Follow us

Kelantan Catat Peningkatan Pengguna Baru Dadah

Ali Nufael & Aiman Abd Razak
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-02-26
E-mel
Komen
Share
Polis Thailand menunjukan dadah yang dirampas antara 25 Mac hingga 1 April, 2018, yang dipercayai mahu diseludup masuk ke Malaysia melalui Sungai Mekong, pada sidang media di Bangkok, 3 April 2018.
Polis Thailand menunjukan dadah yang dirampas antara 25 Mac hingga 1 April, 2018, yang dipercayai mahu diseludup masuk ke Malaysia melalui Sungai Mekong, pada sidang media di Bangkok, 3 April 2018.
[Ihsan Biro Pengawasan Narkotik Polis Thailand]

Faktor sempadan yang menjadi laluan masuk mudah bagi kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah adalah antara sebab berlaku peningkatan bilangan penagih baru di Kelantan, demikian menurut Agensi Anti Dadah Kebangsaan [AADK] Kelantan.

Statistik agensi itu telah mencatatkan bahawa negeri berkenaan mempunyai bilangan penagih dadah baru yang tinggi, iaitu seramai 6,307 orang dalam tempoh dua tahun lepas, dan remaja Melayu adalah yang paling ramai menjadi penagih baru di negeri itu.

Pengarah AADK Kelantan, Rahayu Ahmad mengakui bahawa kegiatan penyeludupan yang sering dilaporkan di negeri itu adalah antara penyumbang kepada peningkatan kes penyalahgunaan dadah.

"Tidak dinafikan faktor sempadan menjadi sumber utama (penyeludupan masuk dadah)... bukan sahaja dadah malah banyak lagi bahan terlarang lain yang diseludup. Selain itu, mudahnya mendapatkan bekalan menyebabkan meningkatnya bilangan penagih dadah di Kelantan," katanya pada BeritaBenar pada Selasa.

Selain jalan darat, penduduk di Kelantan dan negara jiran Thailand boleh menyeberangi sempadan melalui jalan sungai dan laut yang terbuka luas.

Beliau berkata bilangan penagih dadah baru yang dicatatan itu adalah kira-kira 73 peratus daripada jumlah keseluruhan 8,666 orang penagih yang dikesan di Kelantan manakala bakinya sebanyak 27 peratus atau 2,359 orang merupakan penagih dadah berulang.

Ibu negeri Kelantan, Kota Bharu mencatatkan bilangan penagih dadah tertinggi iaitu seramai 1,608 orang termasuk 1,199 penagih baru dan selebihnya penagih berulang.

Persekitaran tidak berubah

Sementara itu, pengarah pusat pemulihan penagih dadah Cure and Care cawangan Kota Bharu, Hassan Yusof, memberitahu BeritaBenar penagih dadah berulang berpunca daripada persekitaran tidak berubah bagi penagih berkenaan.

"Penagih dadah yang keluar dari pusat pemulihan perlu berhijrah (keluar dari persekitaran lazim)...mereka tidak boleh tinggal di rumah yang sama, tidak boleh duduk di bilik yang sama dan tidak boleh pakai pakaian yang sama pun.

"Ini kerana ia akan mengingatkan mereka kepada 'nikmat' khayal. Jadi, mereka perlu keluar dari situ dan bina episod baru dalam kehidupan mereka. Ramai penagih yang saya temui memberitahu mereka kembali ke pusat pemulihan kerana sukar meninggalkan persekitaran mereka," jelas beliau.

Hassan berkata faktor penawaran dan permintaan tinggi bagi bekalan dadah juga menjadikan negeri itu mempunyai antara jumlah penagih tertinggi di Malaysia.

"Walaupun Kedah dan Perlis juga bersempadanan dengan Thailand tapi statistik mereka kurang berbanding Kelantan. Ini kerana adanya penawaran dan permintaan tinggi bekalan dadah di negeri ini selain peluang pekerjaan yang rendah.

"Jadi, ramai yang memilih jalan untuk menjual dadah yang dibawa masuk dari sempadan kerana bila penawaran itu tinggi, permintaan juga turut bertambah,"jelas Hassan.

Negeri mundur

Namun bagi bekas penagih dadah yang kini merupakan pengerusi Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Yunus Pathi yang berpendapat faktor peningkatan penagih dadah di Kelantan adalah berkait rapat dengan faktor kemajuan dan kemunduran negeri tersebut.

“Keadaan di Kelantan, misalnya, yang kurang peluang pekerjaan dan aktiviti untuk golongan muda menyebabkan ramai ke sempadan untuk berhibur. Dadah digunakan sebagai bahan ganti (hiburan). Faktor ini memainkan peranan selain agama dan keluarga," katanya kepada BeritaBenar.  

Beliau juga menolak statistik penagih baru di Kelantan kerana ia diperoleh berdasarkan saringan air kencing individu dengan seseorang itu dianggap sebagai penagih dadah walaupun baru sekali menghisap ganja atau mengambil pil ekstasi.

"Dengan hanya sekali perbuatan itu, tidak bermakna dia penagih tegar yang tidak boleh dirawat…bukan semua positif saringan air kencing adalah penagih tegar. Mungkin ada yang sekadar mencuba,” katanya.

Pada hujung tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri mendedahkan bahawa Kelantan, Pahang, Perlis, Terengganu dan Pulau Pinang mendahului senarai penyalahgunaan dadah selain mencatatkan penagih dadah paling ramai mengikut nisbah jumlah penduduk sepanjang 2018.

Menteri berkenaan, Muhyiddin Yassin, berkata Kelantan merekodkan 16,918  penagih dadah diikut, Pahang (16,150), Selangor (13,123), Johor (13,003)  dan Terengganu (10,576).

Secara keseluruhan, jumlah penyalahgunaan dan penagih dadah di seluruh negara sejak 2014 hingga September 2018 adalah seramai 133,684 orang iaitu kira-kira 0.40 peratus berbanding jumlah penduduk di Malaysia.

Beliau juga memberitahu bahawa kaum Melayu mendahului senarai penagih dadah paling ramai iaitu seramai 88,522 orang (80.6 peratus) diikuti Cina (7,883), India (7,689), pribumi Sabah (4,274) dan pribumi Sarawak (713).

Sementara itu, Polis Kelantan merampas dadah dianggarkan bernilai lebih RM1.15 juta dalam dua kes berasingan di Rantau Pajang dan Kota Bharu pada Ahad lalu.

“Dalam kes pertama di Rantau Panjang, anggaran keseluruhan pil yang dirampas 72,000 biji, seberat 8.4 kilogram (kg) dengan anggaran nilai semasa dadah RM1,080,000,” kata Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan.

Dalam kes kedua di Kota Bharu pula, polis merampas dadah jenis heroin seberat 1.629kg dari 290 botol dan juga senjata yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM71, 980.

Suspek kes berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula Isnin untuk membantu siasatan mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Lihat Laman Penuh