Laporan: Kementerian Pertahanan tidak endahkan kebimbangan Panglima Tentera Laut berhubung kontrak kapal perang

Sebuah jawatankuasa kerajaan menyatakan bahawa limbungan Boustead Naval Shipyard kekurangan modal yang sewajarnya semasa ia menerima kontrak bernilai AS$2 bilion itu.
Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah & Nisha David
2022.08.19
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Laporan: Kementerian Pertahanan tidak endahkan kebimbangan Panglima Tentera Laut berhubung kontrak kapal perang Kapal Tempur Pesisir (LCS) 1, yang dijadual untuk serahan pada bulan ini, dilihat masih dalam pembinaan di limbungan Boustead Naval Shipyard di Lumut yang terletak dalam negeri Perak, Malaysia 13 Ogos 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Laporan kerajaan yang baru didedahkan mendapati bahawa Kementerian Pertahanan tidak mengendahkan kebimbangan yang dibangkitkan pada 2011 oleh panglima tentera laut Malaysia ketika itu mengenai potensi penyelewengan melibatkan kontrak untuk membina enam kapal perang bagi armada tentera itu – kontrak ketenteraan paling mahal di negara ini.

Kontrak bernilai RM9 bilion (AS$2 bilion) untuk membina enam kapal tempur pesisir itu kini menjadi tumpuan kontroversi awam kerana tidak ada satu pun daripada kapal tersebut diserahkan sejak kementerian menganugerahkan kontrak itu kepada Boustead Naval Shipyard (BNS), syarikat pembuat kapal milik kerajaan, pada 2014.

Dokumen setebal 108 muka surat itu, yang didedahkan kepada umum minggu ini, adalah laporan siasatan kerajaan terhadap projek pembinaan kapal berkenaan.

Laporan itu menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan menolak syor yang dikemukakan oleh Laksamana Abdul Aziz Jaafar, panglima tentera laut ketika itu, untuk reka bentuk kapal perang berkenaan dan meneruskan cadangan yang dikemukakan oleh Boustead.

Menurut laporan itu, reka bentuk tersebut ditukar kepada reka bentuk Gowind pada 11 Julai 2011, tiga hari selepas BNS mencadangkan perubahan itu kepada Kementerian Pertahanan.

“Memetik kenyataan Tan Sri Abdul Aziz, Panglima Tentera Laut ketika itu, keputusan itu dilihat sebagai ‘sesuatu yang amat salah,” menurut laporan tersebut.

Sejak itu, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM6 bilion (AS$1.36 bilion) tanpa menerima satu pun daripada lima kapal pesisir yang dijadualkan untuk penghantaran pada bulan ini.

“Kerajaan sepatutnya mendengar nasihat Tentera Laut kerana ia adalah pihak yang akan menggunakannya,” kata Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia Mohamad Imran Abd Hamid.

Walaupun Abdul Aziz mengesyorkan kapal rekaan Sigma, Tentera Laut terpaksa menerima kapal rekaan Gowind. Pegawai Tentera Laut berkata reka bentuk Sigma telah digunakan oleh Tentera Laut Indonesia di mana ia mempunyai rekod perkhidmatan yang terbukti berkesan.

“Sigma merupakan reka bentuk yang sudah pun terbukti berdasarkan kelas korvet bagi kapal perang, yang mempunyai persamaan dengan reka bentuk kapal kelas frigat," kata Abdul Hamid kepada BenarNews.

Laporan Jawatankuasa Khas Penyiasatan Tadbir Urus, Perolehan Kerajaan dan Kewangan itu turut melahirkan kebimbangan terhadap dakwaan kurangnya usaha wajar yang menyeluruh oleh Kementerian Pertahanan berhubung status kewangan BNS. Ia menyatakan bahawa syarikat itu hanya mempunyai RM130 juta ($29 juta) dalam modal berbayar apabila ia dianugerahkan kontrak tersebut.

