Ketua Hakim Negara Arah Mahkamah Kendali Kes Jenayah Bersidang Semasa PKP

Tengku Maimun Tuan Mat berkata arahan tersebut bagi memastikan kes terus berjalan dan keadilan tidak terjejas semasa negara bergelut dengan COVID-19.
Hadi Azmi & Noah Lee
2021.01.21
Kuala Lumpur
Ketua Hakim Negara Arah Mahkamah Kendali Kes Jenayah Bersidang Semasa PKP Kompleks Mahkamah yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur, 9 Oktober 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Ketua Hakim Malaysia telah mengarahkan semua mahkamah di negara itu meneruskan perbicaraan kes jenayah yang melibatkan kepentingan awam semasa di bawah Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan COVID-19, dengan keputusan tersebut dijangka akan membangkitkan kemarahan parti komponen terbesar dalam gabungan kerajaan, UMNO, yang sebelum ini tidak berpuas hati terhadap keputusan Putrajaya meneruskan kes mahkamah melibatkan ahlinya.

Pada hari yang sama juga Human Rights Watch menggesa Malaysia segera mengkaji semula Ordinan Darurat dengan berkata tindakan memberi kuasa polis kepada tentera boleh meningkatkan risiko penyalahgunaan kuasa.

Dalam satu pekeliling lapan muka surat bertarikh 20 Januari, 2021, yang diedarkan kepada hakim, majistret dan pegawai pelbagai peringkat di mahkamah seluruh negara, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tengku Mat mengarahkan supaya semua prosiding kes jenayah yang dijalankan di mahkamah terbuka di negeri dan daerah di bawah PKP terus dijalankan berkuat kuasa mulai 27 Januari.

"Saya mengeluarkan arahan ini bagi memperuntukkan mengenai pengendalian prosiding kes jenayah di mahkamah semasa tempoh PKP… Arahan ini terpakai bagi semua prosiding kes jenayah yang dijalankan di mahkamah yang berada di negeri dan daerah di bawah PKP.

“Arahan ini hendaklah dibaca bersama Arahan-Arahan Berhubung Dengan Pengendalian Kes Semasa Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan bertarikh 12 Januari 2021.

“Semua prosiding kes jenayah di Malaysia terbuka dan terus dijalankan dengan keutamaan diberikan kepada kes-kes berikut, kes-kes pra-2020 dengan keutamaan kepada kes-kes sambung bicara;

“Kes melibatkan pesalah kanak-kanak; kes kepentingan awam merangkumi kes rasuah, jenayah komersial, alam sekitar, Habeas Corpus, keganasan rumah tangga pelanggaran Peraturan-Peraturan yang diperbuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), dan sebagainya," kata pekeliling yang ditandatangani oleh Tengku Maimun, yang dikongsikan dengan pihak media pada Khamis.

Perkeliling itu juga menyebut mengenai kes yang dipohon untuk dijalankan atas sebab-sebab khas atau kerana hal tertentu turut boleh diberi keutamaan, dan mahkamah juga mempunyai budibicara untuk menentukan kes mana yang akan didengari ketika PKP berkuatkuasa.

Untuk rekod, kesemua negeri dan Wilayah Persekutuan di dalam Malaysia, kecuali negeri Sarawak, telah diletakkan bawah PKP baru-baru ini selepas pihak berkuasa kesihatan merekodkan bilangan kes positif COVID-19 harian yang tinggi. PKP adalah satu bentuk perintah berkurung yang menyaksikan semua penduduk dilarang keluar dari rumah, dengan pengecualian diberikan kepada wakil keluarga untuk membeli barang keperluan, serta pekerja dalam sektor-sektor yang ditentukan kerajaan, antara lain.

Tengku Maimun berkata keputusan itu dibuat kerana mahu "memastikan bahawa sistem kehakiman tidak terjejas dan terus bersambung" semasa negara berperang dengan pandemik COVID-19.

Di bawah arahan itu, perbicaraan akan berlangsung di bawah prosedur standard operasi yang lebih ketat di mana hanya orang-orang tertentu sahaja yang dibenarkan berada di dalam mahkamah dan mengikut had tempoh perbicaraan yang ditetapkan.

"Tiada siapa dibenarkan untuk berada di dalam bilik mahkamah ketika perbicaraan kecuali tertuduh, dua ahli keluarga atau orang rapat dengannya, seorang timbalan pendakwaraya, seorang peguam bagi tertuduh dan saksi," kata Tengku Maimun sambil menambah kehadiran media dihadkan kepada kes berkepentingan awam yang spesifik dengan wakil media akan ditempatkan di sebuah bilik lain yang dilengkapi dengan tayangan video secara langsung.

Malaysia pada 11 Januari mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu bermula 13 Januari dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sekali lagi kembali membuat pengumuman khas sehari selepas itu mengenai persetujuan pengisytiharan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, berkuatkuasa serta merta bagi mengawal pandemik COVID-19 yang sedang mengganas.

Muhyiddin semasa mengumumkan proklamasi darurat turut memaklumkan bahawa sistem kehakiman akan terus beroperasi untuk terus menegakkan undang-undang dan berjanji bahawa kerajaan tidak akan masuk campur dengan segala urusan badan kehakiman negara itu.

