Mahkamah Malaysia Tolak Rayuan Kerajaan Tangguh Beri Kerakyatan Anak

Panel hakim mendapati tiada keadaan luar biasa untuk membenarkan permohonan kerajaan memberi kerakyataan kepada kanak-kanak lahir oleh ibu rakyat Malaysia di luar negara.
Hadi Azmi
2021.12.22
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Mahkamah Malaysia Tolak Rayuan Kerajaan Tangguh Beri Kerakyatan Anak Kumpulan ibu warga Malaysia yang memfailkan saman terhadap kerajaan bergambar bersama peguam mereka di pejabat guaman di Kuala Lumpur, 22 Disember 2021.
(Ihsan Joshua Andran)

Mahkamah kedua tertinggi Malaysia pada Rabu membuat keputusan sebulat suara menolak permohonan kerajaan untuk mendapatkan penangguhan arahan diberikan mahkamah sebelum ini supaya hak kerakyatan diberikan kepada anak kepada wanita Malaysia yang dilahirkan di luar negara bersama pasangan asing.

Dalam membuat keputusan tersebut, panel hakim menekankan bahawa isu tersebut adalah berkenaan hak kanak-kanak dan bukannya satu perbicaraan membabitkan harta benda biasa (chattel).

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara berkata bahawa tidak terdapat keadaan luar biasa untuk mewajarkan arahan berkenaan ditangguhkan sehingga selesai pendengaran rayuan, kerana ia akan memanjangkan lagi sengsara terhadap kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara dan terpaksa ditinggalkan setiap kali ibu mereka pulang ke Malaysia.

"Kami tidak diyakinkan bahawa terdapat keadaan luar biasa untuk menggunakan budi bicara mahkamah ini bagi memberikan perintah penangguhan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi," kata Hakim Kamaludin Md. Said yang mempengerusikan panel hakim itu.

"Kita bukan mengendalikan isu harta benda biasa seperti wang ringgit dan barangan. Kita sedang berhadapan dengan manusia, kanak-kanak, termasuk sesetengah yang sudah dinafikan hak mereka sejak 10 tahun lalu," tambah beliau.

Keputusan mahkamah itu diberikan melalui satu sesi yang diadakan secara maya, selepas para hakim mendengar permohonan yang dibuat kerajaan.

Mahkamah Rayuan itu sebelum ini telah menetapkan Mac 2022 untuk mendengar rayuan difailkan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini yang memihak kepada kaum ibu itu.

Kemenangan bersejarah kaum ibu Malaysia

Pada 9 September lepas, enam wanita temapatan Malaysia telah mencatat sejarah apabila memenangi satu kes yang membuktikan bahawa undang-undang kerakyatan negara itu telah mendiskriminasi wanita dengan menghalang mereka mewariskan kerakyatan terhadap anak yang dilahirkan di luar negara sedangkan kaum lelaki Malaysia dibenarkan berbuat demikian.

Mereka telah mencabar klausa dalam Perlembagaan Persekutuan yang didakwa secara tidak langsung menyatakan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak layak memperoleh kerakyatan Malaysia.

Ketika berhujah melawan permohonan penangguhan di Mahkamah Rayuan, peguam Gurdial Singh Nijar yang mewakili kaum ibu berkata bahawa perintah penangguhan hanya akan memanjangkan lagi episod penderitaan kanak-kanak yang terlibat serta keluarga mereka.

"Seorang anak adalah permata paling berharga buat sesebuah keluarga. Mereka memerlukan kasih sayang dan sokongan keluarga. Menghalang hak mereka akan menambah kesakitan yang dialami oleh mereka akibat perpisahan dan ditinggalkan. Ia akan akhirnya menghancurkan keluarga mereka," kata Nijar.

Pada 12 Oktober, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, yang merupakan salah seorang responden dalam saman difailkan enam wanita tersebut, berkata bahawa beliau bersimpati dengan nasib mereka namun mendakwa bahawa tangannya terikat kerana perlu mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu temuramah bersama stesen televisyen negara RTM, Hamzah mempertahankan tindakan kementeriannya yang tidak menurut arahan mahkamah supaya memberikan kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak yang terlibat, dan menyatakan bahawa kerakyatan adalah hadiah tertinggi boleh diberikan oleh kerajaan dan ia tidak boleh diberikan dengan mudah.

