Malaysia: Perolehan kapal tempur persisir LCS kini hanya lima buah
2023.01.30
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 2.30 petang waktu tempatan ETS - 2023-01-30
Malaysia telah mengumumkan perubahan jumlah kapal tempur persisir (LCS), projek kontroversi yang lama tertangguh dan menelan berbilion ringgit kepada hanya lima buah daripada jumlah sebenarnya enam yang akan diterima negara itu.
Pengumunan mengenai kekurangan jumlah kapal LCS yang projeknya dianugerah kerajaan kepada syarikat swasta, Bousted Naval Shipyard dibuat oleh Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Isnin tanpa menyatakan sebab atau menjelaskan sama ada kontrak bernilai RM9 bilion (AS$2 billion) itu akan disemak semula.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa menjadi Ketua Pembangkang pernah mencadangkan kepada Parlimen supaya projek pembinaan kapal LCS yang keenam dibatalkan pada Ogos tahun lepas.
“Sememangnya pada asal kita membuat ketetapan untuk memperolehi enam buah LCS. Tetapi semasa kita mengemukakan permohonan semula dan dibincangkan perkara ini, LCS telah dipersetujui untuk dikurangkan kepada lima buah sahaja.
“Keputusan pengurangan perolehan kapal LCS telah dibuat semasa kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek (tahun lalu). Projek LCS memang diteruskan seperti biasa dan pelaksanaannya ketika ini sangat baik…,” demikian kata Laksamana Abdul Rahman Ayob semasa sidang media di Kementerian Pertahanan selepas menyampaikan ucapan sulung mengambil alih jawatan tertinggi TLDM itu.
Menurutnya lagi, TLDM berharap LCS dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan kerana katanya, “kita amat kekurangan aset-aset berkeupayaan tinggi seperti LCS. Dengan adanya LCS ini, kita mampu untuk melaksanakan tugas-tugas pengoperasian dengan lebih cemerlang pada masa akan datang dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.”
Pada 5 Januari lalu, Menteri Pertahanan Mohammad Hassan mengumumkan keputusan kerajaan untuk meneruskan projek LCS sebagai sebahagian daripada agenda meningkatkan kemampuan pertahanan negara itu serta tentera laut.
Beliau dilaporkan sebagai berkata kumpulan pertama kapal tempur berkenaan dijangka memulakan pelayaran seawal Julai 2024.
“Kita akan membuat pertimbangan berasaskan aspek komersial. Kita mahu memastikan kapal-kapal itu disiapkan. Sekiranya tidak kesemua enam buah, empat buah sudah memadai asalkan ia disiapkan dalam tempoh perkhidmatan saya di kementerian ini,” katanya seperti dilaporkan agensi berita nasional, Bernama.
PM perlu jelaskan
Susulan daripada pengumuman Mohamad itu, seorang aktivis yang juga bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Kua Kia Soong mendesak Anwar untuk menjelaskan keputusan kerajaan menyambung semula projek kontroversi tersebut.
Beliau menegaskan Anwar, selaku Perdana Menteri perlu menerangkan kepada rakyat selepas mendesak supaya projek berkenaan dihentikan semasa menjadi ketua pembangkang.
Ujarnya, Anwar perlu memberi jaminan kepada rakyat yang kerajaan tegas untuk menyiasat skandal yang dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang berkhidmat sebagai menteri pertahanan semasa projek tersebut diluluskan.
“Anwar mendakwa wujud penyelewengan dana dan ketirisan yang ketara serta “rasuah besar-besaran. Dengan meneruskan projek LCS ini, Anwar telah membelakangi pendiriannya sendiri sebelum PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15), sewaktu dia menjadi ketua pembangkang,” tegas Kua dalam satu kenyataan.
BenarNews cuba mendapatkan komen daripada Pejabat Perdana Menteri mengenai status terkini pembinaan LCS tetapi tidak mendapat sebarang maklumbalas.
Projek LCS, antara perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah negara itu, mendapat kritikan hebat setelah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tidak sebuah pun kapal itu disiapkan biarpun Malaysia telah membuat bayaran sebanyak RM6.08 billion (AS$1.43 billion) bagi projek berkenaan.
Selepas siasatan selama dua tahun ke atas kontrak bernilai RM9 bilion berkenaan, Pengerusi PAC Wong Kah Wong mendedahkan yang TLDM seharusnya menerima lima buah kapal pada Ogos lalu, namun sehingga ini, tiada sebuah pun kapal telah disiapkan.
Siasatan turut mendapati projek tersebut telah dianugerahkan kepada syarikat pembinaan kapal itu secara rundingan terus.
“Menurut garis masa kami, lima buah kapal LCS sepatutnya telah disiapkan dan diserahkan kepada kita pada Ogos 2022,” ujar Wong ketika membentangkan laporan perolehan LCS pada Ogos tahun lalu.
Isu kelewatan pembinaan kapal LCS menarik perhatian rakyat pada Ogos 2020 semasa pembentangan laporan Ketua Audit Negara di Parlimen. Laporan itu dihasilkan selepas sembilan sesi prosiding yang bermula dari November 2020 sehingga Mac 2022.
Ahmad Zahid yang sebelum ini berkhidmat sebagai menteri pertahanan pada tahun 2011, merupakan antara pegawai tertinggi kerajaan yang telah dipanggil untuk memberi keterangan semasa proses siasatan oleh PAC.
Turut dipanggil adalah bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein, ketua setiausaha Kementerian Pertahanan Muez Abd Aziz, bekas ketua audit negara Ambrin Buang, bekas panglima tentera laut Reza Sany, dan CEO serta ketua pegawai operasi BNS.
Hishammuddin, yang berkhidmat sebagai menteri pertahanan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, telah dilaporkan sebagai berkata kapal LCS pertama dijangka disiapkan pada tahun ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang menjalankan siasatan ke atas projek berkenaan, telah mencadangkan supaya beberapa individu dihadapkan ke muka pengadilan.
Anwar yang pada masa itu adalah Ketua Pembangkang dilaporkan berkata, "Kami mencadangkan supaya Putrajaya menyiapkan projek yang sedang berjalan dan menghentikan projek LCS terakhir bernilai RM571 juta (AS$128 juta), yang masih belum bermula.
“Wang ini patut dipulangkan kepada rakyat untuk menyelesaikan isu kos sara hidup yang makin meningkat dan menyelesaikan isu lain berkenaan kebajikan dan pencen bekas tentera," kata Anwar kepada media di Parlimen pada ketika itu.
Tiada kesan besar
Dalam pada itu seorang penganalisis pertahanan dan geostrategik Muhammad Fuad Mat Noor menyifatkan pengurangan sebuah kapal LCS tidak akan memberi kesan yang besar kepada kemampuan pertahanan laut Malaysia, memandangkan ia lebih baik berbanding pembatalan mutlak projek berkenaan, seperti yang didesak oleh ramai pihak sebelum ini.
“Tentunya, ia mendatangkan masalah, dan sebenarnya tidak banyak yang dapat dilakukan melainkan memperbetulkan kekurangan dan kelompongan dalam proses perolehan negara.
“Lima daripada enam tidak terlalu teruk sebenarnya, namun tentera laut tidak akan berpuas hati sepenuhnya memandangkan mereka memerlukan enam buah kapal menurut plan strategik mereka bagi memenuhi keperluan penguatkuasaan maritim dan pertahanan negara,” ujarnya kepada BenarNews.
Fuad, konsultan bebas yang kadangkala menasihati organisasi kerajaan berkaitan perihal pertahanan berkata, kemampuan kewangan kerajaan mendorong kepada keputusan tentera laut mengurangkan bilangan kapal.
“Penghantaran lewat masih boleh diterima dengan syarat semua peralatan elektronik, sonar, radar dan sistem pertahanan diselenggara.
“Tentera Laut memerlukan kesemua dimensi kemampuan tempur pada kapal-kapal ini. Tentera Laut tidak memerlukan lebih banyak kapal bagi tugasan kawalan dan penguatkuasaan, dan kita memerlukan kapal-kapal yang berkemampuan menjalankan fungsi pertempuran,” jelasnya lagi.
Rakyat Malaysia telah melihat filem yang sama, beberapa kali, menurut seorang lagi penganalisis.
Thomas Benjamin Daniel, penganalisis kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia perlu bersedia untuk berdepan dengan kelompongan sistem pertahanan jika para penggubal polisi tidak serius semasa membuat perubahan dalam sistem perolehan pertahanan negara.
“Jika para penggubal polisi tidak serius untuk merombak cara perolehan pertahanan di negara ini, khususnya kurangnya tindakan ke atas mereka yang gagal menjalankan tugas, maka kita terpaksa menerima hakikat lebih banyak kelompongan dalam sistem pertahanan negara,” kata Daniel kepada BenarNews.