Malaysia Tingkatkan Tahap Kawalan Keselamatan Semasa Sambutan Perayaan

Hata Wahari
2016.12.23
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
161223-my-security620.jpg Anggota polis dan tentera yang membuat kawalan keselamatan secara bersama di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, 22 Februari 2016.
AFP

Susulan beberapa siri serangan pengganas di luar negara, pihak berkuasa Malaysia meningkatkan tahap kawalan keselamatan di beberapa lokasi yang dikategorikan sensitif termasuk di tempat awam, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Beliau semasa dihubungi di Kuala Lumpur berkata, polis sedia untuk berdepan dengan sebarang ancaman pengganas menjelang cuti Hari Krismas dan Tahun Baru 2017 selepas beberapa cubaan di Indonesia, Australia, Jerman dan Jordan dilaporkan berlaku baru-baru ini.

“Polis DiRaja Malaysia telah meningkatkan kawalan, tahap rondaan dan pemeriksaan keselamatan terutamanya di kawasan yang didapati sensitif dan tumpuan awam di seluruh negara sepanjang perayaan  Krismas dan Tahun Baru,” katanya kepada BeritaBenar dengan tidak memberitahu jumlah anggota polis yang terlibat dalam operasi kawalan berkenaan.

Negara jiran Malaysia, Indonesia dan Thailand turut dilaporkan telah meningkatkan tahap rondaan dan pemeriksaan keselamatan semasa sambutan perayaan Krismas dan Tahun Baru ini.

Selasa lalu, Polis Malaysia telah mengumumkan mengenai penangkapan tujuh lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS dan organisasi militan lain di negara itu.  Mereka ditahan dalam beberapa serbuan di empat buah negeri berbeza di antara 3 Nov dan 16 Dis.

Antara yang turut ditahan adalah dua pelajar asing yang masih mengikuti pengajian di Universiti Antarabangsa Al-Madinah di Shah Alam, Selangor, kata Khalid.

Dalam pada itu, mengenai siasatan polis terhadap dua pelajar asing yang didapati terlibat dalam aktiviti keganasan di Malaysia, Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamad berkata, siasatan polis mendapati militan IS di Syria bercadang untuk merekrut  pelajar di Universiti Antarabangsa Al Madinah sebagai pejuang mereka, sebaliknya mendapati universiti itu bukan pusat merekrut.

Ketua Bahagian Anti Keganasan Polis Malaysia Ayob Khan Mydin Pitchay dalam satu temu bual dengan akhbar berbahasa Inggeris The Star meminta rakyat Malaysia supaya tidak panik dengan ancaman serangan pengganas yang mungkin berlaku semasa cuti sempena Krismas dan Tahun Baru.

"Orang ramai perlu menjalankan rutin harian mereka dan meraikan perayaan semasa musim cuti ini, dan kami sentiasa berjaga-jaga, dan keselamatan rakyat adalah keutamaan kami,." Lapor akhbar The Star.

Pada Jun lepas, dua lelaki yang dikaitkan dengan IS telah membuat serangan di kelab malam Movida di Puchong pada Jun lepas – serangan pertama yang IS mendakwa berjaya dilakukan di Malaysia. Kedua-dua suspek yang ditangkap itu sedang menunggu perbicaraan pada 14 Jan tahun hadapan.

Sehingga November lalu, polis Malaysia telah menahan lebih daripada 260 orang yang didakwa terlibat dalam kegiatan militan termasuk lebih daripada 70 orang yang telah didakwa di mahkamah.

Statistik terkini menunjukkan terdapat seramai 56 rakyat Malaysia di Syria, termasuk 12 wanita dan 17 kanak-kanak lelaki dan perempuan dengan dua puluh tujuh rakyat Malaysia telah terbunuh samada di Syria atau Iraq manakala lapan orang lagi telah kembali ke tanahair.

Antara yang ditahan kerana penglibatan mereka dengan kumpulan militan ialah anggota keselamatan seperti polis dan tentera, imam masjid, pensyarah universiti dan juga pegawai kerajaan.

Pada Rabu, polis Indonesia menembak mati tiga suspek dan menangkap empat yang lain di beberapa lokasi di negara itu dan cubaan menggagalkan pelan melancarkan serangan pada Hari Krismas dan Tahun Baru.  

Di Australia, pihak berkuasa negara itu, menahan enam lelaki dan seorang wanita yang masing-masing berusia 20-an dalam beberapa serbuan besar di pinggir bandar Melbourne menjelang Krismas dan Tahun Baru.

Menurut pihak berkuasa negara itu, suspek dipercayai merancang menyasarkan beberapa lokasi seperti Dataran Persekutuan, Stesen Flinders Street dan St. Paul Cathedral di negara berkenaan.

Pada Ahad lalu, dua pelancong Malaysia telah mengalami kecederaan ringan susulan kejadian tembak-menembak antara pasukan keselamatan Jordan dan sekumpulan lelaki bersenjata di Karak Castle di Bandar Karak, Jordan.  Kejadian itu telah meragut 14 nyawa termasuk pengganas.

Manakala, pada Isnin, 12 orang dilaporkan terkorban dan kira-kira 50 orang cedera dalam insiden rempuhan trak di Christmas Market di Breitscheidplatz Square, Kurfuerstendamm Avenue barat Berlin, di Jerman.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.