Follow us

3,407 Pemastautin Tetap India Diberi Kewarganegaraan Malaysia, kata Mahathir

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-08-14
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad tersenyum semasa  menjawab soalan dalam satu wawancara di Putrajaya, 13 Ogos 2018.
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad tersenyum semasa menjawab soalan dalam satu wawancara di Putrajaya, 13 Ogos 2018.
AP

Pemastautin tetap Malaysia berusia 60 tahun ke atas, termasuk 3,407 orang rakyat India yang tinggal di negara itu, akan menjadi warganegara sekiranya mereka memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh kerajaan baru, kata Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Mahathir berkata, langkah kerajaan itu adalah selaras dengan janji pilihan raya Pakatan Harapan (PH) kepada masyarakat India sebelum ia mengambil alih kuasa berikutan kemenangan besarnya dalam pilihan raya umum 9 Mei.

"Ini untuk menyelesaikan masalah tanpa negara dalam kalangan masyarakat India di negara ini," kata pemimpin berusia 93 tahun itu pada sidang media, sambil menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat pada Isnin selepas pertemuannya dengan wakil-wakil masyarakat,  Anggota Parlimen dan Senator kaum India.

"Mereka yangh berumur 60 tahun (dan ke atas) boleh mendapatkan kad pengenalan biru," kata Mahathir, yang merujuk kepada kad pengenalan kewarganegaraan Malaysia.

Kelonggaran syarat yang diputuskan kerajaan itu akan membuka laluan bagi pemberian kewarganegaraan kepada anak-anak daripada perkahwinan campur.

Keputusan kerajaan itu merangkumi semua kumpulan etnik yang ada di Malaysia, kata Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran pada sidang media itu.

Kerajaan memberikan kad pengenalan merah kepada Kulasegaran semasa beliau berusia 12 tahun walaupun dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia. Menurutnya, beliau terpaksa menyelesaikan beberapa isu sebelum boleh menerima kad pengenalan biru.

Lebih 269,000 pemastautin tetap menganggap Malaysia, sebuah negara majoriti Muslim yang mempunyai kira-kira 32 juta penduduk, sebagai tempat tinggal mereka, menurut angka terbaru daripada Kementerian Dalam Negeri. Terdapat 303,274 warganegara asing yang mempunyai dokumen sah tinggal di negara itu sehingga Jun, kata para pegawai berkenaan.

Mereka yang mempunyai status pemastautin tetap di Malaysia memegang kad pengenalan berwargan merah, yang tidak membenarkan mereka mendapatkan pekerjaan dalam kerajaan atau menyertai angkatan tentera. Mereka yang beragama Islam dengan status itu juga tidak boleh menunaikan haji di Makkah, Arab Saudi di bawah kuota Malaysia.

Raj Kumar, seorang daripada 3,407 kaum India yang terlibat dalam keputusan kerajaan itu, berkata, beliau merasa lega apabila mendapat tahu bahawa semua kesulitan berkaitan dokumennya bakal berakhir.

"Saya dilahirkan di sini, saya pergi ke sekolah di sini ketika Kuala Lumpur masih dikelilingi oleh lombong bijih timah, tetapi sampai sekarang saya tidak dianggap sebagai warganegara," kata penduduk berusia 65 tahun itu yang tinggal di Petaling Jaya, di luar Kuala Lumpur, kepada BeritaBenar.

Walaupun sudah mencapai usia itu, katanya, beliau belum pernah memasuki mana-mana pusat mengundi pilihan raya.

"Saya tidak sabar untuk mengundi pasukan (kerajaan) ini supaya kembali memerintah pada pilihan raya akan datang," katanya.

Dr Mahathir berkata, bagi mereka yang berusia di bawah 60 tahun pula, pemberian kewarganegaraan mereka adalah tertakluk kepada beberapa syarat termasuk merupakan anak kepada ibu bapa Malaysia dan dilahirkan di Malaysia.

Selain warga emas, Perdana Menteri mengumumkan bahawa anak-anak yang dilahirkan di Malaysia kepada sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa yang merupakan warganegara Malaysia layak mendapat kewarganegaraan, yang berbeza daripada sistem lama di mana kewarganegaraan diberikan hanya kepada anak-anak yang dilahirkan di Malaysia dengan bapanya adalah rakyat Malaysia.

Mempersoalkan kesungguhan kerajaan

Sharmila Sekaran, pengerusi Suara Anak, kumpulan yang memperjuangkan hak kanak-kanak, menyambut baik pengumuman Mahathir itu.

Namun, beliau mempersoalkan kesungguhan kerajaan dalam menyelesaikan masalah tanpa kerakyatan kanak-kanak lain seperti anak luar nikah yang mempunyai bapa rakyat Malaysia, anak-anak yang dilahirkan di luar Malaysia yang mempunyai ibu rakyat Malaysia serta anak-anak tanpa negara yang dijadikan anak angkat sah oleh rakyat Malaysia.

Malaysia adalah satu daripada 12 negara yang menafikan hak wanita untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka secara sama rata seperti lelaki, menurut beberapa kumpulan hak asasi.

Di bawah undang-undang semasa, seorang kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu yang merupakan rakyat Malaysia  secara automatiknya dianggap bukan warganegara Malaysia. Ibu berkenaan perlu mengemukakan permohonan kepada Kedutaan Malaysia di tempat tinggalnya dan menunggu kelulusan, yang sering mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Banyak juga permohonan yang telah ditolak.

"Dalam kalangan masyarakat India, perkahwinan adat masih berlaku, jadi anak yang lahir dari perkahwinan yang diatur itu tidak dianggap sebagai anak sah walaupun bapanya rakyat Malaysia kerana ibu bapa tidak berkahwin secara sah," kata Sharmila kepada BeritaBenar.

Beliau berkata, seorang kanak-kanak tanpa ibu bapa yang diketahui dan kanak-kanak tanpa negara yang berada di bawah jagaan lembaga kebajikan juga tidak boleh diberi kewarganegaraan walaupun berada dalam jagaan negara.

"Mengapa anak-anak ini didiskriminasi?" katanya.

Mahathir berkata, senario sedemikian memerlukan perbincangan lanjut.

"Sekarang ini, anda tampil dengan LGBT, lelaki berkahwin dengan lelaki, wanita berkahwin dengan wanita, dan mereka juga mempunyai anak," katanya. "Semua perubahan biologi ini berlaku."

Selain daripada syarat membabitkan ibu bapa dan kelahiran, kerajaan juga akan mewajibkan pemohon menjalani ujian kompetensi Bahasa Malaysia yang mudah, kata beliau.

"Ujian kecekapan Bahasa Malaysia hanya akan menyentuh penggunaan bahasa yang mudah. Sekiranya mereka lulus, kami akan menerima mereka [sebagai warganegara], "katanya.

Keperluan untuk mendapatkan kewarganegaraan mensyaratkan pemohon untuk berada di Malaysia selama sekurang-kurangnya 12 tahun, dengan sekurang-kurangnya 10 tahun sebagai penduduk, kata Mahathir.

Lihat Laman Penuh