Rakyat Malaysia Bingung, Keliru Status Ordinan Darurat Yang Ditarik Balik

Rakyat tempatan dan pemimpim pembangkang berang apabila kerajaan mengelak daripada memberi jawapan dan melambatkan penjelasan.
Hadi Azmi & Noah Lee
2021.07.28
Kuala Lumpur
Rakyat Malaysia Bingung, Keliru Status Ordinan Darurat Yang Ditarik Balik Seorang anggota polis memeriksa dokumen pemandu dalam satu sekatan jalan raya semasa pelaksanaan sekatan pergerakan menjelang sambutan Aidiladha di Petaling Jaya, Malaysia, 10 Mei 2021.
[Reuters]

Pengumuman yang dibuat kerajaan Malaysia pada Isnin mengenai pembatalan undang-undang darurat pada 21 Julai telah mencetuskan kekeliruan di kalangan rakyat dan para wakil rakyat, dan menyebabkan ramai tertanya-tanya sama ada penguatkuasaan yang dibuat pihak berkuasa selepas tarikh tersebut masih sah atau sebaliknya.

Anggota Parlimen dan rakyat biasa Malaysia juga meluahkan rasa tidak percaya mereka apabila kerajaan menyatakan bahawa pentadbiran Putrajaya tidak akan memberikan penjelasan mengenai isu tersebut sehingga 2 Ogos depan - iaitu hari terakhir sidang khas Parlimen yang sedang berjalan, di mana merupakan sidang pertama dibuat pada tahun ini.

Pada Rabu, seorang Anggota Parlimen dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) semasa sidang Dewan Rakyat telah mempersoal mengapa kerajaan perlu menunggu sehingga Isnin depan untuk membuat penjelasan mengenai undang-undang tersebut.

"Sudah tentu, kamu sedar bahawa Parlimen hanya bersidang selama lima hari kali ini. Kenapa tidak dipercepatkan untuk memperdengarkan isu ini? Kenapa hendak melambatkan lagi perkara ini?," personal M Kulasegaran, yang merupakan bekas Menteri Sumber Manusia.

"Menteri Undang-Undang sedang duduk di sana. Perdana Menteri juga ada di sini. Berdiri dan jawab sajalah."

'Perkara paling bodoh pernah saya lihat'

Rakyat Malaysia yang mengikut sesi Parlimen itu telah membawa ke media sosial bagi mempersoalkan mengapa negara tidak dimaklumkan pada 21 Julai lalu bahawa ordinan-ordinan darurat telah dibatalkan, atau mengenai keputusan bahawa Proklamasi Darurat di seluruh negara tidak akan dilanjutkan selepas tarikh akhirnya pada 1 Ogos ini.

"Bagaimana Ordinan-ordinan Darurat telah dibatalkan selama lima hari dan rakyat Malaysia tidak tahu langsung mengenainya?" kata seorang pengguna Twitter, Joshua Michael pada Selasa.

Seorang lagi rakyat tempatan melalui ciapan di Twitter pula menyatakan bahawa kerajaan dilihat "mengambil ringan" isu nasional seperti itu.

"Mengenai penarikan ordinan darurat, ini perkara paling bodoh pernah saya lihat berlaku di Parlimen. Mereka bahkan tidak mahu menjawab soalan yang mudah walaupun ia adalah perkara paling penting," kata Firdaus Zamuri.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan enam ordinan sejak darurat dikuatkuasakan pada Januari lalu, yang melihat Parlimen turut digantung. Antara undang-undang yang dibuat itu termasuk meningkatkan jumlah denda bagi kesalahan melanggar peraturan mengenai COVID-19, dan undang-undang kontroversi yang menghukum "berita palsu" mengenai Darurat.

Fahmi Fadzil, Anggota Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat, pada Selasa memperincikan bagaimana kekeliruan boleh tercetus daripada pengumuman mengenai pembatalan ordinan darurat itu.

Kata beliau, lebih 2,200 denda atas kesalahan melanggar perintah berkurung telah dikeluarkan pihak berkuasa di antara 21 Julai dan 25 Julai, dan kebanyakan daripada saman itu bernilai melebihi RM1,000 (AS$236), seperti diperuntukkan ordinan yang menyatakan bahawa penalti boleh dikenakan sehingga ke RM10,000.

"Orang ramai tertanya-tanya sekiranya mereka telah dikenakan denda RM10,000 sejak 21 Julai, adakah mereka dikehendaki hadir ke mahkamah? Adakah mereka patut mengaku bersalah?

"Kebanyakan daripada kompaun yang dikenakan itu berjumlah lebih RM1,000. Jika kita tunggu sehingga Isnin, apa akan berlaku? Ini sebabnya kita tidak boleh menunggu sehingga Isnin."

UMNO 'tidak tahu' mengenai pembatalan ordinan

Tambah mengelirukan isu itu lagi, adalah apabila pembatalan enam ordinan darurat tersebut tidak di siarkan dalam gazet atau jurnal rasmi kerajaan dalam tempoh tujuh hari selepas tarikh undang-undang berkenaan dikatakan telah ditamatkan kerajaan.

Disebabkan itu, pada pandangan pakar perlembagaan dan peguam New Sin Yew, enam ordinan tersebut masih berkuatkuasa kerana tidak ada bukti bahawa ia telah dibatalkan atau makluman telah dibuat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai pembatalan itu.

"Pertama sekali, tidak ada bukti bahawa Yang di-Pertuan Agong telah membatalkan ordinan-ordinan tersebut. Tuanku mesti bertindak berdasarkan nasihat dari Kabinet, dan Baginda mesti dipersembahkan dengan pembatalan itu, untuk Tuanku menyetujuinya. Kabinet tidak boleh bertindak sendiri dan melangkaui Raja," New memberitahu BenarNews.

"Kedua, tidak ada sebarang penerbitan dibuat di dalam Gazet Kerajaan mengenai pembatalan ini."

Sementara itu, Ahmad Zahid Hamidi, presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) - yang merupakan parti terbesar dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional pada Rabu berkata bahawa parti berkenaan tidak mengetahui mengenai pembatalan ordinan tersebut sebelum ini.

"UMNO tidak tahu pun Ordinan Darurat sudah dibatalkan sejak 21 Julai 2021. Walaupun terdapat sebahagian Anggota Parlimen UMNO dalam Kerajaan Persekutuan," kata Zahid dalam satu kenyataan.

Kabinet Muhyiddin mempunyai sembilan orang menteri dari UMNO, termasuk Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa dan Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri, yang turut menyertai mesyuarat Kabinet pada 12 Julai yang dikatakan telah memutuskan pembatalan undang-undang tersebut.

Annuar juga telah mencetuskan lebih kekeliruan kepada Ahli Parlimen melalui satu ciapannya di Twitter pada Selasa, apabila beliau menyatakan "yang dalam proses pembatalan ialah ordinan-ordinan".

Tweet itu memberikan gambaran bahawa undang-undang darurat sebenarnya masih berkuatkuasa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.