Malaysia Tolak Permintaan Kapal Rusia Berlabuh Di Pelabuhannya
2022.03.01
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 10 malam waktu tempatan ETS - 2022-03-01
Malaysia akan menghalang kapal tangki Rusia, yang berada dalam senarai hitam Amerika Syarikat, daripada berlabuh di mana-mana pelabuhannya minggu depan, demikian pengumuman Kementerian Pengangkutan negara itu pada Selasa, yang berkata ia tidak mahu melanggar sekatan yang dilakukan Washington susulan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Sementara itu, pegawai Kesatuan Eropah menggesa Malaysia, yang berkecuali, supaya menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi mengecam serangan tentera Rusia itu, yang dijadualkan untuk pengundian dalam masa beberapa hari lagi.
Kapal tangki Rusia yang dinamakan Linda itu telah disenaraikan sebagai antara beberapa aset milik Rusia yang dikenakan sekatan oleh Washington dalam dokumen Perbendaharaan Amerika Syarikat yang bertarikh 22 Februari lalu.
Kapal tersebut dijadual tiba pada 7 Mac di Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi, yang terletak di patai barat Semenanjung Malaysia di perairan Selat Melaka, menurut MarineTraffic, sebuah laman web yang menggunakan data berasaskan satelit untuk menjejaki pergerakan kapal di seluruh dunia.
“Memetik laporan media awal minggu ini, kapal yang didaftarkan atas nama Linda atau lebih dikenali sebagai Lady M ini, didakwa turut disenaraikan dalam sekatan antarabangsa,” menurut Kementerian Pengangkutan Malaysia dalam satu kenyataan.
“Sehubungan itu, MOT ingin memaklumkan bahawa pengendali Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) telah menolak permintaan untuk berlabuh di pelabuhan ini agar tidak melanggar sebarang sekatan antarabangsa sebagaimana yang menjadi prerogatif KLIP,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan lewat petang Isnin.
Menurut kenyataan itu, Linda dijangka tiba di Pelabuhan Kuala Linggi pada Sabtu, 5 Mac.
Kementerian akan terus memantau situasi tersebut ‘dari semasa ke semasa untuk tindakan susulan yang mungkin diambil bersandarkan kepada dasar Kerajaan’, menurut kenyataan itu.
Laluan kapal tangki minyak berbendera Rusia, Linda, yang meninggalkan pelabuhan di Oman pada 12 Disember, kini berada lebih 200 batu dari Banda Aceh, Indonesia setakat 12:30 pagi (waktu Malaysia) Rabu, 2 Mac 2022. [MarineTraffic.com]
Sementara itu, beberapa ketua perwakilan diplomatik asing Kesatuan Eropah (EU) di Kuala Lumpur menggesa Putrajaya mengambil tindakan sama semasa undian Perhimpunan Agung PBB, yang berkemungkinan diadakan pada Rabu, mengenai draf resolusi bagi mengecam Rusia kerana melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada 24 Februari.
Duta Perancis, Jerman dan Kesatuan Eropah yang lain berkata Malaysia, sebagai sebuah negara berkecuali, harus menyokong resolusi itu demi kepentingan negara sendiri.
“Malaysia, seperti mana Ukraine, bukanlah sekutu kepada mana-mana pakatan, yang bermaksud bahawa pada akhirnya, satu-satunya pertahanan dan pertahanan muktamad Malaysia adalah terletak kepada prinsip yang perlu dicontohi; integriti wilayah, kedaulatan, kemerdekaan politik, hak untuk membuat pilihan sendiri,” kata Roland Galharague, Duta Besar Perancis ke Malaysia, pada satu sidang media.
Selain itu, Malaysia telah menyokong resolusi yang sama apabila Rusia menyerang Crimea pada 2014, katanya.
“Malaysia mengundi untuk menyokong resolusi itu…dan kami fikir kali ini, kami tidak bercakap tentang Crimea sahaja, kami bercakap tentang seluruh negara itu,” kata ketua perwakilan Perancis berkenaan.
"Kemerdekaan politik Ukraine telah dicabuli dan hak Ukraine untuk memilih aturan keselamatannya turut dicabuli," kata Galharague kepada pemberita.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Duta Besar Ukraine dan Duta Besar Jerman ke Malaysia.
Perbahasan Perhimpunan Agung PBB, yang akan diadakan di bawah prosedur dikenali sebagai ‘Uniting for Peace’ atau Bersatu Demi Keamanan, boleh dilaksanakan apabila negara anggota menggunakan kuasa veto Majlis Keselamatan terhadap resolusi badan tertinggi PBB itu.