Menteri Dalam Negeri pertahan pindaan Perlembagaan halang kerakyatan automatik bayi terdampar

Kuasa menentukan kerakyatan anak terbuang bakal diletak di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri ditentang ahli politik dan aktivis hak asasi manusia.
Noah Lee & Minderjeet Kaur
2024.03.11
Kuala Lumpur
Menteri Dalam Negeri pertahan pindaan Perlembagaan halang kerakyatan automatik bayi terdampar Seorang peserta perhimpunan Perarakan Hari Wanita 2024 membawa poster mengenai isu kerakyatan ketika berarak dari pusat membeli-belah Sogo ke Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, 9 Mac 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Menteri Dalam Negeri Malaysia pada Isnin mempertahankan rancangan kerajaan mahu meminda undang-undang kerakyataan dengan perubahan itu katanya tidak akan menafikan peluang anak terdampar, anak angkat dan anak lahir di luar ikatan perkahwinan yang layak untuk mendapat kewarganegaraan mereka.

Saifuddin Nasution Ismail semasa bercakap di Parlimen berkata langkah tersebut bukan bertujuan untuk berlaku kejam atau menutup peluang anak terdampar, anak angkat dan anak lahir di luar ikatan perkahwinan mendapat kerakyatan tetapi mengelak daripada kewarganegaraan diberikan kepada yang tidak layak serta mengelak penyalahgunaan keistimewaan yang diberikan negara.

Katanya, satu bentuk mekanisme kawalan perlu diletakkan dalam undang-undang pemberian kerakyatanan supaya status tersebut tidak jatuh ke tangan mereka yang tidak layak, termasuk anak pasangan warga asing.

"Kehadiran kira-kira 3.5 juta warga asing di negara ini mengubah landskap dari segi komposisi rakyat dalam negara. Sebab itu pindaan yang hendak dibuat adalah sebagai persiapan bagi masa depan.

"Pembentangan (pindaan) oleh Kerajaan Madani, jauh daripada dakwaan bahawa (kami) berlaku kejam, zalim, menutup pintu dan sebagainya, tetapi komitmen menerusi rekod kelulusan tahun lepas adalah sebanyak 11,700 dengan sebanyak 85 peratus daripadanya membabitkan bayi terdampar, anak angkat dan anak lahir di luar ikatan perkahwinan," kata Saifuddin di Dewan Rakyat.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa khas kerajaan untuk mendaftarkan seseorang yang berumur di bawah 21 tahun dan memberikan kewarganegaraan kepada bayi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dari Pakatan Harapan yang mempertikaikan hasrat kerajaan memansuhkan Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keadaan sedia ada, peruntukan tersebut memberikan kerakyatan automatik kepada mana-mana anak terdampar yang ditemui dengan anggapan bahawa anak itu "telah lahir di tempat itu dan ibunya bermastautin secara tetap di tempat itu", kecuali jika dibuktikan sebaliknya.

Melalui pindaan berkenaan, kerajaan mahu mengubah pemberian kewarganegaraan kepada anak terdampar daripada cara pelaksanaan undang-undang kepada cara pendaftaran.

Kepada soalan Ramkarpal, Saifuddin mendakwa peruntukan sedia ada boleh disalah guna pasangan warga asing dengan meninggalkan anak mereka kepada pihak hospital yang turut memberikan implikasi kewangan kepada kerajaan.

"...berlaku juga kes di mana warga asing bersama pasangannya juga warga asing, terang-terang kedua-dua mereka bukan warganegara, apabila berlaku kelahiran bayi di hospital mereka keluar begitu saja, bil hospital tidak dibayar.

"Kes bil hospital tidak dibayar oleh warga asing ini mencecah ratusan juta ringgit… kita ada angkanya... Mereka tahu di bawah Seksyen 19B, anak yang lahir di sini boleh dapat terus kerakyatan," katanya.

Menurut Saifuddin, statistik kerajaan menunjukkan terdapat 142 kes kerakyatan membabitkan anak terdampar antara 2013 dan 2024.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan angka bagi kes membabitkan anak pasangan warga asing yang ditinggalkan di hospital.

Pada Jumaat lepas, Saifuddin dilaporkan berkata, Jemaah Menteri telah memberikan persetujuan kepada draf pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membabitkan undang-undang kewarganegaraan.

Menurut laporan media tempatan, persetujuan itu diberikan selepas beliau membentangkan draf pindaan kepada mesyuarat Kabinet pada hari yang sama.

Kritikan

Bagaimanapun, keputusan tersebut mendapat kritikan banyak pihak termasuk aktivis dan kumpulan masyarakat sivil, yang menyelar rancangan memansuhkan Seksyen 19B sebagai satu langkah ke belakang.

Sementara itu, sebuah organisasi hak asasi kanak-kanak menyelar kenyataan Saifuddin yang disifatkan sebagai telah keliru mengenai isu sebenar.

Maalini Ramalo, pengarah perlindungan sosial untuk Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar berkata Seksyen 19B yang ingin dimansuhkan oleh kerajaan itu sepatutnya tidak terpakai dalam kes bayi yang ditinggalkan oleh pasangan warga asing di hospital.

"...sekiranya bayi ditinggalkan pasangan warga asing di hospital, maka ia adalah jelas diketahui bahawa ibu bapa anak berkenaan adalah warga asing, maka kerajaan boleh mengambil langkah yang sepatutnya," kata beliau kepada BenarNews.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut menggesa supaya kerajaan membatalkan rancangannya untuk meminda Perlembagaan yang sebelum ini memberikan hak kerakyatan automatik kepada bayi terdampar.

Kata beliau, golongan tersebut merupakan anak yang tidak berdosa yang ditinggalkan ibu bapa mereka dan menjadi tanggungjawab negara untuk melindungi mereka.

"Mengapa perlu dipinda peruntukan undang undang yang baik, penuh rasa ehsan, timbang rasa dan berperikemanusian yang telah berkuat kuasa selama ini. Mengapa kuasa menentukan kewarganegaraan bayi-bayi tidak berdosa itu dirampas dari Perlembagaan Persekutuan untuk diserah kepada kuasa seorang Menteri Dalam Negeri dan sebuah birokrasi pentadbiran yang dipanggil Kementerian Dalam Negeri.

"Apa makna sebuah kerajaan yang menggelar diri mereka kerajaan reformasi dan kerajaan Madani tetapi sikap mereka dalam hal asasi hak manusia bayi-bayi tidak berdosa itu tidak langsung menunjukkan rasa ehsan, kasih sayang dan berperikemanusiaan," kata beliau dalam satu kenyataan.

Hassan yang merupakan wakil rakyat kerajaan juga menyatakan bahawa beliau akan menentang cadangan pindaan Perlembagaan itu sekiranya ia dibentangkan di Dewan Rakyat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.