Pulang Dari Bercuti Bawa Keranda Keluarga
2015.08.19

Penjual kuih dari Pulau Pinang, Neoh Hock Guan, yang sepatutnya pulang bersama isteri dan lima lagi ahli keluarga pada Selasa, dengan cerita gembira mengenai percutian di Bangkok, sebaliknya membawa keranda dan khabar sedih.
Hock Guan, 55, yang tiba pada petang Rabu membawa kisah pahit apabila isterinya Lim Saw Gek, 49, anak lelaki Neoh Jai Jun, 20, menantu lelaki Lee Tze Siang, 35, serta cucu perempuan berusia 4 tahun, Lee Jing Xuan, terkorban dalam kejadian letupan bom di Kuil Hindu, Erawan Shrine, di tengah-tengah kotaraya Bangkok pada Isnin.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 7 petang itu, persimpangan Rajaprasong, yang merupakan kawasan tumpuan pelancong serta kompleks membeli-belah dan hotel-hotel mewah, digegarkan oleh letupan bom yang meragut 20 nyawa dan mencederakan 123 orang.
Siasatan menunjukkan, mereka yang bertanggungjawab terhadap serangan itu, telah menggunakan bom paip dan meletakkannya di dalam kuil hindu yang menjadi tumpunan pelancong dan rakyat tempatan.
Kakak ipar Hock Guan, Lim Saw See, 52, yang juga Penduduk Tetap Singapura dikhuatiri turut terbunuh dalam tragedi keganasan paling buruk di ibukota Thailand itu.
Suasana pilu menyelubungi kediaman Hock Guan di Taman Dedap, Butterworth apabila kaum keluarga dan sahabat handai menyambut kepulangan Hock Guan.
Anak perempuannya, Neoh Yee Ling, 33, yang sedang mengandung lima bulan yang serta bersama rombongan keluarganya, terselamat dalam insiden bom berkenaan. Beliau bagaimanapun kehilangan suami dan anak perempuan berusia empat tahun.
"Saya sedang membakar colok untuk upacara sembahyang bersama ahli keluarga yang lain. Tiba-tiba berlaku letupan yang sangat kuat dan saya tercampak ke belakang,
"Sebaik saja bangun, saya terus mencari ahli keluarga dan melihat anak perempuan (Yee Ling) selamat tapi menantu saya (Tze Siang) dan anak lelaki (Jai Jun) sudah tidak bernyawa," kata Hock Guan yang kelihatan tenang sambil menceritakan kejadian tersebut kepada wakil media.
Hock Guan kemudian menemui isterinya Saw Gek terbaring berlumuran darah, sedang bertarung nyawa pada ketika itu, dan kemudiannya meninggal dunia.
"Saya merasa sangat bingung pada waktu itu. Saya hanya mampu menjerit meminta tolong.. Saya merasa sangat tidak berdaya," katanya dalam nada yang tersekat-sekat sambil mengurut tangan dan kakinya yang cedera dan masih berbalut akibat tragedi tersebut.
Mengulas lanjut, Hock Guan berkata, mayat isteri dan anak lelakinya akan disemadikan pada Ahad ini.
Sementara itu, di Kampung Selamat, Kepala Batas, bisan Hock Guan, Lee Tiang Heang, 61, masih menyembunyikan kejadian malang itu daripada cucunya Lee Jian Hen, 6, (seorang lagi anak pasangan Lee Tze Siang dan Neoh Yee Ling), kerana bimbang anak kecil itu tidak dapat menerima berita kehilangan ayah dan adik perempuannya.
"Dia bertanya kenapa gambar ayah dan ibu serta adiknya tersiar dalam berita televisyen. Kami tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan kepadanya.
Dia baru berumur 6 tahun, dia tidak akan faham," kata adik perempuan Tze Siang, Lee Tze Wen.
Tiang Heang dan isterinya Tan Soo Nyim masih diselubungi kesedihan dan tidak henti menangis ketika menerima kunjungan dari Timbalan Menteri Luar, Reezal Merican Naina Merican, di kediaman mereka pada pagi Rabu.
"Tze Siang adalah anak kedua dari lima adik beradik. Dia anak yang baik. Saya tak boleh komen sekarang. Kami semua sangat bersedih dan tidak boleh menerima sama sekali hakikat yang kami telah kehilangan anak dan cucu perempuan," ujar Tian Heang, yang enggan mengulas lanjut.
Reezal Merican, yang juga ahli Parlimen Kepala Batas berkata, kerajaan melalui Kedutaan Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menguruskan penghantaran pulang keempat-empat mayat mangsa yang dijangka tiba pada lewat Rabu.
Mengenai status Lim Saw See, Reezal berkata, mayatnya telah dikenalpasti namum pihak berkuasa Thai sedang menjalankan ujian DNA dan pengesahan rasmi akan dibuat sebaik sahaja keputusan tersebut diperolehi.
Awal Rabu, rakan baik kepada keluarga itu, Lim Gim Seong dilaporkan berkata, mayat Saw See telah ditemui pada lewat Selasa.
Manakala itu, mayat keempat-empat ahli keluarga yang telah dikenalpasti, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 10.38 malam Rabu sambil diiringi oleh empat ahli keluarga.
Empat buah kenderaan yang membawa mayat tersebut kemudiannya meninggalkan kompleks kargo lapangan terbang untuk ke Hospital Pulau Pinang bagi proses menukar keranda sebelum dihantar pulang ke Butterworth.
Selepas itu, mayat Tze Siang dan anak perempuannya dibawa pulang ke kediaman mereka di Taman Cengal, Butterworth manakala mayat ibu mertuanya Saw Gek dan adik iparnya Jai Jun dihantar pulang ke Taman Dedap, juga di Butterworth untuk upacara keagamaan dan penghormatan terakhir.
Kerajaan Thai tawar pampasan
Dalam perkembangan yang sama, agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan kerajaan Thailand akan membayar pampasan sebanyak RM46,000 (400,000 Baht) (AS$13,000) kepada setiap keluarga mangsa yang maut dalam insiden letupan bom di Bangkok itu.
Konsul Jeneral Thailand di Pulau Pinang, Ekajit Kraivichien dilaporkan sebagai berkata mangsa yang cedera dalam serangan itu pula mendapat bayaran pampasan maksimum RM12,000 (100,000 Baht) (AS$3,400) bagi menampung kos perubatan dan hospital.
"Kerajaan Thai bersedia menawarkan bantuan yang diperlukan.
"Fi visa akan dimansuhkan untuk anggota keluarga yang mati dan cedera dan dihantar ke hospital di negara itu. Kami bersedia membantu semua yang terlibat," katanya dalam sidang media bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Georgetown pada Rabu.
Daripada 22 mangsa yang maut, 11 daripadanya adalah pelancong dari Malaysia, United Kingdom, China, Hong Kong, Indonesia dan Singapura.
Letupan itu turut mencederakan 123 yang lain, di mana 68 masih dirawat di beberapa hospital di Bangkok dengan 12 dikatakan berada dalam keadaan kritikal.
Dua lagi rakyat Malaysia yang turut tercedera dalam letupan itu dikenalpasti sebagai Tan Rui Hun dan Tan Kim Siok - kedua-duanya berasal dari Kelantan, negeri di Pantai Timur Semanjung Malaysia.
Waran Tangkap
Dalam pada itu, Bangkok Post melaporkan Mahkamah Jenayah Thai telah mengeluarkan waran tangkap pada Rabu ke atas suspek lelaki yang dipercayai memasang bom di lokasi kejadian.
Jurucakap polis Prawut Thawornsiri dilaporkan sebagai berkata, waran itu telah diluluskan oleh Mahkamah Jenayah Selatan berikutan permohonan oleh Polis di-Raja Thai.
Waran itu dikeluarkan berdasarkan lakaran gambar suspek, yang dipercayai warga asing, hasil daripada imej yang dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi serangan.
Polis Thai turut menawarkan 1 juta baht (RM115,000) (AS$33,000) untuk maklumat yang boleh membantu sehingga tertangkapnya suspek.
Ketua polis Thai General Somyot Poompanmoung turut dilaporkan mendakwa serangan itu dilakukan oleh rangkaian keganasan dan percaya suspek mendapat bantuan individu lain dalam melakukan jenayah tersebut.
Dalam serangan berasingan pada Selasa, satu bahan letupan telah dilontarkan di sebuah jeti di Bangkok namun tiada kecederaan dilaporkan.
Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan insiden itu mempunyai kaitan dengan letupan pertama pada Isnin dan kawalan keselamatan telah dipertingkatkan di kotaraya itu, khususnya di kawasan yang popular di kalangan pelancong asing.
Bukan kematian pertama
Kematian lima ahli keluarga Hock Guan bukanlah yang pertama kali melibatkan rakyat Malaysia yang mengunjungi Thailand.
Pada April 2012, bandar Hat Yai, pusat pelancongan di daerah selatan Thai bergegar apabila Hotel Lee Gardens dibom, menyebabkan empat kematian, dua antaranya rakyat Malaysia.
Letupan itu, yang dikaitkan dengan gerakan pemisah selatan Thai, turut mencederakan 416 orang, termasuk 27 rakyat Malaysia.
Sejak lebih dua dekad lalu, selatan Thai sering bergolak dengan keganasan melibatkan gerakan pemisah yang menuntut autonomi dari kerajaan Thai.
Bagaimanapun, pihak berkuasa negara itu menolak kaitan kumpulan pemisah selatan Thai dengan serangan terbaru di Bangkok pada Isnin, kerana jenis bom paip yang digunakan dalam insiden itu tidak pernah digunakan dalam serangan di daerah yang bergolak itu.