Empat Mangsa Bot Karam Di Kudat Ditemui Selamat
2016.05.12
Kuala Lumpur

Empat orang, termasuk tiga rakyat asing yang dilaporkan hilang di perairan Kudat, Sabah, 11 hari lalu berjaya diselamatkan oleh nelayan Vietnam, kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Ahmad Puzi AB Kahar kepada BeritaBenar .
“Kesemua mereka selamat dan APMM sedang berhubung dengan pihak berkuasa Vietnam untuk membawa mereka balik ke Malaysia,” katanya semasa dihubungi pada Khamis.
Dalam pada itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama, Zubil Mat Som berkata, keempat-empat mangsa yang diselamatkan tu telah dibawa balik dari perairan Vietnam petang Khamis dan dijangka tiba di Kota Kinabalu awal pagi Jumaat.
Sepasang suami isteri warga Sepanyol, bersama seorang lelaki warga China dan wanita tempatan yang dalam perjalanan menaiki bot ke rumah penginapan mereka di Tanjung Simpang, Mengayau, Kudat dilaporkan hilang di perairan Pulau Balambangan, Sabah pada 2 Mei lalu.
Mangsa yang hilang dikenali sebagai David Hernandes Gasulla, 29, dan isterinya, Martha Miguel, 30, Tommy Lam Wai Yin, 44, dan wanita warga tempatan dikenali Armilla Alihassan, 23.
Zubil berkata, Kapal Maritim KM Bistari yang menjalankan operasi di sekitar 240 batu nautika dari perairan Kudat telah menahan sebuah bot nelayan Vietnam bagi menjalankan pemeriksaan biasa.
“Susulan dari itu, tekong bot yang ditahan itu telah memaklumkan mengenai bot rakan senegaranya yang berjaya menyelamatkan sebuah bot karam dengan empat penumpang.
“Tekong itu kemudiannya menghubungi rakannya yang lain serta menyambungkan talian kepada salah seorang mangsa (bernama) Armilla Alihassan,” kata Zubil dalam satu kenyataan media lewat malam Khamis.
Zubil berkata, Armilla memberitahunya bahawa beliau berada bersama salah seorang mangsa, Tommy Lam Wai Yin, manakala dua lagi mangsa berada di atas bot nelayan yang lain.
Bot yang dinaiki keempat-empat mereka dipercayai mengalami kerosakan enjin dan gagal dikesan menyebabkan operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.