Australia, ASEAN Tubuh Kumpulan Banteras Pembiayaan Keganasan

Hata Wahari
2017.11.22
Kuala Lumpur
171122-my-terror-funding1-620.jpg Seorang anggota polis Malaysia berdiri di sebelah kain rentang Sidang Kemuncak Ketiga Mencegah Pembiayaan Keganasan di Kuala Lumpur, 22 Nov 2017.
[AFP]

Australia bersama-sama Malaysia, Indonesia, Filipina serta beberapa negara Asia Tenggara lain telah menubuhkan satu kumpulan baharu untuk mengganggu sumber pembiayaan bagi Negara Islam (IS) dan beberapa kumpulan militan lain yang beroperasi di rantau ini, kata Menteri Keadilan Australia Michael Keenan pada Rabu.

Beliau membuat pengumuman itu ketika berucap pada Sidang Kemuncak Ketiga Mencegah Pembiayaan Keganasan (CTF) di Kuala Lumpur, tiga hari selepas Thailand menjadi tuan rumah perbarisan armada angkatan tentera laut Asia Tenggara dalam satu acara yang turut membabitkan mesyuarat dua hala berkaitan ancaman keselamatan serantau.

Keenan berkata pakatan baharu itu – Kumpulan Kerja Mencegah Pembiayaan Keganasan Asia Tenggara – secara langsung akan menyasar dan mengganggu saluran kewangan kumpulan pengganas, termasuk IS.

“Kestabilan dan keselamatan Asia Tenggara amat penting kepada Australia, dan Kerajaan Gabungan komited untuk membanteras ancaman oleh kumpulan pengganas,” katanya.

Kumpulan baharu itu, yang diendors oleh wakil dari seluruh rantau ini, akan diterajui agensi risikan kewangan serta pengawal selia Australia, Austrac, dan Majlis Anti Pengubahan Wang Haram Filipina, kata Keenan dalam satu siaran media.

Anggota lain termasuk unit risikan kewangan dari 10 negara Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), dan kumpulan baharu itu akan mendapat sokongan daripada pakej bernilai U$4.6 juta, yang akan dibiaya oleh kerajaan Australia dalam tempoh tiga tahun, katanya.

“Risikan yang dikumpul menerusi inisiatif ini akan … memperketat sistem kewangan kita daripada ancaman pembiayaan keganasan,” kata Kennan, yang turut memegang jawatan bertaraf menteri sebagai penasihat Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull dalam isu mencegah keganasan.

35 negara

Sidang kemuncak empat hari itu, yang bermula Isnin, bertujuan berkongsi pendapat mengenai strategi antikeganasan terkini. Lebih 350 pakar dari 35 negara dan kumpulan antarabangsa mengambil bahagian, kata penganjur.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan peserta sidang kemuncak itu bahawa Kuala Lumpur akan memantau semua transaksi yang disyaki menyediakan pembiayaan kepada organisasi pengganas.

“Jika anda bunuh seorang pengganas, seorang lagi akan dilahirkan,” katanya. “Tetapi jika anda memutuskan pembiayaan atau sumber ekonomi lain, anda akan menghentikan keseluruhan operasi.”

Muhammad Ibrahim, gabenor bank negara Malaysia, memaklumkan persidangan bahawa negara itu telah mengusahakan struktur bagi mengawal selia dan menjamin transaksi membabitkan mata wang digital seperti bitcoin daripada aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, menurut Reuters.

Jumlah laporan transaksi yang mencurigakan (STR) dari institusi kewangan telah meningkat tahun ini berkaitan pembiayaan keganasan, katanya. Pada separuh pertama 2017, pihak berkuasa Malaysia telah menerima 346 STR berkaitan keganasan, yang membawa kepada 34 pendedahan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang, berbanding 93 laporan pada 2015, menurut Reuters yang memetik kenyataan gabenor bank itu.

Menteri Hal Ehwal Keselamatan Indonesia, Jeneral Wiranto, turut menghadiri persidangan itu. Jakarta memantau setiap organisasi di negara itu, dan sukar bagi golongan yang bersimpati dengan pengganas untuk menyediakan pembiayaan yang mencurigakan tanpa dapat dikesan, katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Pertunjukan kekuatan

Terdahulu minggu ini, lebih 40 kapal laut moden, termasuk 26 dari rantau Asia Tenggara, telah dipamer dalam Perbarisan Armada Antarabangsa di Bangkok. Ketika acara itu berlangsung selama lebih 10 hari, panglima angkatan tentera laut mengadakan mesyuarat dua hala dan membincangkan ancaman keselamatan serantau.

Perbarisan itu diadakan sebulan selepas Malaysia, Indonesia dan Filipina melancarkan rondaan udara tiga hala bagi memperkuat usaha bersama maritim bagi menghapuskan ancaman sempadan yang dikongsi daripada ekstremis yang dikaitkan dengan kumpulan militan Negara Islam.

Kebimbangan yang semakin meningkat berkaitan ancaman keselamatan serantau adalah susulan pertempuran lima bulan menentang militan disokong IS di selatan Filipina iaitu di bandar Marawi, yang menyaksikan 930 anggota militan, 165 tentera dan polis serta 47 orang awam terbunuh.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.