Follow us

Malaysia Lakar Sejarah Lantik Ketua Hakim Wanita Pertama

Vathani Panirchellvum & Ali Naufal
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-05-02
E-mel
Komen
Share
Seorang lelaki berjalan melepasi Istana Kehakiman di Putrajaya, Malaysia, 11 September, 2015.
Seorang lelaki berjalan melepasi Istana Kehakiman di Putrajaya, Malaysia, 11 September, 2015.
[AP]

Malaysia pada Khamis telah melantik wanita pertama sebagai Ketua Hakim Negara, sekaligus melenyapkan teka-teki calon pilihan jawatan paling kanan perundangan negara itu selepas timbul spekulasi terdapat kebuntuan antara kerajaan pimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan Raja-Raja Melayu mengenai siapa yang bakal mengetuai badan kehakiman negara.

Pejabat Perdana Menteri pada lewat petang Khamis telah mengeluarkan kenyataan akhbar tiga perenggan mengumumkan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara yang berkuat kuasa serta-mereka.

Pelantikan itu juga dibuat sehari selepas Mahathir mengumumkan nama calon pilihan beliau sebagai Ketua Polis Negara sambil mengesahkan bahawa nama pegawai kanan polis tersebut telah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan baginda.

“Pelantikan Tengku Maimun dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja Melayu,” kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu.

Tengku Maimun mengambil alih tugas daripada Richard Malanjum, yang menamatkan perkhidmatannya pada 12 April lalu selepas mencapai umur bersara wajib 66 tahun enam bulan.

Malanjum menjadi Ketua Hakim kesembilan Malaysia, dan juga merupakan hakim bukan Melayu pertama yang dilantik ke jawatan itu dalam sejarah negara yang berusia 61 tahun dengan rakyat berbilang kaum serta agama.

Beliau yang merupakan rakyat Sabah pertama menyandang jawatan tertinggi badan kehakiman selama sembilan bulan, juga pernah dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak. Malanjum menggantikan Md Raus Sharif, yang meletak jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 31 Julai lepas.

Berdasarkan perlembagaan Malaysia, jawatan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan serta Hakim Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Bulan lepas, media tempatan Malaysia melaporkan bahawa susulan persaraan Malanjum, tiga nama calon telah disebut-sebut mengantikan beliau sebagai Ketua Hakim Negara.

Tengku Maimun adalah seorang daripadanya manakala dua lagi ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Azahar Mohamed dan Idris Harun.

190502-MY-TengkuMaimun-Inside.jpg

Tengku Maimun Tuan Mat, Hakim Mahkamah Persekutuan melakarkan sejarah bagi Malaysia apabila dilantik sebagai Ketua Hakim wanita pertama negara itu. [Ihsan Jabatan Kehakiman Negara]

Calon tidak mendapat perkenan Agong

Akhbar Singapore Straits Times yang memetik kenyataan sumber melaporkan bahawa Perdana Menteri Mahathir telah menyerahkan nama calon pada awal bulan lalu kepada Yang di-Pertuan Agong namun tidak mendapat perkenan.

Kemudian baru-baru ini, Mahathir berkata pencalonan pengganti Malanjum sedang menunggu perkenan Majlis Raja-Raja.

"Kelihatannya terdapat peruntukan untuk pelantikan tersebut diserahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dan bukan sahaja Agong. Kami telah memaklumkan kepada Agong. Terdapat keperluan untuk (baginda) memaklumkan kepada raja-raja yang sedang dilakukan sekarang dan kami sedang menunggu Majlis Raja-Raja Melayu untuk memberi perkenan," kata Mahathir pada 19 April lalu.

Dalam pada itu, pelantikan Tengku Maimun, yang dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan mendapat pujian ahli badan perundangan negara dan juga kumpulan wanita di Malaysia.

Majlis Peguam berkata pelantikan seorang Ketua Hakim wanita menunjukkan bahawa kebolehan seseorang tidak boleh diukur melalui jantina mereka.

Presidennya Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata badan profesional yang mewakili peguam di Semenanjung Malaysia itu mengalu-alukan dengan sepenuh hati serta menyambut baik pelantikan itu.

"Ia detik paling bermakna dalam sejarah Malaysia kerana buat pertama kali, seorang wanita dilantik ke jawatan tertinggi antara tiga sayap utama negara iaitu pihak kehakiman, selain badan perundangan dan eksekutif. Ini membuktikan gender bukan pertimbangan berbanding kelayakan dan keupayaan seseorang itu.

"Badan Peguam akan terus menjalinkan hubungan kerja yang baik dengan ketua hakim negara (yang baharu) sejak beliau menjadi Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan lagi," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pertubuhan Pertolongan Wanita [WAO] mengucapkan tahniah kepada Tengku Maimun di atas pelantikan beliau sebagai Ketua Hakim Negara wanita yang pertama bagi Malaysia.

"Sebagai wanita pertama yang mengisi jawatan tertinggi dalam badan kehakiman Malaysia, beliau telah mewujudkan gelangan baharu bagi wanita di Malaysia.

Pelantikan beliau merupakan peristiwa penting dalam sejarah negara kita, yang mana kami  berharap akan membuka jalan yang lebih luas kepada wanita di peringkat tertinggi dalam kerajaan," kata Sumitra Visvanathan, Pengarah Eksekutif WAO semasa dihubungi BeritaBenar pada Khamis.

Tengku Maimun, graduan lulusan Universiti Malaya, telah memulakan kerjaya dalam bidang kehakiman apabila dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Okt 2006 dan setahun kemudian, sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Selepas enam tahun, beliau dinaikkan pangkat menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Jan 2013 sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 26 Nov 2018.

Beliau adalah antara anggota panel tujuh hakim yang menarik balik perintah penggantungan prosiding yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan kepada bekas perdana menteri Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu rayuannya berhubung isu interlokutari.

Tengku Maimun juga mempengerusikan rayuan prosiding kes hasutan Karpal Singh tiga tahun lalu yang diubah akibat gangguan kehakiman oleh seorang hakim kanan.

Tengku Maimun, yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-60 pada Julai depan, mempunyai tempoh selama enam tahun untuk menduduki kerusi Ketua Hakim Negara.

Lihat Laman Penuh