Bot Bawa Pendatang Tanpa Izin Dari Indonesia Karam, 11 Lemas

Bot pancung bawa 50 pendatang tanpa izin dari Indonesia karam akibat cuaca buruk berdekatan Tanjung Balau di Johor dalam kejadian pada 4.30 pagi Rabu.
Iskandar Zulkarnain & Nisha David
2021.12.15
Kuala Lumpur
Bot Bawa Pendatang Tanpa Izin Dari Indonesia Karam, 11 Lemas Pihak berkuasa kesihatan dan keselamatan sedang menguruskan mayat-mayat mangsa bot karam di Tanjung Balau, Kota Tinggi di Johor, 15 Disember, 2021.
[Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia]

Sekurang-kurangnya 11 rakyat Indonesia terkorban dan 25 lagi dipercayai masih hilang selepas sebuah bot yang membawa mereka menyeberangi perairan Selat Melaka dari negara itu ke Malaysia karam akibat cuaca buruk, demikian menurut pihak berkuasa maritim Malaysia pada Rabu.

Kesemua mereka yang berada di atas bot itu dipercayai cuba menyusup masuk ke Malaysia sebagai pekerja tanpa izin melalui jalan tikus yang popular di kalangan sindiket penyeludupan migran ditemui .

“Mangsa yang ditemui mati adalah seramai 11 orang, melibatkan tujuh mayat lelaki dan empat wanita, manakala dianggarkan 25 lagi mangsa masih hilang,” kata Simon Templer Lo Ak Tusa, Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor.

Katanya, seramai 14 lelaki dan wanita lagi yang turut membuat perjalanan sama ditemui selamat di pesisir pantai Tanjung Balau dalam daerah Kota Tinggi yang terletak di tenggara negeri Johor, dengan kesemua mereka kini berada dalam tahanan di Pos Tanjung Sepang bagi melalui proses saringan COVID-19 dan dokumentasi.

Pihak berkuasa maritim itu juga menganggarkan terdapat seramai 50 warga Indonesia yang berada dalam bot pancung semasa kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi di sekitar 20 meter daripada persisir pantai Tanjung Balau.

Pengarah APMM Johor Nurul Hizam Zakaria dalam satu kenyataan pada awal Khamis pula bekata, Maritim Malaysia telah mengaktifkan OP CARILAMAT dan mengatur gerak sepasukan anggota bagi mengesan dan mencari baki mangsa.

"Pesawat AW 139 AGUSTA, kapal KM TEGAS dan bot PETIR 50 turut digerakkan bagi memperkasa operasi tersebut," katanya.

Jumlah keluasan pencarian aset laut adalah seluas 61.88 batu nautika persegi manakala keluasan bagi pencarian aset udara adalah seluas 121.92 batu nautika persegi.

Operasi mencari dan menyelamat berkenaan melibatkan hampir 160 orang anggota dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Insiden malang berkenaan dipercayai yang pertama melibatkan pendatang yang tiba dari perairan Lombok di Indonesia, demikian menurut Simon lagi.

“Ini merupakan kes pertama bot datang dari Lombok, Indonesia dan siasatan akan dimulakan bagi mengesan tekong bot,” tambah beliau.

Ujarnya lagi, kebanyakan kejadian penyeludupan migran dari Indonesia ke Malaysia melalui perairan negeri Johor sebelum ini melibatkan perjalanan dari kepulauan Batam.

Sempadan sukar dikawal

Aktiviti penyeludupan migran dari Indonesia ke Malaysia melalui perairan negeri Johor khususnya di Tanjung Sedili sehingga ke Sungai Johor adalah perkara yang kerap berlaku.

“Terdapat beberapa titik panas aktiviti penyeludupan migran di perairan Tanjung Sedili sehingga ke Sungai Johor, dan Tanjung Balau adalah salah satu dari lokasi berkenaan,” demikian menurut pegawai APMM yang enggan dinamakan kerana tidak mendapat kebenaran bercakap dengan media.

