Suspek Utama Kes Pembunuhan Aktivis Sarawak Didakwa

Dennis Wong
2016.12.14
Sarawak, Malaysia
161214-my-kayong620-1.jpg Stephen Lee Chee Kiang, suspek utama dalam pembunuhan pemimpin Dayak dari Sarawak Bill Kayong, tiba di Lapangan Terbang Miri untuk berdepan dengan pendakwaan di mahkamah, 14 Disember, 2016.
[Dennis Wong/BeritaBenar]

Polis Malaysia pada Rabu berkata, pasukannya sedang memburu suspek terakhir dalam kes pembunuhan seorang aktivis hak pribumi Sarawak pada Jun lalu, selepas seorang ahli perniagaan yang juga suspek utama kes berkenaan telah berjaya diekstradisi dari China.

Stephen Lee Chee Kiang, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Miri dalam kes pembunuhan Bill Kayong, seorang aktivis hak tanah dan suku kaum Dayak Sarawak, yang berkempen bagi pihak masyarakat pribumi di negeri yang masih membangun dan kaya dengan balak.

Ahli perniagaan itu, yang telah ditahan dan didakwa beberapa minggu selepas pembunuhan aktivis tersebut pada 21 Jun lepas, didakwa bersubahat dengan pembantu peribadinya, Chin Wui Ching, 50, pemilik pub Lee Chang Loon, 37, dan Pauzi Fitri Mohamad, 29, dan dipercayai menembak Kayong.

Kayong, 43, ditembak mati  di satu persimpangan di bandar Miri sekitar 8:20 pagi semasa memandu ke arah tempat kerjanya.

Polis masih belum selesai dengan siasatan mereka, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Sarawak Dev Kumar memberitahu BeritaBenar. Beliau tidak memberi maklumat lanjut mengenai suspek kelima.

Lee, yang boleh menghadapi hukuman mati, telah meninggalkan negara itu sejurus selepas pembunuhan Kayong. Beliau melarikan diri selama hampir enam bulan sebelum Polis China menangkap beliau pada Isnin di wilayah Fujian, kata pihak berkuasa. Ahli perniagaan itu ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah selepas pihak berkuasa imigresen Malaysia membatalkan pasportnya.

'Hukum bunuh terhadap pembunuh’


Lee telah dihantar pulang ke Malaysia dari China dan ditahan, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada malam Selasa. Beliau telah dibawa ke Miri pada Rabu untuk hadir di mahkamah, di mana beliau telah didakwa di bawah seksyen 109 dan 302 Kanun Keseksaan.

Seksyen 302 menyatakan: "Sesiapa sahaja yang melakukan pembunuhan hendaklah dihukum mati."

Lee mengangguk tanda faham selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa. Zuraini kemudian menetapkan 30 Disember untuk posiding mahkamah yang seterusnya. Tiada pengakuan direkodkan mahkamah pada Rabu itu.

Lee dan tiga yang lain dituduh membunuh Kayong, seorang aktivis hak tanah kaum pribumi Sarawak.

Kesemua mereka yang didakwa mengikut Seksyen 302 dan boleh membawa hukuman mati, mengaku tidak bersalah selepas tiba di Mahkamah Tinggi Miri pada Nov 25. Perbicaraan mereka akan bermula pada 3 Januari, tahun hadapan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.