Malaysia-Singapura Metrai MoU Projek Keretapi Laju
2016.07.19
Kuala Lumpur

Malaysia dan Singapura pada Selasa menandatangani perjanjian persefahanan (MoU) projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) dari Kuala Lumpur ke Singapura yang bakal memendekkan perjalanan sehala iaitu 90 minit apabila beroperasi dalam masa 10 tahun lagi.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahalan dan Menteri Koordinasi Pengangkutan dan Infrastruktur Singapura Khaw Boon Wan disaksikan oleh kedua-dua Perdana Menteri, Najib Razak dan Lee Hsien Loong.
Pembinaan projek itu bakal bermula pada tahun 2018 dan dijangka siap pada tahun 2025 diikuti dengan ujian teknikal dan pentauliahan selama setahun sebelum beroperasi sepenuhnya pada 2026.
Menteri Kewangan Kedua Johari Abdul Ghani pada sidang media berkata, kos keretapi laju itu bakal menelan perbelanjaan antara RM50-RM60 bilion.
Perjalanan keretapi laju itu akan bermula dari Bandar Malaysia, di Kuala Lumpur ke Jurong East, di negara jiran itu dengan melibatkan enam stesen perantaraan lain iaitu Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.
Keseluruhan landasan itu adalah sepanjang 350km dengan 335km melibatkan Malaysia manakala 15km lagi di Singapura, dengan dua trek laluan bertentangan. Ia bakal menyaksikan pergerakan kelajuan melebihi 300km sejam.
Perjalanan keretapi sedia ada antara kedua-dua negara itu pada jarak yang sama mengambil masa hampir 11 jam manakala perjalanan darat melalui Projek Lebuhraya Utara-Selatan adalah kira-kira lima jam.
Malaysia dan Singapura akan mula menawarkan tender antarabangsa pada Ogos depan, dengan turut melantik rakan kongsi pembinaan bersama selepas projek itu mula diumumkan oleh kedua-dua Perdana Menteri itu, pada Februari 2013.
MoU yang ditandatangani pada Selasa merupakan hasil perbincangan antara Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dari Malaysia bersama kementerian Pengangkutan dan pihak berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA).
Antara yang dipersetujui dalam MoU itu meliputi aspek teknikal, model komersial, pelepasan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ), urusan keselamatan, rangka kerja kawal aturan dan pengurusan projek.
Sistem Integrasi Pengangkutan Awam
Satu kenyataan bersama telah dikeluarkan oleh SPAD dan LTA pada Selasa yang menyaksikan maklumat pembinaan HSR yang meliputi reka bentuk stesen yang terlibat yang bakal menggunakan system integrasi pengangkutan awam untuk memastikan perkhidmatan yang lancar.
“MoU yang ditandatangani itu merangkumi perkara utama perjanjian termasuk parameter teknikal, model komersial, kastam, imigresen, kuarantin, keselamatan, rangka kerja kawal selia dan juga pengurusan projek,” kata kenyataan itu pada Selasa.
Kenyataan itu juga menyebut yang MoU itu akan membimbing pembangunan perjanjian dua hala di mana kedua-dua negara akan mengambil tanggungjawab terhadap pembangunan, pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur awam di stesen di negara masing-masing yang akan dilaksanakan oleh syarikat MyHSR Corporation bagi Malaysia dan LTA bagi Singapura.
"Melalui tender antarabangsa, sebuah syarikat aset (AssetsCo) akan dilantik untuk menyediakan dan mengekalkan tren HSR dan sistem yang berkaitan dengannya (seperti trek, kuasa, isyarat dan telekomunikasi), manakala dua syarikat kereta api (OpCos) akan dilantik untuk mengendalikan perkhidmatan HSR," menurut kenyataan itu lagi.
Cerminkan masa depan Malaysia-Singapura
Najib pada sidang media bersama dengan Hsien Loong memberitahu, projek tersebut akan mencerminkan masa depan kedua-dua negara menerusi kemakmuran dan gaya hidp baru yang dinikmati penduduk Malaysia dan Singapura.
"Perjalanan selama 90 minit, membolehkan seseorang bersarapan pagi di Malaysia, makan tengahari di Singapura dan makan malam di Kuala Lumpur. Ia bakal merubah masa depan," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Hsien Loong berkata, projek HSR lebih bercita-cita tinggi berbanding dengan projek Mass Rapid Transit (MRT) di Singapura yang mengambil masa selama 15 tahun untuk mula beoperasi.
"Kita perlu melakukannya dengan betul. HSR akan mengubah cara kita mengembara. Kita boleh datang ke Kuala Lumpur, lakukan perniagaan dan melakukan kerja dengan menggunakan komputer riba dalam keretapi semasa balik ke (Singapura)," katanya.
Katanya lagi, Malaysia dan Singapura perlu memastikan projek tersebut berjaya dengan sebaik-baiknya.
Pemangkin Ekonomi
Dalam pada itu, Pengerusi SPAD Syed Hamid Albar memberitahu BeritaBenar pembangunan pengangkutan berorientasi yang mencampurkan kawasan perumahan dan komersil direka untuk memaksimumkan akses kepada pengangkutan awam akan dilaksanakan di sepanjang laluan HSR.
"Saya percaya projek HSR akan mengubah landskap pengangkutan dan akan membawa manfaat sosial dan pemangkin pertumbuhan ekonomi jangka panjang kepada kedua-dua negara," katanya kepada BeritaBenar pada Selasa.
Sementara itu Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) membantah pembinaan projek gergasi tersebut kerana kosnya yang terlalu tinggi untuk negara Malaysia terutama kedudukan ekonomi negara pada masa sekarang.
“Kesan negatif seperti pengambilan tanah yang luas, penempatan semula penduduk di kawasan terbabit, projek yang mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan, serta kos tinggi untuk menampung projek berskala besar seumpamanya, HSR seperti ini telah banyak di buat negara lain dengan pulangan yang tidak menguntungkan,’’ tegas CAP dalam satu kenyataan.
Persatuan itu juga menegaskan sistem pengangkutan awam keseluruhan di Malaysia yang kurang bermutu tidak mampu menyokong projek HSR tersebut.
Manakala Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Negeri Johor dalam satu kenyataan kepada BeritaBenar memberitahu, HSR dan Rapid Transit System (RTS) Johor Baharu penting untuk kemajuan Iskandar Malaysia.
“Ia (projek-projek pengangkutan HSR dan RTS) adalah projek pemangkin berimpak tinggi yang penting untuk membawa Iskandar Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.”
“Tahap perhubungan dalam kawasan koridor itu akan menjadi jauh lebih baik, memudahkan mereka yang tinggal di Singapura, Iskandar Malaysia dan kawasan lain di negara, tinggal dan bekerja di kawasan koridor itu,” kata kenyataan itu.