"Saya sebagai menteri hanya boleh mengikut Perlembagaan Persekutuan. Saya bersimpati, dan isu ini tidak ditolak begitu sahaja," kata Hamzah, yang menyatakan bahawa sekiranya beliau mengikut arahan Mahkamah Tinggi, ia akan membuatkan dirinya berdepan konflik dengan perlembagaan negara.

Komen Hamzah itu bagaimanapun bertentangan dengan penghakiman dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Akhtar Tahir yang mendapati bahawa tidak ada konflik perlembagaan dalam keputusan yang dibuatnya pada September lepas.

"Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa "setiap orang yang dilahirkan di luar Persekutuan... yang bapanya adalah warganegara pada masa kelahiran adalah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang." Perkataan ‘bapa’ mesti dibaca dan difahami turut merangkumi ibu," kata Akhtar.

'Anak saya berdoa setiap malam supaya diberikan kerakyatan'

Menurut aktivis hak keluarga, keputusan oleh Mahkamah Rayuan pada Rabu bermakna para ibu rakyat Malaysia kini boleh mendapatkan dokumen pengenalan diri untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara. Ia juga akan menamatkan masalah yang dihadapi mereka untuk mendapat akses kepada perkhidmatan penting termasuk kesihatan dan pendidikan, serta boleh tinggal bersama dengan keluarga tanpa rasa takut bahawa mereka akan dipisahkan.

"Anak saya berdoa setiap malam supaya dia boleh mendapat kerakyatan, kerana kami telah menunggu sejak 2017. Saya amat bersyukur akhirnya anak perempuan saya akan dapat kerakyatan Malaysia dan diterima masuk ke negara asal saya supaya kami boleh kembali ke Malaysia tanpa risau akan dipisahkan," kata Li Li, seorang ibu tunggal yang tinggal sendiri dengan anaknya di Itali.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu juga menerima banyak pujian dari warga Malaysia dalam media sosial, termasuk mereka yang berada dalam situasi serupa sewaktu masih kanak-kanak sebelum ini dan masih belum mendapat kerakyatan sehingga hari ini.

"Hari ini, saya adalah rakyat Malaysia dari segi perundangan. Saya berasa amat gembira, lega dan 'vindicated'," kata wartawan penyiaran dan aktivis hak kesaksamaan jantina, Tehmina Kaoosi, 37, yang dilahirkan di India kepada bapa warga India dan ibu warga Malaysia.

Keputusan itu adalah kemenangan yang didapati dengan susah payah dan masih belum dijamin, tambah beliau.

"Tidak ada apa yang dapat menggantikan masa bertahun-tahun di mana kami menghadapi isu psikologi, masalah kewangan, dan penderitaan disebabkan kegagalan kerajaan Malaysia untuk mengiktiraf ribuan anak wanita Malaysia yang dilahirkan di luar negara sebagai rakyat Malaysia," kata beliau di Twitter.

Kerajaan Malaysia masih boleh membawa rayuan ke Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi dalam negara. Mereka mempunyai masa 30 hari untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Peguam Joshua Andran yang mewakili kumpulan ibu bersama-sama dengan peguam Nijar berkata pihak peguam kerajaan dari Pejabat Peguam Negara masih belum memberikan sebarang isyarat sama ada mereka akan membawa rayuan ke peringkat seterusnya.

"Masih belum ada indikasi setakat ini sekiranya perkara ini akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan," kata beliau kepada BenarNews.

Sementara itu, kata Andran, para ibu Malaysia kini sudah boleh membuat permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Mereka boleh membuat permohonan. Mereka perlu melalui proses permohonan untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri, tetapi ia sepatutnya diluluskan," kata beliau.

JPN dan kerajaan Malaysia tidak memberikan respon terhadap permintaan BenarNews untuk mendapatkan komen mereka berkenaan perkembangan terbaharu itu.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut membantu kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh