Follow us

Malaysia Kaji Semula Projek Laluan Keretapi Disokong China, Batal Projek Keretapi Laju Ke Singapura

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-05-29
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad (tengah) semasa menghadiri majlis berbuka puasa  sempena Ramadan, di Kuala Lumpur, 29 Mei 2018.
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad (tengah) semasa menghadiri majlis berbuka puasa sempena Ramadan, di Kuala Lumpur, 29 Mei 2018.
[AP]

Kerajaan baru Malaysia berkata bahawa ia mahu merundingkan semula syarat-syarat perjanjian bagi projek laluan keretapi berbilion dolar yang disokong oleh China dan membatalkan rancangan projek keretapi berkelajuan tinggi ke Singapura, kerana ia menelan belanja yang ‘amat besar’ selain menghasilkan pulangan pelaburan yang rendah.

Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang mengetuai kemenangan pilihan raya umum dengan keputusan menakjubkan awal bulan ini, berkata, keputusan kerajaannya untuk membatalkan rancangan  membina landasan keretapi berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura adalah muktamad.

"Ia tidak memberi manfaat," kata Mahathir, 92, kepada pemberita pada Isnin. "Ia akan membebankan kita dengan sejumlah besar wang, kita tidak akan mendapat pulangan daripada operasi ini."

Dan, dalam satu temu bual pada hujung minggu, Mahathir berkata, kerajaannya akan merundingkan semula syarat-syarat projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang bernilai $14 bilion - satu daripada projek utama pemimpin terdahulu, bekas Perdana Menteri Najib Razak - yang sepanjang 688 km (430 batu) dan menghubungkan Laut China Selatan di bahagian timur sempadan Thailand dengan laluan perkapalan strategik di barat Selat Melaka.

Langkah itu, katanya, akan mengurangkan satu per lima hutang dan liabiliti Malaysia.

"Kami sedang merundingkan semula syarat-syaratnya," kata Mahathir kepada akhbar mingguan perniagaan dan pelaburan The Edge Malaysia, sambil menjelaskan bahawa langkah membatalkan projek-projek mega dapat mengurangkan hutang nasional negara sebanyak $50 bilion. "Syarat-syarat itu amat merosakkan ekonomi kita."

Pemimpin baru Malaysia itu membuat keputusan berganda itu beberapa hari selepas menteri kewangan baru, Lim Guan Eng, berkata bahawa liabiliti Kuala Lumpur telah melonjak kepada RM1 trilion  (A$251.7 bilion), atau lebih 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar negara.

Bekas menteri ekonomi Najib, Rahman Dahlan, pada Selasa membantah keputusan Mahathir untuk membatalkan projek keretapi berkelajuan tinggi dikenali sebagai High Speed ​​Rail (HSR), yang dianggapnya sebagai "berpandangan singkat," dengan berkata ia akan menyaksikan negara kehilangan RM209 bilion (AS$50 bilion) dalam pendapatan negara kasar dan peluang untuk menjana 70,000 pekerjaan.

"Adalah terlalu mudah bagi perdana menteri untuk menyatakan bahawa projek itu tidak akan memberi faedah kerana ia akan membebankan negara dengan sejumlah besar wang dan ia tidak akan menghasilkan pendapatan sama sekali daripada operasi itu," kata Rahman dalam satu kenyataan.

Rahman memetik satu kajian dibiayai Jepun yang menunjukkan bahawa laluan keretapi berkelajuan tinggi akan menyumbang keuntungan ekonomi sebanyak RM4 bilion (AS$ 1 bilion) setahun untuk Malaysia.

Beliau juga mempersoalkan angka RM110 bilion (AS$27.7 bilion) yang dikatakan perdana menteri untuk projek itu, dengan alasan ia sangat berbeza daripada kos RM50 bilion (AS$12.6 bilion) hingga RM70 bilion (AS$17.7 bilion) yang dianggarkan oleh Singapura dan Malaysia pada awal 2018.

Mengulas kenyataan Rahman, Mahathir berkata bekas menteri itu harus menyokong kenyataannya dengan fakta.

"Tunjukkan bukti kepada saya. Jangan hanya cakap sahaja," kata Mahathir kepada pemberita pada malam Selasa selepas menunaikan solat bersama-sama para pegawai dan anggota di ibu pejabat polis Persekutuan.

Mahathir berkata, Singapura akan dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan Malaysia berhubung pembatalan projek laluan keretapi laju sejauh 350 km (218 batu) itu, yang dijangka mengurangkan masa perjalanan sehingga 90 minit berbanding perjalanan darat yang memakan masa lima jam atau lebih.

Projek itu, yang ditandatangani pada 13 Dis 2016, bertujuan menyediakan alternatif kepada laluan udara Singapura-Kuala Lumpur, yang mencatatkan 30,537 penerbangan antara kedua-dua bandar raya itu pada 2017, menjadikannya laluan paling sibuk di dunia, menurut Forum Ekonomi Dunia.

"Dengan bilangan penumpang tahunan yang besar, pasti ada asas kukuh untuk daya maju kewangan projek itu," kata Rahman.

Beliau berkata, stesen-stesen kereta api di antara kedua-dua negara itu, yang agak kurang membangun berbanding di Kuala Lumpur atau Singapura, bakal mendapat manfaat daripada projek itu, yang menyamai kelebihan ekonomi yang dialami oleh bandar-bandar kecil di Taiwan dan Jepun apabila kedua-dua negara membina laluan kereta api berkelajuan tinggi.

Dalam temu bual dengan Financial Times pada Isnin, Mahathir berkata bahawa "langkah itu perlu dibuat untuk mengelak negara daripada muflis."

"Kami perlu membatalkan beberapa projek yang tidak perlu, contohnya kereta api berkelajuan tinggi, yang akan menelan belanja sebanyak RM110 bilion (AS$28 bilion) dan tidak akan memberi kami pulangan satu sen pun. (Projek) itu akan digugurkan,"kata Mahathir.

Keputusan Mahathir akan memberi kesan kepada syarikat pembinaan dari Jepun, Korea Selatan, Eropah dan China yang telah menyatakan minat untuk membida projek itu, yang disasarkan untuk mula beroperasi pada 2026.

Anthony Dass, ketua ahli ekonomi di AmBank, memberitahu BeritaBenar bahawa beliau bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk membatalkan projek itu.

"Berapa lamakah masanya bagi projek ini untuk mendapat pulangan balik?" katanya dalam temu bual telefon. "Saya fikir ia akan mengambil masa yang amat lama. Dan, ini belum lagi diambil kira kos lain, seperti penyelenggaraan."

Lihat Laman Penuh