal berkenaan berkata, APMM telah melaksanakan tanggungjawab yang baik sejak penubuhannya 11 tahun lalu dengan kerjasama Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin.

Katanya, sebelum penubuhan agensi tersebut banyak berlaku aktiviti pelanunan di Selat Melaka di mana pada tahun 2000 sahaja, sebanyak 57 kes pelanunan ke atas kapal dagang telah dilaporkan berlaku.

“Sejak APMM ditubuhkan pada tahun 2005 dan operasi pemantauan dijalankan, aktiviti pelanunan semakin menurun. Pada tahun 2009 iaitu selepas empat tahun penubuhan agensi itu, tidak ada berlakunya sebarang kejadian pelanunan kecuali dua kes pada tahun 2011 dan masing-masing satu kes pada 2014 dan 2015, dan tahun lepas tidak ada kejadian tersebut di kawasan Selat Melaka,`` katanya.

Tambah Najib, APMM bermula dengan hanya 59 kapal tetapi sekarang dilengkapi dengan 255 kapal peronda.

Najib dalam ucapannya turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM740 juta untuk pembinaan tiga buah kapal peronda luar pesisir.

"Kerajaan telah bersetuju memperuntukkan sebanyak RM740 juta kepada APMM untuk membina tiga buah kapal peronda luar pesisir pantai (OPV)," katanya.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.