KDNK Malaysia Turun Kepada 4.5 Peratus Pada Suku Akhir 2015
2016.02.18
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dilaporkan turun kepada 4.5 peratus pada suku akhir 2015 berbanding 4.7 peratus pada suku ketiga, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia pada Khamis.
KDNK itu, menjadikan pertumbuhan tahun penuh sebanyak 5.0 peratus berbanding 6.0 peratus pada 2014, satu penurunan yang ketara.
Negara mencatatkan pertumbuhan KDNK 5.6 peratus pada suku pertama 2015 sebelum berkurangan kepada 4.9 peratus pada suku kedua dan 4.7 peratus pada suku ketiga.
“Untuk 2015, ekonomi Malaysia berkembang 5.0 peratus dengan tokokan nilai RM1,062.6 bilion pada harga malar dan RM1,156.9 bilion pada harga semasa,” menurut kenyataan itu lagi.
Menurut Penyelidik Ekonomi dari Malaysian Industrial Development Finance Berhad, Izzuddin Yussof, kelemahan yang ketara dalam permintaan global terkini membawa kepada pertumbuhan aktiviti perdagangan global yang perlahan dimana tempiasnya turut dirasai Malaysia.
“Sesungguhnya faktor luaran akan terus menjadi risiko utama terhadap ekonomi Malaysia bagi tahun 2016 ini. Walaupun begitu, kita masih lagi mengekalkan ramalan KDNK bagi tahun 2016 pada 4.4 peratus, dengan risiko menurun yang ketara disebabkan oleh ketidakstabilan dalam pasaran kewangan dan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya ketika dihubungi BeritaBenar pada Khamis.
‘Mungkin gawat’
Sementara itu Barjoyai Bardai, seorang profesor di Sekolah Graduan Perniagaan Universiti Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur menjangka KDNK suku pertama bagi tahun ini, akan menurun daripada yang dicatatkan pada suku keempat 2015, dengan nilai dijangka akan terus susut sehingga suku keempat 2016.
Beliau juga melihat kemungkinan berlakunya unjuran pertumbuhan yang lebih perlahan serta penurunan berterusan terhadap aktiviti eksport dan pengeluaran, yang boleh mengakibatkan Malaysia mengalami kegawatan ekonomi.
Tambah beliau, penurunan sudah jelas kelihatan dari suku pertama sehingga suku terakhir 2015 seperti yang diumumkan hari ini.
“Jangkaan untuk tahun ini amat tidak memberangsangkan dan kami tidak melihat banyak kemajuan dalam aktiviti perdagangan global, dan ini bakal menyebabkan kegawatan pada suku terakhir 2016 atau selewatnya pada suku pertama 2017,” katanya kepada BeritaBenar pada Khamis.
Barjoyai berkata, kebarangkalian kegawatan ekonomi yang bakal melanda dapat dielakkan jika nilai matawang Ringgit terus meningkat.
“Jika nilai Ringgit terus meningkat, ia sekaligus membantu menaikkan nilai eksport, dan peningkatan pertumbuhan nilai KDNK,” kata beliau.
Nilai Ringgit pada Khamis adalah pada RM3.99/sedolar berbanding RM4.15 semalam.
‘Jual aset’
Malaysia, yang pernah menjadi kuasa ekonomi di Asia Tenggara, kini dilanda beberapa masalah kewangan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak yang bukan sahaja dikaitkan dengan dana pelaburan negara yang dibebani hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dakwa ahli ekonomi.
Malaysia sebenarnya sedang bergelut dengan krisis keyakinan akibat daripada pelbagai isu politik global dan domestik yang menyumbang kepada kelembapan ekonomi, kata Noor Ihsan Mohamad, Profesor Madya Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada BeritaBenar baru-baru ini.
Ihsan turut mengingatkan ahli-ahli politik untuk "berkhidmat kepada rakyat dan mengurangkan drama politik" kerana rakyat biasa Malaysia sedang mengalami keperitannya.
Antara yang mendapat perhatian rakyat Malaysia adalah mengenai notis yang dihantar Bank Negara Malaysia kepada Lembaga Tabung Haji (LTH) mengenai nasihat oleh bank pusat itu kepada LTH mengenai penyusutan rizabnya dan nilai pelaburannya yang merosot.
Awal bulan ini, LTH telah mengumumkan keuntungan sejumlah RM3.53 million, bagaimanapun lembaga itu dilaporkan telah menjual sebuah bangunan pejabat di London pada harga £250 juta (RM1.6 bilion) – 22 peratus lebih tinggi daripada nilai pembelian hartanah itu pada Oktober 2014.
Pada Disember lepas, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) memaklumkan bahawa kumpulan itu akan menjual bangunan pejabat miliknya yang terletak di London pada harga £270 juta (RM1.73 bilion), sebagai respons kepada saranan kerajaan supaya syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) membawa pulang hasil pelaburan dari negara asing.
Terbaru pada Rabu, akhbar The Wall Street Journal dalam laporannya berkata, Sime Darby Bhd, konglomerat Malaysia yang merupakan pengeluar minyak sawit senaraian awam terbesar di dunia berdasarkan nilai pasaran, menimbang untuk menjual aset hartanah bernilai AS$500 juta (RM2.104 bilion) di Australia dan Singapura bagi mengurangkan beban hutang.
"Kumpulan ini juga mengumumkan program sukuk berterusan (perpetual) baru-baru ini sebagai sebahagian daripada usaha mengurus tahap hutang," kata jurucakap itu yang dipetik akhbar antarabangsa itu.
‘Bimbang Ekonomi meleset’
Langkah yang diambil kerajaan atau agensi kerajaan Malaysia itu telah melahirkan kebimbangan dikalangan segelintir rakyatnya yang ternyata resah dengan keadaan ekonomi yang melanda negara itu.
Pelajar tahun akhir dari sebuah institusi pengajian tinggi Muhammad Fadhirul Rashid Mohd Said, 24, berkata, kegawatan ekonomi boleh menyebabkan majikan mengehadkan pengambilan pekerja dan peluang pekerjaan akan turut menjadi terhad.
“Sepanjang tahun 2015, peluang pekerjaan menjadi semakin sukar diperolehi dengan banyak syarikat besar membuang ramai pekerja mereka dalam usaha menangani masalah ekonomi yang dialami. Saya tidak dapat membayangkan jika kegawatan ekonomi melanda pada tahun ini,” katanya kepada BeritaBenar.
Guru, Hamizah Ahmad, 29, pula berkata, kegawatan ekonomi boleh mengakibatkan kenaikan harga barang dan secara tidak langsung akan menyebabkan inflasi.
“Dari sudut kehidupan seorang rakyat Malaysia, kelengkapan asas seperti kereta, rumah dan lain-lain dijangka akan meningkat dan sekaligus akan membebankan rakyat,” katanya ketika ditemui BeritaBenar pada Khamis.