Menurutnya, kedudukan sempadan perairan negeri Johor yang terletak hanya kira-kira 15 batu nautika dari Pulau Karimun dan Pulau Rupat di Indonesia menjadikannya sebagai lokasi pilihan pendaratan migran tanpa dokumen ke Malaysia.

“Perjalanan dari kedua-dua pulau tersebut ke perairan negeri Johor cuma mengambil masa antara 45 minit hingga sejam, menggunakan bot laju,” ujarnya kepada BenarNews.

Menurut pegawai berkenaan, jarak ini hampir sama dengan perjalanan dari Medan, Indonesia ke perairan negeri Selangor.

Ujarnya lagi: “Ini ditambah pula kawasan pesisir yang diliputi dengan hutan belukar atau paya bakau yang memudahkan mereka menyelinap masuk atau keluar.

“Ada tempat yang kurang penempatan kampung-kampung di kawasan terbabit, namun faktor kampung ini bukanlah penyebab utama kerana ada di sesetengah tempat, pendatang menggunakan kawasan kampung untuk keluar atau mendarat.

Bergadai nyawa demi peluang pekerjaan

Ramli Dollah, penganalisis keselamatan serantau di Universiti Malaysia Sabah berkata kedudukan pesisir pantai yang panjang dan lokasi yang dekat di antara dua negara berjiran itu menjadikan sempadan Malaysia poros kepada penyeludupan migran.

“Kedudukan pesisir pantai yang panjang dan jarak yang dekat menjadi cabaran kepada pihak penguatkuasa undang-undang di Malaysia untuk mengawal perairan Malaysia sepenuhnya.

“Ini (penyeludupan migran) meningkat susulan penularan pandemik COVID-19 apabila pihak berkuasa Malaysia mengetatkan kawalan kemasukan rakyat asing. Ini menyebabkan migran tanpa dokumen menggunakan laluan tikus bagi menyelinap masuk ke Malaysia,” katanya kepada BenarNews.

Menurut Ramli lagi, pergantungan Malaysia yang begitu tinggi kepada pekerja migran menjadikan negara berkenaan sebagai tarikan di kalangan pekerja migran.

“Pengantungan ekonomi Malaysia terhadap pekerja migran disebabkan rakyat tempatan kurang berminat mengisi pekerjaan dalam sektor buruh yang dianggap sukar, merbahaya dan kotor menjadikan negara itu syurga di kalangan pekerja asing.

“Peluang pekerjaan yang begitu banyak, upah yang lebih tinggi dan lumayan berbanding di negara asal mereka adalah antara penyumbang kepada kemasukan pekerja migran ke Malaysia,” ujarnya.

Malah menurutnya lagi, adalah tidak mengejutkan jika banyak pihak menganggap pergerakan pekerja migran dari Indonesia ke Malaysia adalah kedua terbesar di dunia selepas pergerakan tanpa izin di sempadan negara Amerika Syarikat dan Mexico.

Menurut laporan Rancangan Malaysia ke-12, sehingga penghujung tahun 2020, jumlah pekerja asing berdaftar di Malaysia dianggarkan sebanyak 1.48 juta - mewakili hampir 10 peratus daripada keseluruhan 16.07 juta tenaga kerja di negara itu.

Tiada angka rasmi bagi bilangan pekerja migran tanpa dokumen di Malaysia namun dianggarkan hampir menyamai jumlah pekerja migran yang berdaftar.

Pada Isnin, Ketua pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 150,000 pekerja migran tanpa dokumen telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi Program Rekalibrasi Pulang Pendatang Tanpa Izin sejak 21 Disember 2020 hingga 8 Disember 2021.

Menurut jabatan itu, tiga negara yang mencatat jumlah tertinggi penghantaran pulang pekerja migran tanpa dokumen adalah Indonesia (77,627), Bangladesh (21,068) dan India dengan 19,087 orang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.