“Modal berbayar adalah kurang daripada 2 peratus berbanding jumlah kos projek. Nisbah tersebut menunjukkan keupayaan kewangan syarikat adalah tidak sama dengan nilai projek. Kerajaan akan terdedah kepada risiko tinggi jika BNS gagal menyiapkan projek itu,” menurut laporan tersebut.

Analisis penyata kewangan BNS antara 2014 dan 2018 menunjukkan bahawa syarikat itu telah mengalami kerugian dalam tempoh tiga daripada lima tahun berkenaan.

Jawatankuasa itu melaporkan masalah aliran tunai BNS menyebabkan kelewatan pembayaran kepada pembekal. Akibatnya, pembekal enggan menghantar bahan mentah dan peralatan,
menyebabkan kerja di limbungan terhenti.

Dalam ringkasan laporan itu, jawatankuasa berkenaan mencadangkan agar kerajaan meneruskan BNS sebagai kontraktor tetapi langkah-langkah perlu diambil untuk memastikan projek itu disiapkan mengikut jadual baharu dan tidak melebihi masa yang ditetapkan.

Pegawai BNS tidak segera menjawab permintaan BenarNews untuk mendapatkan ulasan.

Deklasifikasi dialu-alukan

Muhammad Mohan Abdullah, presiden Transparency International Malaysia (TI-M) iaitu sebuah kumpulan pemantau antirasuah berkata organisasinya memuji langkah kerajaan untuk menyahklasifikasikan laporan itu.

“Apa yang kita mahu ialah mereka yang bertanggungjawab atas kegagalan ini tidak terlepas daripada hukuman. Ini adalah wang pembayar cukai dan mesti ada akauntabiliti dari pihak atas hinggalah ke bawah,” katanya kepada BenarNews pada Jumaat.

Menjawab kebimbangan kewangan dalam laporan itu, Muhammad Mohan berkata kegagalan untuk mengenakan tindakan sewajarnya terhadap kontraktor utama itu memberi gambara buruk terhadap kerajaan.

Beliau berkata adalah tidak jelas yang pada masa kontrak ditandatangani pada 2014, BNS mempunyai modal kerja yang mencukupi untuk membiayai projek itu bagi mematuhi tarikh akhir untuk menyiapkan kontrak berkenaan.

Minggu lepas, para pegawai menjemput wartawan ke limbungan Boustead Naval Shipyard di Lumut dalam negeri Perak, di mana mereka ditunjukkan sebuah kapal yang dalam pembinaan.

Wong Kah Woh, pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen, baru-baru ini menyerahkan laporan setebal 250 muka surat yang disediakan pasukan pelbagai parti untuk dibahaskan di Parlimen selepas melakukan penyiasatan selama dua tahun terhadap projek itu.

“Hasil prosiding mendapati projek LCS telah dianugerahkan kepada BNS melalui rundingan terus, dengan kerajaan membayar RM6.083 bilion tetapi tidak ada satu pun kapal LCS yang telah disiapkan walaupun jadual asal menyatakan lima kapal itu bersedia untuk diserahkan pada Ogos 2022,” kata Wong kepada pemberita ketika itu.

Pada Rabu, Wong mengalu-alukan langkah menyahklasifikasikan laporan kerajaan itu dan berkata beliau juga sedang menunggu audit forensik rekod kewangan BNS untuk didedahkan kepada umum.

Barjoyai Bardai, pakar ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak, dalam pada itu menggesa pengkritik kerajaan menunggu hasil siasatan didedahkan oleh pihak berkuasa berkenaan.

"Satu demi satu, ia akan didedahkan sama seperti 1MDB, jadi kita tunggu sahajalah," katanya kepada BenarNews, dengan merujuk kepada berbilion wang yang diselewengkan daripada dana pembangunan negara, 1Malaysia Development Berhad, yang telah membawa kepada pertuduhan rasuah terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor serta pegawai-pegawai lain.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.