Lagi Rangka Manusia Mangsa Pemerdagangan Ditemui Di Perlis
2015.08.24

Pihak berkuasa menemui 24 lagi rangka mayat dalam 18 kubur di Bukit Wang Burma pada Sabtu, tiga bulan selepas Malaysia digemparkan dengan penemuan 139 kubur mangsa pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.
Kesemua rangka tersebut yang dipercayai kaum Rohingya yang menjadi mangsa pemerdangan manusia dari Myanmar, ditemui di kawasan berhampiran puncak Bukit Wang Burma, kira-kira 5 kilometer dari penemuan kubur besar pada Mei lalu.
Difahamkan, kubur itu ditemui oleh sekumpulan anggota komando VAT 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kebetulan menjalani latihan di lokasi tersebut.
Berikutan penemuan itu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dalam kenyataan media pada lewat Sabtu mengesahkan penemuan beberapa buah kubur lagi di kawasan sempadan Perlis dan Thailand.
Menurut beliau, kubur-kubur itu "adalah sebahagian daripada penemuan yang asal."
Mengulas lanjut mengenai penemuan terbaru itu, Ketua Polis Perlis Shafie Ismail berkata, daripada 24 rangka mayat yang ditemui, 18 darinya lengkap berkafan.
Tambah Shafie, hujan lebat dipercayai telah menghakis kubur tersebut sehingga membawa kepada penemuan rangka-rangka berkenaan.
Berikutan penemuan itu, beliau berkata, sepasukan 15 pegawai dan 108 anggota PDRM daripada Pasukan Gerakan Am, Bahagian Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Unit Pencegah Penyeludupan, Cawangan Khas dan pegawai penyiasat telah terlibat dalam kerja-kerja mengeluarkan rangka tersebut.
Beliau berkata, kesemua rangka yang ditemui itu, kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat.
Siasatan awal polis menunjukkan kubur baru yang temui itu, adalah lebih lama daripada 139 kubur yang ditemui sebelum ini di sekitar kawasan berkenaan.
Polis percaya kesemua mangsa mati akibat kebuluran atau dipukul oleh anggota sindiket pemerdagangan yang turut dianggotai oleh kaum Rohingya sendiri.
Terdesak tinggalkan Myanmar
Kaum Rohingya merupakan kumpulan minoriti beragama Islam dari Myanmar yang melarikan diri dari penganiayaan dan konflik di negara itu di mana majoriti penduduknya beragama Buddha.
Laporan sebelum ini menyebut kumpulan Rohingya tidak mendapat taraf kerakyatan di Myanmar, dan sering dianggap sebagai pendatang haram dari Bangladesh.
Untuk melarikan diri dari tanahair, kebanyakan mereka terpaksa membayar ribuan ringgit setiap seorang kepada sindiket pemerdagangan manusia yang menyeludup mereka ke negara-negara di Asia Tenggara. Malaysia merupakan destinasi utama oleh pendatang tanpa izin ini, kerana ianya sebuah negara Islam dan mempunyai peluang pekerjaan yang luas.
Sejak 2012, dianggarkan beribu-ribu warga Rohingya telah melarikan diri dari konflik di negeri Rakhine di Myanmar.
Kaitan dengan Thailand
Penemuan mengejutkan di Wang Kelian pada Mei lepas terjadi tidak lama selepas polis Thailand menemui 32 mayat dalam 31 kubur di 28 kem transit penyeludupan di dalam hutan di Padang Besar, wilayah selatan negara itu pada bulan yang sama.
Kem penyeludupan itu terletak di pendalaman kawasan hutan pergunungan Padang Besar di daerah Sadao, kawasan jajahan wilayah Songkhla, hanya 300 meter (984 kaki) dari sempadan Malaysia.
Pembongkaran jenayah kemanusiaan itu telah membawa kepada siasatan besar-besaran oleh pihak berkuasa Thailand yang menyaksikan 84 waran tangkap dikeluarkan dan 51 orang ditahan.
Turut ditahan dan didakwa bagi pelbagai kesalahan berkaitan pemerdagangan manusia adalah jeneral tentera bertaraf 3 bintang Lt Jeneral Manus Kongpan manakala 50 anggota polis telah dikenakan tindakan kerana mengabaikan tugas.
Sementara itu, di Malaysia, polis telah menahan 19 orang, termasuk tiga dalang sindiket pemerdagangan manusia di Perlis dan turut menyita kesemua harta benda milik ketiga-tiga suspek berkenaan.
Penduduk bimbang
Kerajaan negeri Perlis memberi kerjasama penuh untuk membantu polis dalam siasatan mereka berikutan penemuan kem transit dan rangka mangsa terbaru ini,
Menteri Besar Azlan Man berkata, pihaknya menyerahkan tugas sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung jenayah berkenaan.
Sementara itu, beberapa peniaga di kawasan Wang Kelian, yang popular sebagai pusat membeli belah di sempadan Malaysia-Thai, bimbang kerana perniagaan mereka kini kelihatan terjejas akibat penemuan terbaru itu.
Menurut mereka, penemuan kem transit itu menimbulkan keresahan di kalangan orang awam sehingga menyebabkan jumlah pengunjung ke Wang Kelian merosot sejak tiga bulan kebelakangan ini.
Seorang peniaga, Ismail Idris, berharap pihak berkaitan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memulihkan keyakinan pengunjung dan mengelakkan kejadian sama daripada berulang.
Peniaga Nurul Aina Ibrahim berkata, dia tidak menyangka beberapa orang pelarian Rohingya yang pernah singgah meminta makanan beberapa bulan lalu adalah mangsa pemerdangan manusia yang melarikan diri dari kem transit itu.