Kerajaan Malaysia akur desakan gugur cadangan pindaan hak kerakyatan

Menurut Menteri Dalam Negeri, Kabinet setuju kekalkan peruntukan hak kerakyatan automatik bagi bayi terdampar, kanak-kanak tanpa kewarganegaraan dan anak tidak sah taraf.
Ahmad Mustakim Zulkifli
2024.03.22
Kuala Lumpur
Kerajaan Malaysia akur desakan gugur cadangan pindaan hak kerakyatan Peserta perarakan Hari Wanita 2024 memegang plakad dan sepanduk berkaitan hak kewarganegaraan di Kuala Lumpur, 9 Mac, 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kerajaan Malaysia menggugurkan dua cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan berhubung hak kerakyatan selepas berdepan tekanan pelbagai kumpulan masyarakat sivil dan pakar perundangan yang memberi amaran ribuan kanak-kanak tidak akan mendapat status kewarganegaraan jika ia diteruskan, demikian menurut Menteri Dalam Negeri.

Cadangan yang dibatalkan adalah berkaitan pemberian kewarganegaraan kepada bayi terdampar, kanak-kanak tanpa kerakyatan dan anak tidak sah taraf.

Bagaimanapun, kerajaan akan meneruskan tujuh lagi cadangan pindaan dalam rang undang-undang yang bakal dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat, kata Saifuddin Nasution Ismail pada Jumaat.

"Kita ada lapan cadangan pindaan. Tiga pindaan baharu dan empat peruntukan asal yang dibatalkan contohnya membabitkan kelahiran di Singapura pada tahun 1971, itu tidak terpakai lagi.

"Perkara 19B (bayi terdampar) dan Perkara 14(1)(E) Perlembagaan Persekutuan (kanak-kanak tanpa kewarganegaraan) sekarang kerakyatannya ialah melalui kuat kuasa undang-undang.

“Cadangan yang kami angkat ialah hendak mengubah kepada warganegara secara pendaftaran dan kami masukkan fasal baharu 15(A)(2). Keputusan Kabinet hari ini ialah kekalkan yang asal," katanya pada sidang media di Putrajaya.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Noor Aziah Mohd Awal menyambut baik keputusan Kabinet membatalkan hasrat meminda dua peruntukan yang melindungi hak bayi terdampar.

“Kerajaan prihatin terhadap pandangan rakyat. Suhakam memang membantah pindaan melibatkan anak terdampar. Keputusan itu sangat dihargai,” katanya kepada BenarNews.

Beliau berkata kerajaan perlu memberi tumpuan kepada proses pemberian kerakyatan kepada anak negeri Sabah yang belum mendapatnya meskipun dilahirkan di Malaysia ekoran isu kelewatan mendaftar kelahiran atau ketiadaan dokumen perkahwinan.

Menurut Noor Aziah, peraturan mengurus permohonan kewarganegaraan perlu diwujudkan bersekali dengan pindaan tersebut supaya tiada yang akan mengalami ketidaktentuan.

Bagaimanapun, kumpulan masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan mendesak kerajaan agar tidak tergesa-gesa membentangkan rang undang-undang pindaan Perlembagaan Persekutuan berkait kewarganegaraan di Parlimen meskipun dua cadangan telah dibatalkan.

Impak negatif

Gabungan Hak Kewarganegaraan Malaysia (MCRA) pula berkata tiga pindaan baharu yang dipersetujui Kabinet pada Jumaat akan memberi impak negatif kepada beberapa kumpulan rentan termasuk kanak-kanak tanpa kerakyatan, individu tanpa dokumentasi dan isteri warga asing lelaki Malaysia.

Tiga pindaan yang dikhuatiri menjejaskan hak kerakyatan ialah cadangan memansuhkan istilah pemastautin tetap, usia perkahwinan dengan isteri warga asing kurang dua tahun hingga kerakyatan boleh terlucut dan pengurangan tempoh umur daripada 21 kepada 18 tahun untuk proses memperoleh kerakyatan.

"Mengambil negeri Sabah sebagai contoh, hampir 30 peratus daripada penduduknya tidak mempunyai dokumen atau tanpa kewarganegaraan, penyelesaian tidak terletak pada pengurangan atau penyingkiran hak asasi dalam Perlembagaan Persekutuan,” menurut MCRA dalam satu kenyataan.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, kerakyatan boleh diperoleh melalui tiga kaedah iaitu kuat kuasa undang-undang, pendaftaran dan naturalisasi.

Bagaimanapun, cadangan pindaan membabitkan Perkara 14(1)(b) yang membolehkan anak dilahirkan di luar negara oleh wanita tempatan bersuamikan warga asing mendapat status warganegara disambut baik kumpulan aktivis yang telah lama memperjuangkan isu itu.

Sementara itu, aktivis hak kerakyatan Wong Kueng Hui berkata beliau menitiskan air mata selepas membaca pengumuman kerajaan pada Jumaat.

“Ini adalah satu kemenangan bagi para pejuang hak kewarganegaraan dan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya telah mengumumkan yang kami akan turun ke jalanan. Disebabkan pengumuman sidang media pada hari ini, kami membuat keputusan untuk tunda perhimpunan aman tersebut bagi menilai situasi dan menyusun langkah untuk aksi seterusnya,” katanya kepada BenarNews.

Bagaimanapun, beliau senada dengan MCRA berhubung tiga cadangan pindaan yang diteruskan kerana menyifatkannya sebagai ‘regresif.’

Untuk rekod, 80 peratus daripada 3,903 permohonan kerakyatan di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan yang membabitkan individu di bawah usia 21 tahun telah diluluskan setakat 7 Mac lepas, menurut Saifuddin Nasution sebelum ini.

Tiada data tepat mengenai jumlah individu tanpa kerakyatan walaupun anggaran meletakkan angka pada lebih 10,000 di Semenanjung Malaysia, demikian menurut laman sesawang Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.