Malaysia Diminta Tingkatkan Penguatkuasaan Pemerdagangan Manusia
2015.08.05

Malaysia telah diminta untuk meningkatkan langkah penguatkuasaan undang-undang dan program untuk melindungi mangsa pemerdagangan manusia.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) John Kerry, semasa pertemuan berasingan dengan Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Luar Anifah Aman telah memaklumkan perkara itu kepada kedua-dua pemimpin berkenaan, kata pegawai Jabatan Negara AS pada Rabu.
Kerry berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-48 yang kini sedang berlangsung dan lawatannya itu berlaku selepas AS menerima kritikan hebat ekoran keputusan mengeluarkan Malaysia daripada Senarai Hitam Pemerdagangan Manusia.
Jabatan Negara itu, pada 27 Julai lepas, telah menaikkan kedudukan Malaysia dari tahap tiga dalam Kad Laporan Pemerdagangan Manusia 2015 (TIP) ke Senarai Pengawasan Tahap 2.
Langkah itu telah mendapat bantahan daripada para aktivis hak asasi manusia yang mendakwa Malaysia tidak layak diberi kedudukan baru itu dan menyifatkan tindakan itu diambil bagi memudahkan perjanjian perdagangan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di kalangan 12 negara-negara Pasifik termasuk Malaysia dimeterai.
Malaysia dan Thailand dikritik hebat pihak antarabangsa selepas dituduh memberi layanan buruk kepada pendatang asing etnik Islam Rohingya dan Bangladesh yang terkandas di dalam bot di tengah laut baru-baru ini.
Pegawai AS pada awal minggu ini berkata, Malaysia masih perlu melakukan banyak perkara termasuk memperluaskan pendakwaan dan memenuhi piawaian undang-undang anti-pemerdagangan manusia AS.
Semasa pertemuan Kerry dengan Perdana Menteri itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Najib atas tindakan Malaysia menangani krisis pendatang asing baru-baru ini, serta kesediaan menerima jumlah yang besar pelarian Rohingya dari Myanmar.
Kerry dan Najib turut bersetuju tentang kepentingan memastikan rawatan yang baik kepada pelarian, di samping mencari jalan untuk menangani punca penghijrahan dan membawa penyeludup manusia ke muka pengadilan.
Pada Selasa, Anifah berkata, kesemua Menteri-menteri Luar ASEAN pada mesyuarat di Kuala Lumpur itu, bersetuju membincangkan isu pergerakan luar biasa manusia termasuk pemerdagangan manusia diselesaikan di peringkat punca permasalahan.
Katanya, mesyuarat itu turut memutuskan kajian sewajarnya dilakukan terhadap faktor-faktor yang menyumbang kepada pemasalahan itu di rantau berkenaan.
China henti kerja penambakan
Bercakap mengenai tuntutan bertindih wilayah maritim di Laut China Selatan, Kerry berkata, AS berikrar untuk bersama-sama ASEAN dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan di perairan itu.
Katanya, AS mahu memastikan keselamatan di kawasan kritikal itu dikendalikan dalam keadaan tenang selain berlandaskan undang-undang antarabangsa.
“Kami mempunyai agenda mesyuarat dengan Menteri Luar China bagi mencapai keputusan yang berkesan. Hal ini kerana AS dan ASEAN saling berhubungan, jelas beliau.
Sementara itu, China berkata, negara itu telah menghentikan kerja-kerja penambakan tanah dan pembangunan di Laut China Selatan.
“China telah menghentikan pembangunan dan penambakan kawasan maritim di Laut China Selatan dan anda boleh menaiki kapalterbang untuk melihat keadaan di kawasan penambakan tersebut,’’ kata Menteri Luarnya Wang Yi, semasa mesyuarat dengan Menteri-Menteri Luar Persatuan Asia Tenggara (ASEAN ) pada Rabu.
Kepulauan Spratly di Laut China Selatan kini menjadi tuntutan negara anggota ASEAN - Filipina, Malaysia, Vietnam dan Brunei, dan China serta Taiwan.
Ketegangan memuncak tahun lepas apabila China mula membina sebuah pulau di Kepulauan Spratly, yang Amerika Syarikat serta negara-negara bersaing bimbang boleh menjejaskan kebebasan pelayaran dan penerbangan di kawasan transit utama bagi petroliam serta komoditi perdagangan yang lain.
Perselisihan itu telah mengakibatkan pertikaian sengit yang membawa maut di antara China dan Vietnam. Washington serta kerajaan-kerajaan di rantau juga bimbang bahawa pergerakan tentera yang lebih besar boleh meningkatkan risiko dan pertempuran yang tidak diingini.
Wang Yi menegaskan bahawa negara itu juga bersetuju untuk mewujudkan satu Kod Tatalaku (CoC) bagi mencari penyelesaian di dalam tuntutan bersaing di laut tersebut, dan banyak lagi yang perlu diusahakan untuk mengelak persengketaan yang tidak diingini.
Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini.