Malaysia siasat kilang pembekal jenama elektronik Jepun terlibat kes buruh paksa

Syarikat pembuatan produk plastik itu didakwa tidak bayar gaji, rampas pasport pekerja, lapor aktivis hak asasi.
Noah Lee dan Minderjeet Kaur
2024.09.06
Kuala Lumpur
Malaysia siasat kilang pembekal jenama elektronik Jepun terlibat kes buruh paksa Pekerja asing dari Bangladesh bersesak pada saat akhir sebelum Program Rekalibrasi Tenaga Kerja tamat ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, Selangor, 31 Mei 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kementerian Sumber Malaysia melancarkan siasatan ke atas sebuah syarikat yang mengilang produk berasaskan plastik kepada beberapa jenama gergasi Jepun susulan dakwaan berlakunya terlibat dalam exploitasi buruh paksa.

Siasatan itu dibuka selepas aktivis bebas hak asasi pekerja, Andy Hall mengeluarkan satu laporan setebal 15 muka surat memperinci dakwaan pekerja asing di syarikat multinasional, Kawaguchi Manufacturing Sdn Bhd dilayan dengan buruk, tidak dibayar gaji, gaji tidak setimpal serta terpaksa tinggal di penempatan pekerja yang daif.

Kawaguchi, kilang yang mengeluarkan pelbagai jenis bahagian plastik untuk jenama global seperti Panasonic, Daikin dan Mitsubishi beroperasi di Klang, Selangor itu dengan sebahagian besar pekerjanya adalah rakyat Bangladesh, turut mendakwa syarikat berkenaan merampas pasport mereka sebaik sahaja tiba di Malaysia.

“Kementerian Sumber Manusia telah menerima laporan daripada Andy Hall dan sedang menjalankan siasatan mengenai perkara itu,” kata seorang pegawai kementerian berkenaan kepada BenarNews yang enggan dinamakan.

Laporan yang dikeluarkan oleh Hall yang bertarikh 2 September itu turut mendakwa yang pekerja kilang memberitahu yang mereka tidak menerima gaji bagi tempoh yang lama, sehingga mencecah enam bulan.

“Para pekerja juga berdepan dengan ugutan serta intimidasi dari pihak pengurusan kilang apabila cuba bersuara mengenai hak mereka termasuk meminta bayaran gaji dan mengadu mengenai keadaan tempat tinggal yang teruk,” dakwa laporan tersebut.

Selain itu, pengurusan Kawaguchi didakwa mengugut para pekerja yang mereka akan ditahan, dan dihantar pulang atau diambil tindakan oleh pihak berkuasa sekiranya meneruskan protes terhadap syarikat.

“Perbuatan merampas dokumen perjalanan seperti didakwa itu merupakan salah satu indikator perlakuan buruh paksa kerana ia meletakkan pekerja dalam keadaan lemah dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada majikan.

“Keadaan itu sekali gus menyekat kebebasan pekerja untuk bergerak dan menjadikan ia sesuatu yang mustahil bagi mereka meninggalkan negara, menukar pekerjaan atau cuba mendapatkan bantuan perundangan,” kata laporan itu lagi.

Laporan itu juga mendakwa empat orang pekerja yang bersuara mengenai isu tersebut dikatakan telah dihantar pulang ke Bangladesh sebagai satu bentuk hukuman.

Menurut Hall lagi, beliau mendapat tahu mengenai isu dihadapi pekerja asing di kilang Kawaguchi selepas membaca mengenainya melalui laporan berita dikeluarkan media Bangladesh dan seterusnya mengambil tindakan untuk mencari maklumat lanjut.

“Saya kemudian berjaya berhubung dengan pekerja dari kilang tersebut sebelum dapat bercakap dengan tujuh pekerja lain dan mengambil masa kira-kira satu minggu untuk membuat laporan ini,” kata beliau kepada BenarNews.

Maklum balas

Menurut laman mencari pekerjaan Jobstreet, kilang Kawaguchi telah beroperasi di Malaysia sejak 1992 dan merupakan pembekal utama bahagian plastik bagi beberapa jenama pembuat produk elektronik dari Jepun seperti Panasonic dan Sony. Ia dikatakan mempunyai 101 hingga 1,000 orang pekerja.

Sementara itu, menurut Hall, pihak Panasonic dan Daikin telah memberikan maklum balas mereka kepadanya selepas menerima laporan tersebut, di mana syarikat itu turut membuka siasatan terhadap semua dakwaan berkaitan Kawaguchi.

Dalam emel kepada Hall yang dilihat BenarNews, Panasonic berkata, “Pasukan kami telah mula menyiasat sama ada kami mempunyai hubungan dengan Kawaguchi. Kami akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan tersebut.”

Daikin pula memberikan jaminan bahawa ia akan meneliti laporan dihantar Hall bagi menentukan sama ada terdapat keperluan untuk mereka membuat siasatan.

“Teruskan berhubung dengan kami secara kerap, sekiranya kami mempunyai soalan tambahan sementara kami meneliti perkara ini,” kata emel syarikat itu kepada Hall yang dilihat BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.