"Dalam tempoh darurat, sistem kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan undang-undang di dalam negara. Perikatan Nasional akan terus menegakkan undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan tidak akan campur tangan dalam urusan mahkamah. Badan kehakiman akan terus menjadi lambang keadilan dalam negara dan saya tidak akan campur tangan dalam urusan mahkamah. Ini janji saya,” kata Muhyiddin pada siaran langung berkenaan.

Walapun begitu, mahkamah telah ditangguhkan sejak bermulanya PKP sehingga arahan terbaharu yang dikeluarkan oleh Ketua Hakim Negara supaya disambung semula mulai.

Antara kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam yang dijangka akan didengari berikutan arahan terbaharu itu, ialah kes rasuah melibatkan Presiden Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Ahmad Zahid Hamidi yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, yang berdepan dengan sejumlah 47 pertuduhan jenayah termasuk 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah, serta 27 berkaitan penggubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit dana milik sebuah yayasan kebajikan yang ditubuhkannya.

Selain itu, perbicaraan kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang juga merupakan bekas presiden UMNO, yang dijadualkan bersambung pada 2, 3 dan 4 Februari depan, dengan kes terakhir didengari mahkamah ialah pada 7 Januari dengan lima tarikh lain telah dikosongkan berikutan PKP.

Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan baru-baru ini berkata sebab utama UMNO tidak puas hati dengan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah kerana langkah PN meneruskan kes mahkamah terhadap parti tersebut dan beberapa pemimpinnya.

Ahmah dalam kenyataan itu juga berkata UMNO tidak menyokong Bersatu kerana kerajaan PN enggan menggugurkan kes mahkamah yang dihadapi pemimpin parti Melayu itu, dengan tindakan tersebut sama seperti meneruskan ‘kezaliman’ kerajaan Pakatan Harapan yang terdahulu, yang dilihat tidak wajar, serta menimbulkan tidak puas hati di kalangan ahlinya.

Sementara itu, Peguam jenayah Asyraf Wahidi memberitahu BeritaBenar bahawa PKP dan langkah-langkah pencegahan yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 telah memberikan kesan terhadap kebanyakkah kes yang beliau kendalikan.

“Arahan terbaru Ketua Hakim Negara ini memberikan satu kelegaan. Kami terpaksa mengosongkan banyak tarikh mahkamah kerana penguatkuasaan PKP, jadi langkah yang diumumkan ini adalah bagus,” kata peguam itu yang menyambut baik arahan Tengku Maimun.

Asyraf berkata beliau mempunya kes-kes dari Ogos tahun lepas yang masih belum didengari walaupun sehari di mahkamah berikutan PKP dan lambakan kes-kes lain.

“Saya cuma risaukan nasib anak guam yang tidak diberikan ikat jamin dan masih merengkok di dalam lokap kerana menunggu kes mereka di panggil untuk perbicaraan di mahkamah,” tambah beliau.

Salahguna kuasa

Sementara itu, Human Rights Watch dalam kenyataan pada Khamis meminta Malaysia untuk mengkaji semula Ordinan Darurat dan berkata imuniti dan pemberian kuasa polis kepada tentera boleh menimbulkan risiko salah guna kuasa.

Kenyataan HRW keluar dua hari selepas Menteri Kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata dalam tempoh darurat, kuasa tentera adalah sama seperti kuasa yang diperuntukkan kepada polis.

Beliau berkata peruntukan itu membenarkan pihak tentera untuk membantu menguatkuasakan undang-undang di bawah PKP iaitu kuasa untuk menangkap dan menahan pendatang tanpa izin.

"Ordinan Darurat Malaysia memperuntukkan imuniti kepada anggota keselamatan dan memberikan kuasa kepada tentera untuk turut serta menguatkuasakan undang-undang dan ini meluaskan lagi risiko kepada penyalahgunaan kuasa.

"Penggantungan Parlimen dan pilihanraya telah mengugat hak politik setiap warganegara Malaysia,” kata Timbalan Pengarah Asia HRW Phil Robertson dalam satu kenyataan.

Di bawah Seksyen 10 Ordinan Darurat 2021 yang berkuatkuasa pada 11 Januari, telah tercatat bahawa: "Tiada tindakan, guaman, pendakwaan atau apa-apa prosiding lain boleh diambil atau dibawa, dimulakan atau dikekalkan dalam mana-mana mahkamah terhadap Kerajaan, mana-mana pegawai awam atau mana-mana orang yang dilantik di bawah subseksyen 6(1) berkenaan dengan apa-apa perbuatan, pengabaian atau keingkaran yang dibuat atau ditinggalkan olehnya dengan suci hati, dalam melaksanakan peruntukan Ordinan ini".

Robertson berkata bahawa ia menyempitkan peluang terhadap mereka yang hak mereka dicabul untuk mendapatkan keadilan di mahkamah, kerana telah melarang pemfailan apa-apa tindakan undang-undang terhadap kerajaan atau mana-mana pegawai awam yang menjalankan perintah di bawah Ordinan Darurat.

"Memberikan perlindungan secara menyeluruh kepada kerajaan dan pegawai awam adalah sesuatu yang tidak perlu bagi mengekang pandemik, dan ia melanggar hak-hak mereka dengan pencabulan hak untuk mendapatkan keadilan," tambah Robertson.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.