Pemimpin Pembangkang Dalam Buangan Kemboja Sam Rainsy Tiba di Malaysia

Khas untuk BeritaBenar
2019.11.09
rainsey1000.jpeg Ketua Pembangkang dalam buangan Sam Rainsy (dua dari kanan), yang juga pemangku presiden Parti Penyelamat Nasional Kemboja, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 9 Nov, 2019.
[AFP]

Pemimpin pembangkang Kemboja Sam Rainsy tiba di Malaysia pada Sabtu, dengan menegaskan bahawa kempennya untuk mencabar Perdana Menteri Hun Sen berada "di landasan betul" walaupun beliau baru separuh jalan daripada usahanya untuk kembali daripada pembuangan.

"Teruslah berharap, kita berada di landasan yang betul," kata Rainsy setibanya beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan penerbangan dari Paris yang dinaikinya pada Jumaat.

"Demokrasi akan berlaku, Demokrasi telah berjaya dilaksanakan di Malaysia. Demokrasi akan berlaku di Kemboja," katanya yang juga pemangku presiden Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP).

Rainsy, 70, tidak memberitahu bagaimana beliau akan tiba di Kemboja dari Malaysia. Percubaannya untuk pulang ke Kemboja melalui Thailand gagal dilakukan pada Khamis apabila beliau tidak dibenarkan menaiki pesawat Thai Airways di Paris.

Beliau memberitahu Radio Free Asia bahawa 9 Nov bukanlah "hari terakhir untuk pulang semula ke Kemboja" sebaliknya merupakan langkah baru dalam perjuangannya untuk menyelamatkan CNRP dan demokrasi di Kemboja.

"Inilah permulaan perjuangan dan usaha  mendapatkan demokrasi serta kebangkitan semula CNRP."

Timbalan Presiden CNRP Mu Sochua pula memberitahu RFA bahawa "rancangan kami tidak akan berubah."

"Saya ingin merayu kepada semua, tolonglah terus bersama-sama dengan kami kerana kami tidak akan mengakhirinya pada 9 Nov," katanya.

Rainsy berkata ia adalah "kejayaan politik" bagi beliau untuk dibenarkan mendarat di Malaysia, selepas Hun Sen menekan negara-negara Asia Tenggara supaya menolak kemasukan anggota-anggota CNRP. Beliau akan memberi ucapan kepada Parlimen Malaysia pada 12 Nov, katanya.

"Ini sesuatu yang memberi galakan kepada saya," katanya.

Seperti Rainsy, Sochua turut memuji Malaysia.

"Kami melihat Malaysia sangat prihatin berhubung hak dan kebebasan untuk kami semua," katanya kepada RFA.

"Saya ingin menyatakan semula bahawa kami boleh datang ke sini, kerana mereka membenarkan kami untuk datang," kata Sochua. Malaysia membenarkannya memasuki negara itu selepas menahannya selama 19 jam bagi tujuan soal siasat berhubung hasratnya.

"Saya ditahan kerana satu 'senarai hitam' Hun Sen, yang meminta Malaysia serta negara-negara lain di rantau Asia untuk berbuat demikian, tetapi mereka menahan kami hanya untuk masa yang singkat kemudian membebaskan kami selepas memahami bahawa kami tidak bersalah terhadap tuduhan yang dilontarkan Hun Sen kepada kami," katanya kepada RFA.

Pujian untuk Malaysia


"Malaysia layak mendapat pujian daripada seluruh dunia," kata Phil Robertson yang mewakili Human Rights Watch yang berpejabat di Amerika Syarikat. "Lebih banyak negara di ASEAN perlu mencontohi Malaysia yang ke hadapan sekiranya persatuan itu mahu membuang tanggapan bahawa ia semakin menjadi kelab diktator."

CNRP mengumumkan pada Ogos lalu bahawa Rainsy akan kembali ke Kemboja pada 9 Nov - Hari Kemerdekaan negara itu – bagi memimpin pemulihan demokrasi, dengan meminta para penyokong dan anggota pasukan keselamatan Kemboja untuk menyertainya.

Hun Sen telah melabelkan pelan itu sebagai sebahagian daripada rancangan pemberontakan dan berikrar untuk menangkap pemimpin pembangkang yang ditemui.

"Langkah pihak berkuasa ini bukanlah sekatan politik terhadap hak dan kebebasan, tetapi merupakan penguatkuasaan undang-undang bagi mengelak berlakunya kekecohan dalam masyarakat dengan kegiatan politik yang melangkaui undang-undang," kata jurucakap Kementerian Keadilan Kemboja, Chhin Malin, kepada RFA.

Sejak Sam Rainsy melarikan diri dari Kemboja pada 2012 untuk mengelak sejumlah pertuduhan dan sabitan yang ramai melihatnya sebagai bermotifkan politik, Mahkamah Agung Kemboja pada November 2017 membubarkan CNRP berikutan peranannya dalam rancangan yang didakwa cuba menggulingkan kerajaan.

Sam Rainsy menghadapi hukuman penjara selama 18 tahun berikutan  keputusan mahkamah sebelum ini, tetapi beliau menolaknya dengan mendakwa bahawa ia adalah penganiayaan politik.

Kerajaan Hun Sen meletakkan wilayah sempadan Kemboja di bawah pemantauan pihak tentera dan mengarahkan pasukan tentera supaya menyerbu mana-mana perhimpunan pembangkang yang diadakan pada tarikh cadangan kepulangan Rainsy, menghalang syarikat penerbangan komersil yang berkhidmat untuk negara itu daripada membenarkan ketua CNRP tersebut menaiki penerbangan mereka serta meminta kerjasama negara-negara jiran dengan mengeluarkan waran tangkapan bagi memastikan kepulangannya disekat.

"Kami cuba melakukan segala yang terbaik untuk menghormati janji kami, tetapi Hun Sen mula panik apabila 9 Nov semakin hampir, dan beliau mengerahkan pasukan bersenjata ditempatkan di sepanjang sempadan untuk menghalang kami pulang ke Kemboja," kata Sochua kepada RFA.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.