Follow us

COVID-19: Empat Mukim di Kedah Dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan

Nisha David & Hadi Azmi
Kuala Lumpur , Malaysia
2020-08-03
E-mel
Komen
Share
Pengawalan oleh anggota Tentera Malaysia serta pemasangan kawat duri di sekitar kawasan Pudu di Kuala Lumpur selepas kerajaan memerintahkan kawasan berkenaan berada dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Separa akibat peningkatan jumlan jangkitan pandemik COVID-19, 15 Mei, 2020.
Pengawalan oleh anggota Tentera Malaysia serta pemasangan kawat duri di sekitar kawasan Pudu di Kuala Lumpur selepas kerajaan memerintahkan kawasan berkenaan berada dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Separa akibat peningkatan jumlan jangkitan pandemik COVID-19, 15 Mei, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pihak berkuasa Malaysia memerintahkan empat mukim di Kedah berada dalam ‘Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat secara Pentadbiran’ (PKPD Pentadbiran) mulai Isnin susulan penularan 12 kes baru pandemik COVID-19 selepas seorang pemilik kedai makan yang pulang dari India, tidak mematuhi syarat kuarantin dan positif koronavirus.

Arahan pemerintahan itu juga melibatkan tadika, sekolah, masjid dan rumah ibadat di kesemua kawasan berkenaan yang telah diarahkan ditutup sepanjang tempoh perintah kawalan sehingga 30 Ogos.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan negeri Kedah telah membuat permohonan kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melaksanakan PKPD Pentadbiran terhadap kesemua tempat yang dikenalpasti di negeri itu bagi mematikan penularan pandemik yang telah menyebabkan 125 kematian di negara berkenaan.

"Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai bersetuju untuk melaksanakan PKPD Pentadbiran mulai hari ini selepas bersetuju meluluskan permohonan kerajaan negeri [Kedah] bagi mukim terlibat seperti Hosba, Ah Binjal di daerah Kubang Pasu dan Padang Sanai di daerah Padang Terap mulai 3 hingga 30 Ogos 2020," katanya dalam sidang media pada Isnin mengumumkan mengenai keputusan kerajaan itu.

Ismail berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambilkira kes baru yang berpunca daripada ‘Kluster Sivagangga’ yang dikesan merebak dari seorang pemilik kedai makan yang mempunyai taraf penduduk tetap Malaysia dan pulang dari India baru-baru ini dengan beliau tidak mematuhi arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah yang kemudiannya didapati positif COVID-19.

“Pelaksanaan PKPD secara pentadbiran akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama ke kawasan sekitar,” tambah Menteri itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Noor Hisham Abdullah berkata, restoran di Napoh, Jitra, Kedah menjadi lokasi bermulanya penularan ‘Kluster Sivagangga’ kerana ketidakpatuhan pemilik kedai itu mematuhi arahan kuarantin dan penularan hanya dikenalpasti melalui aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif yang dibuat pihak berkuasa kesihatan.

“Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri menghadapi beberapa cabaran dalam   menjalankan sepenuhnya aktiviti pengesanan kontak rapat kerana kedai berkenaan tidak menggunakan aplikasi MySejahtera serta tidak merekodkan kehadiran atau mengambil suhu badan pelanggan yang berkunjung ke premis berkenaan.

"Sehingga jam 12 tengah hari Isnin, sebanyak 425 orang sudah disaring. Daripada jumlah ini, 21 kes dikesan positif COVID-19, 362 negatif dan 42 masih menunggu keputusan... Kira-kira 7,000 penduduk kawasan berkenaan akan disaring," kata Noor Hisham semasa sidang media di Putrajaya, pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan itu memberitahu, satu kes baru dilaporkan di daerah itu adalah daripada kluster tersebut yang melibatkan pelanggan tetap restoran berkenaan didapati positif pada 31 Julai lalu, dengan beliau yang telah menjalani saringan COVID-19 di sebuah fasiliti kesihatan swasta didapati negatif pada 27 Julai.

“Kontak terbaru itu bagaimanapun mengalami gejala demam dan batuk pada 31 Julai, namun tidak menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Klinik Kesihatan terdekat untuk rawatan segera.

"Sehari kemudian, iaitu selepas pembabitan dalam aktiviti-aktiviti semasa Hari Raya Aidiladha, siasatan mendapati bahawa beliau adalah kontak rapat kepada kes indeks. Susulan itu, saringan dijalankan dan mendapati positif COVID-19," katanya dengan menambah individu terbabit telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Star untuk rawatan.

Sementara itu, pakar perubatan am di Hospital Global Doctors Malaysia, Gerard Lawrence berkata, aktiviti balik kampung sempena Hari Raya Aidiladha akan menimbulkan lebih banyak kluster dan merebakkan virus COVID-19.

"Apabila segenap lapisan masyarakat merentas negeri untuk pulang ke kampung, risiko untuk menyebarkan virus COVID-19 meningkat memandangkan usia saudara di kampung halaman kebanyakannya tua dan warga emas.

"Walaupun SOP untuk beraya dengan penjarakkan sosial dipatuhi namun akan ada kawasan-kawasan yang sesak dan virus juga dapat merebak melalui cara kontak (sentuhan) dengan permukaan yang tercemar," katanya kepada Berita Benar.

Beliau yang mengakui kejayaan Malaysia mengawal penyebaran COVID-19 pada gelombang baru namun katanya, risiko yang diambil amat tidak berbaloi.

"Sekiranya gelombang tersebut amat besar seperti yang berlaku di Singapura; ekonomi negara juga akan merosot jika PKP dimulakan semula hanya kerana segelintir rakyat ingin beraya di kampung halaman.

"Tangguhkan segala perayaan ke tahun hadapan dan berkorbanlah kegembiraan singkat ini untuk kebaikan semua dan kesejahteraan masa hadapan," katanya lagi.

Jumlah kes positif COVID-19 adalah sebanyak 9,001 kes dengan 208 kes aktif dan 125 kematian dicatatkan di Malaysia.

Pandemik COVID-19 telah meragut lebih 688,000 nyawa di 188 negara dan wilayah sejak ia mula dikesan di Wuhan, China Disember lalu dengan lebih 18 juta kes dilaporkan di seluruh dunia, demikian menurut data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat pada Isnin.

Lihat Laman Penuh