Malaysia nafi faktor usia punca kapal perang TLDM karam

Menteri Pertahanan berkata pemeriksaan akan dilakukan terhadap semua kapal perang berusia untuk memastikan ia berada dalam keadaan baik.
Muzliza Mustafa dan Iman Muttaqin Yusof
2024.08.26
Kuala Lumpur
Malaysia nafi faktor usia punca kapal perang TLDM karam Kapal KD Pendekar yang mengalami kebocoran tenggelam sepenuhnya di dua batu nautika perairan Tenggara Tanjung Penyusop, Johor, 25 Ogos 2024.
[Ihsan Tentera Laut Diraja Malaysia]

KEMASKINI pada 1.15 petang waktu tempatan ETS - 2024-08-26

Malaysia menafikan bahawa faktor usia merupakan penyebab kepada karamnya kapal perang jenis pembinasa laju, KD Pendekar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan Johor pada Ahad.

Menteri Pertahanan Malaysia Mohamed Khaled Nordin sebaliknya berkata kapal perang berusia 45 tahun itu tenggelam selepas melanggar objek bawah air yang tidak diketahui semasa menjaga sempadan maritim negara sehari sebelum itu.

“Kita tidak nafikan usia kapal terlalu lama tetapi itu bukan mungkin antara punca kejadian, sebaliknya seperti dikatakan, ia terlanggar objek, jadi ini sedang dibuat kajian," kata beliau kepada pemberita dalam satu acara di Johor.

Mohamed Khaled berkata kementerian sedang menunggu laporan penuh berhubung insiden itu sebelum membuat kenyataan lanjut.

Kapal KD Pendekar yang dibina di Sweden dan ditauliahkan pada tahun 1979 merupakan salah satu daripada 15 armada kapal perang lama yang Malaysia ada pada masa ini.

TLDM memberitahu, ia tenggelam pada pukul 3.45 petang, beberapa jam selepas kebocoran dikesan pada tengah hari dan air laut mula membanjiri kapal.

Kesemua 39 anak kapalnya selamat selepas mereka diselamatkan oleh komuniti maritim, menurut kenyataan TLDM pada Ahad.

Pemeriksaan

Susulan insiden berkenaan, Mohamed Khaled berkata TLDM akan menjalankan pemeriksaan ke atas kesemua 48 kapalnya, lama dan baharu.

“Kita akan membuat pemeriksaan terhadap satu pertiga atau kira-kira 10 hingga 15 kapal TLDM yang telah berusia lebih 40 tahun bagi memastikan aset itu berada dalam keadaan baik,” kata beliau.

Menyedari masalah kebanyakan aset kapal tentera laut sudah semakin berusia, Mohamed Khaled berkata Malaysia sedang membina kapal perang baharu dan dalam proses membeli tiga kapal misi pesisir (LMS) dari Turkiye.

“Kami akan mempunyai lima Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang akan dilancarkan satu persatu setiap tahun selepas kapal pertama memulakan operasinya pada 2026.

“Bagi LMS, [kita akan mendapatkannya] pada Oktober, November, Disember 2027,” katanya.

Projek kapal perang Malaysia yang telah lama tertangguh menelan belanja RM11.2 bilion (AS$2.56 bilion), membabitkan tambahan RM2 bilion [AS$451 juta] daripada kos asalnya, dengan kapal pertama bakal siap dalam tempoh satu tahun setengah.

Negara Asia Tenggara itu juga melakukan perolehan tiga LMS versi yang lebih kecil daripada yang dibina oleh Malaysia dengan pengurangan kebolehan tempur pada harga RM2.5 bilion (AS$571 juta). LMS itu dijangka siap pada 2027.

Dengan aset termasuk jet pejuang Korea iaitu 18 unit kesemuanya juga akan menjadi aset pertahanan yang bakal dimiliki oleh Malaysia dalam tempoh tiga tahun lagi untuk meningkatkan kesiagaannya di Laut China Selatan yang menjadi rebutan beberapa negara.

Mohamed Khaled minggu lalu berkata aset itu bertujuan untuk melindungi kedaulatan negara dan membantu Malaysia melindungi kepentingannya.

Negara itu sudah mempunyai empat LMS yang telah beroperasi setelah membelinya dari China sebelum ini.

Pada Julai lalu, BenarNews melaporkan Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi mendedahkan lebih separuh daripada 49 kapal TLDM telah melepasi tempoh jangka hayat dengan penggunaan secara ‘high-tempo’ selama sembilan hingga 25 tahun disebabkan kelewatan pembelian aset baharu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.