1MDB: Rakyat Malaysia Tidak Yakin Keadilan Di Negara Sendiri

Ramai yang marah dan muak dengan skandal berbilion dolar membabitkan dana pelaburan yang diasaskan untuk membangunkan negara itu.
Suganya Lingan & Nisha David
2022.04.12
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
1MDB: Rakyat Malaysia Tidak Yakin Keadilan Di Negara Sendiri Seorang lelaki berjalan melintasi papan iklan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di hadapan tapak pembinaan bangunan Tun Razak Exchange, satu projek utama dibangunkan dana pelaburan itu, di Kuala Lumpur pada 1 Mac 2015.
[Reuters]

KEMASKINI pada 8.30 malam waktu tempatan ETS - 2022-04-12

Rakyat Malaysia nampaknya tidak yakin untuk untuk melihat pelaku yang bertanggungjawab dalam penyelewengan berbilion dolar membabitkan dana 1MDB diadili dengan sewajarnya seperti apa yang dihadapi seorang rakyat negara itu, yang disabitkan bersalah oleh mahkamah Amerika Syarikat pada minggu lepas kerana peranannya dalam skandal kewangan tersebut.

Kebanyakan rakyat Malaysia mungkin tidak pernah pernah mendengar nama Roger Ng, bekas pegawai bank antarabangsa Goldman Sachs, tetapi sebaik sahaja mengetahui mengenai sabitan bersalah lelaki itu kerana menyeleweng dana 1MDB, mereka menyuarakan harapan yang sama - supaya kesemua pihak yang terbabit dalam kes itu di negara berkenaan akan turut menerima nasib yang sama.

Pada Jumaat lepas, Ng didapati bersalah oleh mahkamah Amerika Syarikat bagi kesemua dakwaan yang mengaitkannya dengan satu skim untuk menyeleweng berbilion ringgit daripada dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad, iaitu skandal yang membabitkan bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan menyebabkan kejatuhan kerajaan pimpinan ahli politik itu pada empat tahun lalu.

"Rakyat Malaysia tidak akan mendapat keadilan yang sewajarnya dalam kes ini," kata Desiree Gasper, 38, seorang produser stesen televisyen tempatan di Kuala Lumpur.

"Mungkin kerana saya tidak percaya yang kita akan boleh mendapat balik wang yang hilang itu. Tidak kesemuanya. Najib masih lagi mempunyai kuasa dan hidup dalam kemewahan, manakala Jho Low pula masih bebas di luar sana," katanya kepada BenarNews.

Wanita tersebut merujuk kepada bekas perdana menteri itu, yang masih mempunyai pengaruh besar dalam parti UMNO yang kembali berkuasa di peringkat persekutuan, serta bekas sekutu rapat Najib, Low Taek Jho (yang turut dikenali sebagai Jho Low) yang kini menjadi buruan pihak berkuasa.

Pada Julai 2020, Najib telah disabitkan bersalah oleh mahkamah tinggi di Malaysia bagi pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam kes membabitkan sebuah anak syarikat 1MDB dan dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun. Bekas perdana menteri itu telah memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya di Mahkamah Persekutuan dan sedang menunggu keputusan mahkamah itu.

Selain itu, Najib juga sedang berhadapan dengan perbicaraan dalam beberapa lagi kes lain membabitkan 1MDB.

Low, yang dalam disenaraikan sebagai orang dikehendaki pihak berkuasa di peringkat antarabangsa, juga berhadapan dakwaan jenayah di Malaysia dan AS atas peranannya dalam penyelewengan berbilion dolar dari 1MDB melalui hubungannya dengan Najib.

Danial Hassan, seorang eksekutif swasta berusia 28 tahun, pula meluahkan kekecewaannya dengan golongan elit politik Malaysia.

"Terlalu banyak perkara telah berlaku sejak 1MDB, dan saya rasa kebanyakan orang muda Malaysia seperti saya tidak menaruh harapan tinggi terhadap situasi politik di dalam negara atau untuk melihat keadilan berlaku dalam kes membabitkan golongan elit," katanya kepada BenarNews.

Ahmad Akbel Ali, daripada generasi yang lebih berumur, pula mengakui bahawa dirinya tidak pernah mendengar mengenai Ng.

"Saya tidak tahu langsung mengenai dia. Rasuah berlaku di mana-mana, jadi apa yang boleh saya katakan?," kata pesara itu kepada BenarNews.

"Pada saya, isu periuk nasi adalah lebih penting dan saya lebih berminat untuk bercakap tentang itu berbanding mengenai sama ada Najib akan dipenjarakan atau tidak," kata M. Markandan, 59, pesara dari Ipoh, yang menyatakan bahawa beliau ada membaca mengenai keputusan kes Roger Ng tetapi mengakui tidak berapa memahami tentang kes tersebut.

"Saya ada mengikuti kes Najib dan saya lebih faham kes itu. Saya kecewa melihat Malaysia menjadi terkenal di peringkat antarabangsa kerana rasuah," katanya kepada BenarNews.

"Wang 1MDB sepatutnya digunakan untuk membangunkan negara, tetapi kini apa yang saya lihat ialah wang rakyat dibazirkan," katanya.

220412-MY-Ng.jpg

Bekas eksekutif Goldman Sachs Roger Ng (kanan) beredar keluar dari bangunan mahkamah persekutuan AS di New York pada 8 April 2022. Barisan juri telah mensabitkan Ng sebagai bersalah terhadap semua pertuduhan membabitkan skim untuk menyeleweng wang dari dana Malaysia 1MDB berjumlah AS$4.5 bilion. [AP Photo]

Breon Peace, seorang peguam AS, menyuarakan pandangan serupa sejurus selepas Ng didapati bersalah oleh sebuah mahkamah persekutuan AS di Brooklyn, New York.

"Defendan dan rakan kroninya melihat 1MDB bukan sebagai sebuah entiti untuk melakukan kebaikan kepada rakyat Malaysia, tetapi sebagai sebuah tabung untuk diselewengkan supaya mereka dapat memperkaya diri sendiri," kata beliau.

1MDB telah menerima wang berbilion dolar untuk pelbagai projek pelaburan di antara tahun 2009 dan 2013, lapor agensi berita Reuters. Goldman Sachs bertanggungjawab membantu mendapatkan sebahagian daripada wang itu untuk 1MDB.

Pendakwa raya di AS dan Malaysia mendakwa bahawa sekurang-kurangnya $4.5 bilion (RM18.8 bilion) telah diselewengkan daripada 1MDB dengan sebahagian daripadanya digunakan untuk membeli hartanah, hasil seni dan kediaman mewah oleh Najib dan sekutunya termasuk Jho Low.

'Penipuan sememangnya berlaku'

James Chin, seorang penganalisis politik dan profesor pengajian Asia di University of Tasmania, pula berkata bahawa sabitan bersalah ke atas Ng membuktikan bahawa penyelewengan wang daripada dana 1MDB sememangnya berlaku.

"Mengenai sabitan bersalah Roger Ng, saya berpendapat bahawa ini adalah petunjuk yang amat jelas bahawa penipuan sememangnya berlaku dan ini adalah satu lagi pengesahan bahawa Jho Low, Najib dan individu lain memang terlibat secara mendalam dalam kes ini dan berbilion telah diselewengkan," kata beliau kepada BenarNews.

"Saya rasa bahawa seluruh dunia akan melihat ini sebagai satu perkembangan penting bagi Malaysia, dan jika Najib dapat melepaskan diri daripada kes ini di mahkamah Malaysia, saya rasa ia akan menjejaskan imej Malaysia untuk tahun-tahun mendatang."

Menurut Chin, banyak perkara yang didedahkan di mahkamah oleh Ng dan Tim Leissner, seorang lagi pegawai Goldman Sachs yang terlibat dalam skandal itu, tidak pernah ditimbulkan dalam kes yang sedang dibicarakan di Malaysia.

Ini menyebabkan banyak pihak yang kini mempersoalkan sistem kehakiman di Malaysia, kata beliau.

Sementara itu, ketua pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim pada Isnin menggesa kerajaan supaya semua yang terbabit dalam skandal 1MDB ditangkap dan dibawa ke mahkamah untuk diadili.

" Pengakuan bersumpah oleh saksi-saksi dengan secara menyeluruh menghapus dakwaan oleh pegawai-pegawai kerajaan Malaysia bahawa tidak ada apa-apa yang berlaku dalam …1MDB. Pegawai-pegawai kanan Goldman Sachs yang terlibat dengan skandal 1MDB tidak boleh melepaskan diri dari kelalaian mereka serta kerosakan dan kerugian yang diakibatkan kepada Malaysia," kata Anwar dalam satu kenyataan.

"Atas keterlibatan yang jelas Goldman Sachs dalam 'scam' ini, saya ulang pendirian saya bahawa penyelesaian yang dicapai antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs pada tahun 2020 adalah pramatang dan gagal untuk mengambilkira tahap kerugian yang sedang dan akan terus ditanggung rakyat Malaysia," kata beliau.

Pada Oktober 2020, Goldman Sachs dan anak syarikatnya di Malaysia bersetuju untuk membayar kerajaan Malaysia sebanyak AS$2.9 bilion (RM12.2 bilion) selepas ia mengaku bersalah terhadap tuduhan berkonspirasi untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing AS dalam mengumpulkan dana untuk 1MDB.

Pengubahan wang haram, rasuah, konspirasi dan salah guna kuasa adalah antara dakwaan yang dihadapi mereka yang terlibat dalam skandal berkenaan, termasuk Najib.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh