Jurulatih Kayak Dipenjara Enam Tahun Kendali Dana Pejuang IS

Ray Sherman
2017.04.04
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
170404-MY-kayak-620.jpg Seorang anggota Polis Diraja Malaysia sedang mengawal kereta peronda polis di Kuala Lumpur, 7 Mac, 2017.
AFP

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa telah menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun terhadap jurulatih kayak atas kesalahan membenarkan akaun bank miliknya digunakan untuk membiayai aktiviti keganasan seorang rakyat Malaysia Muhammad Wanndy Mohamed Jedi.

Persuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Ab Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu
ke atas Mohamad Jazrin Mohamad Azaha, 23 tahun selepas beliau mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan terhadapnya dengan mahkamah turut membenarkan hukuman berjalan dari tarikh beliau ditangkap iaitu pada 18 Mei 2016.

Mohamad Jazrin, didakwa secara tidak langsung mengendalikan harta kepunyaan Wanndy, dengan membenarkan deposit sebanyak RM1,990 (AS $449) ke dalam akaun banknya bagi pihak Wanndy.

Khamis lepas, Amerika Syarikat mengisytiharkan Wanndy dan seorang rakyat Indonesia Bahrun Naim, yang disyaki pejuang Negara Islam (IS) berpangkalan di Timur Tengah yang sangat dikehendaki polis di negara masing-masing dalam serangan keganasan berkaitan IS, sebagai Pengganas Global Tentuan Khas.

Pesuruhjaya Kehakiman Ab Karim berkata tertuduh telah dihubungi dan membenarkan wang  didepositkan ke dalam akaun banknya bagi pihak Wanndy, yang secara tidak langsung membantu pengganas.

"Perbuatan awak yang membenarkan Wanndy untuk menggunakan akaun awak dianggap sebagai mengurus harta pengganas, dan tindakan anda boleh menggalakkan pengganas untuk terus menjalankan aktiviti keganasan.

"Ini adalah satu kesalahan yang sangat serius dan melayakkan (awak) untuk dijatuhi hukuman penjara," kata hakim itu sebelum memerintahkan hukuman penjara terhadap jurulatih berkenaan.

Mohamad Jazrin telah membenarkan kemasukan wang sebanyak RM1,990 ke dalam akaun RHB Bank bagi manfaat pengganas di RHB Bank, Jalan Tasik, Gopeng, Kampar, Perak antara 30 Januari hingga 6 Februari 2016.

Beliau juga dikatakan telah dan atas arahan Wanndy, membenarkan simpanan sebanyak
RM2, 000 (AS$451) ke dalam akaun Public Bank milik individu yang tidak dikenali bernama Gulam Aman, pada 10 Feb tahun lepas.

Mohamad Jazrin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kampar pada Jun tahun lepas atas pertuduhan di bawah Seksyen 130Q (1) Kanun Keseksaan, yang boleh membawa kepada  penjara sehingga 20 tahun , atau denda dan harta dirampas daripada yang terlibat dalam aktiviti keganasan. Tiada sebarang pengakuan direkodkan ketika itu.

Berdasarkan fakta kes, Mohamad Jazrin mengenali Wanndy melalui Facebook awal tahun 2015 sebelum berpindah ke aplikasi mesej Whatsapp. Pada pertengahan Jan 2016, Wanndy mencadangkan kepada tertuduh untuk membuka akaun bank bagi tujuan untuk menyalurkan wang bagi pihaknya.

Terdahulu, Peguam P.A Sharon meminta hukuman terhadap anak guamnya bermula dari tarikh beliau ditangkap kerana anakguamnya itu “masih muda".

"Anak guam saya juga telah bertaubat dan belajar agama ketika di dalam penjara dan mahu kembali kepada keluarganya secepat mungkin dan kerana beliau masih muda dan masih mempunyai banyak peluang untuk membetulkan kesalahan," kata beliau.

Sharon berkata Mohamad Jazrin juga telah memberikan kerjasama kepada pihak polis berikutan penahannya telah membawa kepada beberapa pengangkapan lanjutan daripada penahanan suspek-suspek lain.

Timbalan Pendakwa Raya Izhanudin Alias sebelum itu telah memohon kepada mahkamah supaya hukuman lebih berat diberikan dengan alasan untuk menghentikan penyebaran ideologi pengganas di negara ini.

Amat Dikehendaki

Wanndy yang kini berada di Syria bersama isteri dan anaknya, telah memperkukuhkan kedudukannya sebagai seorang pejuang IS yang memberi arahan termasuk melakukan serangan bom tangan di kelab malam Movida di Kuala Lumpur pada bulan Jun, 2016 - serangan pertama yang didakwa oleh IS di Malaysia.

Berusia 26 tahun, Wanndy dikenali di laman sosialnya dengan nama Abu Hamza Al Fateh di Facebook, juga aktif merekrut rakyat Malaysia yang mahu berjuang untuk IS di timur tengah.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh