Pemimpin Dayak Sarawak Kutuk Pembunuhan Aktivis

Dennis Wong
2016.06.21
Kuching, Sarawak
160621-my-sarawak-condemn620 Sekumpulan NGO yang mewakili kaum Dayak menunjukkan perpaduan terhadap Bill Kayong, seorang aktivis hak tanah adat yang ditembak mati pada satu sidang media di Kuching, Sarawak, negeri timur Malaysia, 21 Jun 2016.
[Dennis Wong/BeritaBenar]

Pemimpin masyarakat Dayak dan badan bukan kerajaan NGOs melahirkan rasa terkejut dan marah selepas seorang aktivis hak tanah adat yang berkempen bagi pihak kaum pribumi ditembak mati pada Selasa di satu persimpangan jalan di negeri timur Malaysia, Sarawak.

Aktivis Bill Kayong, 43, dari suku kaum Dayak yang juga merupakan seorang setiausaha cawangan parti pembangkang tempatan, Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang baru-baru ini bertanding bagi kerusi di Dewan Undangan Negeri Sarawak, telah ditembak mati di bandar Miri, semasa beliau sedang memandu ke tempat kerja pada pagi selasa, menurut polis.

"Kayong telah banyak berjasa kepada masyarakat dan kami akan teruskan perjuangan kami. Anda sentuh seorang Dayak, anda menyentuh semua kaum Dayak. Kejadian ini hanya akan menjadikan kami lebih kuat, " kata Peter John Jaban, seorang aktivis hak pribumi Sarawak kepada BeritaBenar pada Selasa.

Pemimpin pribumi di Sarawak - sebuah negeri yang kaya dengan balak dan sebahagian besarnya belum dibangunkan di pulau Borneo, di mana penduduknya didominasi oleh masyarakat suku kaum - menyertai pemimpin-pemimpin masyarakat di seluruh Malaysia mengutuk pembunuhan Kayong itu. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai setiausaha untuk Pedas, sebuah NGO yang menyokong hak bagi masyarakat Dayak di Sarawak.

Berikutan kejadian itu, 13 NGO tempatan yang mewakili puak-puak tempatan mengadakan sidang media di Kuching, ibu negeri itu, telah menyuarakan perpaduan bersama terhadap aktivis yang mati dibunuh itu.

“Memandangkan perbuatan yang tidak masuk akal ini, kami menggesa masyarakat Dayak supaya bertenang dan tidak tergesa-gesa mengambil tindakan undang-undang secara individu," kata Dusit Jaul, Presiden Persatuan Graduan Dayak Sarawak', pada sidang media itu.

"Kami tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai perkara itu. Apa yang kami mahu adalah untuk polis menyiasat dan tidak membiarkan pesalah tidak dihukum. Kami mahu keadilan untuk Kayong," tambah Jaul.

Baru Bian, Pengerusi PKR Sarawak, mengingati Kayong sebagai "seorang lelaki muda yang bersemangat dalam mengejar keadilan untuk rakyat."

“Kita telah kehilangan seorang kawan yang setia dan baik. Kata-kata tidak boleh untuk menyatakan kesedihan dan kemarahan yang dirasai bahawa Kayong ditembak dan terbunuh dengan dengan begitu kejam, "kata Pengerusi PKR itu dalam satu kenyataan.

Kayong, bapa kepada dua anak pernah bertanding bagi kerusi DUN Bekenu pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri bulan lepas, tetapi kalah kepada penyandang Rosey Yunus, anggota  gabungan parti Barisan Nasional yang memerintah Malaysia.

‘Medan pertempuran baru’

Kayong ditembak mati sehari selepas Global Witness, sebuah NGO yang berpangkalan di London, melaporkan bahawa seramai 185 aktivis alam sekitar telah dibunuh tahun lalu di seluruh dunia, yang sekaligus menandakan terdapatnya satu peningkatan sebanyak 59 peratus berbanding 2014.

Antara mereka yang terbunuh ialah enam aktivis dari India, tiga dari Indonesia dan dua dari Thailand. Laporan Global Witness, bertajuk "Medan Pertemuran Yang Berbahaya," [On Dangerous Ground]  memetik kes Salim Kancil, seorang petani Indonesia yang telah membantu kepada protes utama terhadap operasi perlombongan pasir haram di wilayah Jawa Timur telah dipukul, dibunuh dengan kejutan elektrik serta ditikam hingga mati oleh sekurang-kurangnya lebih 10 orang  lelaki dalam bulan September 2015.

"2015 adalah tahun yang paling teruk dalam rekod terhadap pembunuhan melibatkan pembela tanah dan alam sekitar - orang yang berjuang untuk melindungi tanah, hutan dan sungai mereka melalui tindakan aman, terhadap sebarang kemungkinan," kata laporan oleh Global Witness itu.

"Persekitaran telah muncul sebagai sebuah medan pertempuran baru bagi hak asasi manusia. Kerana permintaan bagi produk seperti kayu, mineral dan minyak sawit berterusan, kerajaan, syarikat-syarikat dan penjenayah berkumpulan terus mengeksploitasi tanah dengan mengambil kesempatan terhadap mereka yang hidup di atasnya. "

Sarawak yang kaya dengan sumber semula jadi telah lama menjadi medan pertempuran bagi  kempen advokasi pemuliharaan alam sekitar dan hak tanah kepada suku kaum tempatan. Enam belas tahun lalu, Bruno Manser, seorang aktivis alam sekitar Switzerland telah berkempen untuk hak pribumi di negeri itu, hilang dan dianggap telah mati.

‘Tubuh pasukan petugas khas’


Pada Selasa, polis Sarawak merayu kepada orang ramai untuk membantu dalam mengesan pembunuh Kayong.

"Lampu isyarat di persimpangan itu biasanya sibuk pada waktu pagi dan kami percaya, ramai pemilik kenderaan mungkin telah melihat kejadian berkenaan," kata Dev Kumar, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis, Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, dalam satu kenyataan.

Di Kuala Lumpur pula, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan petugas untuk menyiasat pembunuhan di Sarawak itu, dengan memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai motif kejadian tembakan itu.

"Biar polis menyiasat apa sebenarnya yang berlaku. Kita akan dapat mengetahui, bagaimana dan apakah sebenarnya yang berlaku dalam tempoh terdekat, " kata Khalid seperti dilaporkan oleh akhbar The Star.

Bill Kayong bergambar di Parlimen Malaysia, di Kuala Lumpur, beliau ditembak mati semasa dalam perjalanan ke tempat kerja di bandar Miri, Sarawak pada 21 Jun 2016. [BeritaBenar]

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.