Syarikat kawalan kerajaan China salur sokongan teknikal bagi perlombongan nadir bumi di Kedah

Kesungguhan China dalam perlombongan nadir bumi lebih bersifat kepada usaha mengekang perluasan pengaruh Barat, kata pakar.
Iskandar Zulkarnain & Iman Muttaqin Yusof
2023.01.11
Kuala Lumpur
Syarikat kawalan kerajaan China salur sokongan teknikal bagi perlombongan nadir bumi di Kedah Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor (berbaju biru) menyaksikan majlis memeterai perjanjian persefahaman (MOU) antara Kedah Menteri Besar Incorporated dengan Jangka Bakat Minerals Sdn Bhd dan Xiamen Tungsten Co Ltd dari China di Wisma Darul Aman, Alor Star, Kedah, 10 Januari, 2023.
[Ihsan Kedah Menteri Besar Incorporated]

Kedah, sebuah negeri di utara Malaysia telah memeterai perjanjian persefahaman (MOU) kerjasama dengan sebuah syarikat berpangkalan di China untuk mendapatkan bantuan teknikal dalam eksplorasi bahan mineral nadir bumi yang dianggarkan bernilai RM60 bilion (AS$13.7 bilion) di negeri itu.

Para penganalisis pula menzahirkan kebimbangan kesan terhadap alam sekitar disebabkan oleh aktiviti pelombongan elemen nadir bumi yang digunakan dengan begitu meluas dalam pelbagai peralatan elektronik, tenaga boleh diperbaharui serta kelengkapan pertahanan.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perjanjian persefahaman itu melibatkan anak syarikat kerajaan negeri, Menteri Besar Incorporated (MBI) dengan dua lagi syarikat termasuk dari China yang akan bertindak sebagai rakan teknikal serta berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam eksplorasi pelombongan nadir bumi di negeri tersebut.

“Kedah dahulunya terkenal dengan emas dan bijih timah....Atas kurniaan Ilahi, REE atau nadir bumi secara semulajadi yang berkualiti serta mengandungi unsur-unsur mineral, bernilai tinggi, di temui di negeri ini.

"Ini satu nikmat dan kurniaan yang sememangnya harus disyukuri kita semua... Kami mengucapkan terima kasih kepada Jangka Bakat Minerals Sdn. Bhd. dan Xiamen Tungsten Co. Ltd. kerana bersetuju untuk bekerjasama menjayakan perlombongan REE di Kedah," kata Menteri Besar itu pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman yang berlangsung di Wisma Darul Aman, pusat pentadbiran kerajaan negeri Kedah di bandaraya Alor Setar.

Sebagai respon kepada kebimbangan aktiviti pelombongan nadir bumi terhadap alam sekitar, Sanusi menjelaskan ia akan dijalankan menerusi kaedah 'in-situ leeching' yang memberi impak yang minima kepada alam sekitar.

“Saya bukan pakar perlombongan REE. Tetapi apa yang saya faham dan tahu ialah perlombongan ini tidak ratakan bukit, tidak tebang pokok. Secara ringkas, perlombongan ini hanya masukkan paip-paip untuk cairkan REE dan ia akan mengalir keluar ikut daya tarikan graviti. Pokok-pokok masih hidup, bukit-bukit tetap gagah berdiri,” ujarnya lagi.

Tambahnya, kerajaan negeri Kedah turut mendapatkan khidmat pakar dari Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjalankan kajian dan menambahbaik aktiviti perlombongan nadir bumi yang akan dijalankan kelak serta berharap pada masa akan datang, semua pihak terlibat dalam kerjasama itu akan mengorak langkah ke arah mewujudkan loji pemprosesan nadir bumi di negeri itu.

“Saya berharap dalam jangka masa panjang apabila hasil pengeluaran REE sudah mencukupi, syarikat-syarikat yang bekerjasama dapat mewujudkan loji pemprosesan REE di Kedah bagi meningkatkan nilai REE dan sekali gus menaikkan hasil pendapatan negeri,” ujarnya.

Mengakui sensitiviti perlombongan elemen-elemen nadir bumi kepada geopolitik serantau, Sanusi memberi bayangan pentadbiran negeri akan bersikap neutral dan mengutamakan kepentingan negeri.

“REE ini ialah sumber strategik dunia dan berkait dengan geopolitik serantau. Namun, kita sebagai pengeluar hasil REE pada masa depan akan kekal neutral dan membuat keputusan demi manfaat ekonomi terbaik negeri,” jelasnya.

Sanusi turut mendesak kerajaan persekutuan untuk mempercepatkan pengeluaran prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti perlombongan nadir bumi supaya kerja-kerja explorasi dan perlombongan dapat dimulakan dengan segera bagi mengekang aktiviti perlombongan haram.

Pada Oktober lepas, pihak berkuasa negeri telah menahan dua lelaki dari China dan merampas sejumlah bahan mineral mengandungi elemen nadir bumi di daerah Sik.

Salah seorang daripada mereka telah dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM500,000 (AS$114,000) atas kesalahan perlombongan haram serta denda RM130,000 (AS$30,000) atas kesalahan menceroboh hutan simpan kekal.

Sanusi turut membidas pihak yang mendakwa beliau mendapat suapan berjumlah RM1 bilion (AS$0.23 billion) daripada aktiviti perlombongan nadir bumi di negeri itu.

Perkongsian pengalaman dan kepakaran

Mengulas lanjut mengenai memorandum persefahaman yang dimeterai itu, jurucakap MBI menjelaskan ia adalah dalam bentuk kerjasama perkongsian pengalaman dan kepakaran.

“Ini hanya proses permulaan. Ia tidak melibatkan sebarang nilai bahan mineral yang akan dilombong malahan belum ada kawasan yang telah dikenalpasti bagi tujuan perlombongan.

“Ini adalah langkah awal ke arah usaha ekplorasi elemen-elemen nadir bumi yang terdapat di negeri Kedah, kita masih belum memperhalusi hal berkaitan perlombongan,” jelas jurucakap MBI itu.

Xiamen Tungsten adalah sebuah syarikat berpangkalan di bandaraya Xiamen dalam wilayah Fujian, China dan tersenarai di Bursa Saham Shanghai yang merupakan syarikat berteknologi tinggi dan berteraskan kepada pengeluaran produk tungsten serta mineral nadir bumi dengan pasaran dalam serta luar China seperti di Jerman, Taiwan, Jepun dan Brazil.

Kesan alam sekitar, pengaruh China

Shahriman Lockman, Pengarah di Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa Malaysia (ISIS) berkata di sebalik hakikat bahawa mineral nadir bumi adalah perihal persaingan di antara Amerika Syarikat dan China, isu kesan aktiviti perlombongan dan pemprosesan bahan mineral tersebut perlu diberikan perhatian.

“Rakyat Kedah seharusnya lebih peka terhadap sebarang kesan alam sekitar daripada aktiviti perlombongan dan pemprosesan yang akan dijalankan di sana.

“Sama seperti operasi pemprosesan nadir bumi oleh Lynas, sebuah syarikat dari Australia yang termaktub kepada pelbagai siasatan, ia juga perlu dilaksanakan ke atas sebarang syarikat dari China.

“Ini kerana nadir bumi adalah komponen yang sensitif, melibatkan senjata berteknologi tinggi,” katanya kepada BenarNews.

Lynas, pengeluar nadir bumi terbesar dunia selain China, melombong bahan itu dari Gunung Weld iaitu gunung berapi yang ranap di Australia, dan mengangkutnya untuk ditapis ke kompleks perindustrian yang luas di Kuantan, ibu negeri Pahang. Ia mempunyai lebih 650 orang pekerja di Malaysia dan Australia.

Penapisannya dilakukan secara besar-besaran hanya di dua tempat - Malaysia dan China, yang telah mengancam untuk menyekat bekalan mineral nadir bumi ke Amerika Syarikat.

Para aktivis menyatakan walaupun kilang Lynas bernilai AS$800 juta di Kuantan memecahkan monopoli China dalam menghasilkan bahan yang mempunyai unsur yang berharga itu, namun pemprosesan itu juga meninggalkan sisa radioaktif tahap rendah.

Dalam pada itu, Collins Chong Yew Keat, seorang pakar hubungan antarabangsa dari Universiti Malaya memberi amaran mengenai risiko kebergangtungan Malaysia kepada China dalam perlombongan nadir bumi.

“Kesungguhan China dalam perlombongan nadir bumi adalah lebih bersifat kepada usaha mengekang perluasan pengaruh Barat di Malaysia dan wilayah serantau.

“Ia adalah sebahagian daripada perancangan besar China untuk mengekang persaingan Barat di samping tindakbalas terhadap sekatan Barat terhadap teknologi-teknologi kritikal,” ujarnya kepada BenarNews.

Justeru, beliau mengingatkan kerajaan supaya mengimbangi keghairahan kepada tawaran kerjasama dari China dengan menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat dari Barat termasuk Lynas yang telah bertapak di negara itu.

“Nadir bumi boleh dijadikan sebagai alat untuk mengawal keputusan kita, di mana Beijing akan mengambil kesempatan ke atas komitmen hutang negara yang sedang melonjak.

“Kita akan terdedah kepada tekanan – khususnya melibatkan sumber-sumber kritikal yang penting kepada kepentingan Beijing seperti mineral nadir bumi, minyak sawit, minyak, gas, semikonduktor, getah dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.