Malaysia Tahan Sekumpulan Lelaki Ada Hubungan Dengan ‘Royal Sulu Force’

Fahirul N. Ramli
2016.05.12
Kuala Lumpur
160512-my-sabah620 Kenderaan Polis dan Tentera Malaysia melepasi satu sama lain di Lahad Datu, Sabah, berhampiran tapak berlakunya pencerobohan lelaki bersenjata dari Kesultanan Sulu, 3 Mac, 2013.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia berkata mereka telah menahan 22 orang termasuk 12 warga asing kerana dipercayai mempunyai kaitan dalam rancangan menjatuhkan kerajaan negeri Sabah, tiga tahun lalu.

“Kami mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa mereka yang ditahan itu merancang untuk menggulingkan kerajaan, dan mempunyai kaitan dengan ‘Royal Sulu Force’," kata Pesuruhjaya Polis Sabah Abdul Rashid Harun kepada BeritaBenar pada Khamis dalam mengesahkan penahanan 22 orang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah khas) 2012 (SOSMA).

“Polis Diraja Malaysia [PDRM] menahan semua 22 orang dalam Operasi Gasak III, satu operasi yang diadakan di seluruh Sabah pada hujung minggu oleh Jabatan Siasatan Jenayah negeri (CID), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC),” katanya.

Abdul Rashid tidak mendedahkan kerakyatan 12 warga asing itu, tetapi berkata bahawa dua daripada mereka mempunyai sijil kelahiran dan lahir di Sabah, dengan seorang lagi mempunyai pas pelawat dari Filipina, manakala sembilan lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Katanya, kesemua mereka berusia antara 22 hingga 75 tahun.

Pada bulan Februari dan Mac 2013, pasukan keselamatan Malaysia berjaya  melawan pemberontakan oleh kira-kira 200 pejuang dari Sulu - sebuah wilayah jiran di selatan Filipina - yang memperkenalkan diri mereka sebagai ‘Royal Sulu Force’ dan pengikut Jamalul Kiram III yang mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu.

Tujuh puluh dua orang, termasuk 56 lelaki bersenjata pengikut KesultananSulu dan 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia serta enam orang awam terbunuh dalam pertempuran semasa pencerobohan yang berlaku selama beberapa minggu ke atas negeri itu.

Kumpulan Filipina menuntut untuk diiktiraf sebagai wakil Kesultanan Sulu yang pernah memerintah Sabah. Pada masa lalu kesultanan itu tersebar di beberapa kepulauan selatan Filipina dan sebahagian Borneo termasuk Sabah sebelum ia menjadi sebuah negeri naungan British pada abad ke-19. Sabah bergabung dengan Tanah Melayu dalam pembentukan Malaysia pada 1963, tetapi masih membayar wang pajakan kepada Kesultanan Sulu setiap tahun.

"Sepuluh rakyat Malaysia dan sepuluh lagi warga asing ditahan pada Sabtu, pada hari kedua 'Op Gasak III' manakala baki dua suspek lagi ditahan pada Isnin di sebuah lokasi di Ranau," kata Abdul Rashid.

Serbuan dibuat di Sungai Bilis, Tanjung Batu dan sekitar Lahad Datu, bahagian timur Sabah di mana pernah berlaku pencerobohan dan serangan yang digagalkan polis. Operasi yang dilancarkan pada Jumaat, adalah hasil daripada perancangan dan pengumpulan risikan daripada pelbagai sumber, termasuk penduduk tempatan sejak beberapa bulan lepas, tambah Pesuruhjaya Polis Sabah itu.

Sejak konflik tiga tahun lalu, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bertanggungjawab mengawasi keselamatan dari utara Kudat ke selatan-timur Tawau.

Abdul Rashid berkata, polis masih cuba untuk menentukan peranan setiap individu yang disyaki dalam konflik 2013.

"Kesemua mereka berkemungkinan besar adalah pengikut [Sultan Sulu] dan ada juga bertindak sebagai pemberi maklumat yang aktif," katanya.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengumumkan mengenai tangkapan kesemua 22 lelaki berkenaan dalam akaun Twitter dan Facebook rasminya.

Kesemua mereka kini ditahan di Ibu pejabat Polis Negeri di Kota Kinabalu, kata Abdul Rashid.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.