Follow us

Jabatan Kastam Rampas Heroin Dalam Durian Sejuk Beku

Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-10-18
E-mel
Komen
Share
Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Malaysia bagi Zon Tengah, Zulkurnain Mohamed Yusuf menunjukkan pek berisi heroin yang disembunyikan di dalam ulas durian sejuk beku pada sidang media di Ibupejabat jabatan itu di Petaling Jaya, Selangor, 18 Okt, 2019.
Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Malaysia bagi Zon Tengah, Zulkurnain Mohamed Yusuf menunjukkan pek berisi heroin yang disembunyikan di dalam ulas durian sejuk beku pada sidang media di Ibupejabat jabatan itu di Petaling Jaya, Selangor, 18 Okt, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada Jumaat berkata satu cubaan menyeludup dadah jenis heroin bernilai hampir 1 juta ringgit ke Hong Kong dengan menyembunyikannya dalam durian sejuk beku berjaya dipatahkan dengan seorang wanita tempatan ditangkap baru-baru ini.

Wanita berusia 35 tahun itu ditangkap pada Isnin selepas pihak berkuasa mengesan kehadiran dadah tersebut yang disembunyikan dalam kulit durian setelah melakukan imbasan terhadap 20 kotak Styrofoam yang diisytiharkan membawa durian segar.

Imbasan itu dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Selangor dengan susulan daripadanya satu serbuan telah dibuat terhadap sebuah syarikat penghantaran yang membawa kepada seorang wanita warga tempatan berusia 35 tahun ditahan pihak berkuasa kastam itu.

“Anggaran dadah yang berjaya dikesan adalah bernilai RM953,000 (AS$227,762),” kata Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Malaysia bagi Zon Tengah Zulkurnain Mohamed Yusuf pada sidang media di Petaling Jaya pada Jumaat.

“Pegawai Kastam di lapangan terbang mengesan objek yang meragukan kira-kira jam 6.15 petang pada 14 Oktober lalu, ketika melakukan imbasan ke atas 20 buah kotak styrofoam yang penghantarannya dijadualkan ke Hong Kong.

“Susulan penemuan berkenaan, pasukan Kastam kemudiannya telah menjalankan pemeriksaan di sebuah premis syarikat penerbangan kargo Raya Airways Sdn Bhd yang beribupejabat di lapangan terbang yang sama.

"Pegawai yang bertugas telah membuat pemeriksaan (ke atas kotak-kotak berkenaan) di Syarikat Raya Airways bersama-sama dengan wakil syarikat berkenaan dan wakil ejen penghantaran.

"Hasil imbasan melalui mesin scanner mendapati terdapat objek yang meragukan ke atas sebahagian dari 20 kotak styrofoam yang diikrar untuk dieksport ke Hong Kong," katanya.

Ikrar barang lain

Zulkurnain menambah satu pemeriksaan rapi telah dijalankan ke atas kotak-kotak dan mendapati sebahagian barangannya tidak menepati ciri-ciri barangan yang diikrar di dalam Borang Kastam 2 iaitu 'Fresh Fruits Durian'.

Pihak berkuasa kemudiannya telah membuka kotak-kotak berkenaan, sebelum menjumpai buah durian yang disejuk beku dan dibungkus dengan kertas.

"Apabila buah durian tersebut dibuka, didapati terdapat ketulan-ketulan mampat berwarna putih yang dibalut dalam plastik lutsinar,” tambah beliau.

Katanya, pihak Kastam menjumpai sejumlah 178 ketulan mampat berwarna putih dengan jumlah berat kesemuanya kira-kira 6.13 kilogram.

Pemeriksaan menggunakan alat pengesan dadah mendapati bahawa bahan putih berkenaan adalah dadah jenis heroin.

Menurut Zulkurnain, wanita yang ditahan itu dipercayai bertanggungjawab menguruskan penghantaran barangan berkenaan, dan pihak berkuasa telah mendapatkan perintah tahanan reman terhadapnya selama lima hari.

Kes berkenaan kini dalam siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Cubaan menyeludup dadah dengan menyorokkan bahan berkenaan di dalam barangan lain bukanlah taktik baru sindiket pengedaran yang berjaya dibongkar pihak berkuasa Malaysia.

Pada Februari lalu, Jabatan Kastam Malaysia berjaya menggagalkan cubaan satu sindiket dadah untuk menyeludup kira-kira tiga juta biji pil Erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM60 juta dengan menyembunyikan barangan berkenaan di dalam ekzos motosikal yang dibawa dari Taiwan melalui Pelabuhan Klang.

Pil-pil berkenaan dijumpai ketika pemeriksaan pihak berkuasa ke atas dua kontena yang mengandungi muatan 139 kotak berisi 1,248 biji ekzos.

Pada September lalu, pihak berkuasa Malaysia turut menumpaskan satu cubaan sindiket penyeludupan 12 tan dadah jenis kokain bernilai kira-kira RM2.4 bilion di Pulau Pinang.

Rampasan dadah kokain berkenaan, yang cuba disorok dengan mencampurkan bahan berkenaan di dalam arang batu, merupakan rampasan terbesar dalam sejarah Malaysia setakat ini.

Polis Malaysia mempercayai yang kokain tersebut dibawa masuk dari negara Amerika Latin, dan Malaysia dijadikan sebagai negara transit.

Lihat Laman Penuh