Malaysia Tahan 808 Individu Dibawah Akta POCA

Staf BeritaBenar
2016.01.05
160105-MY-KHALIDAB620 Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar pada satu sidang media berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang. 11 Mac 2014.
AFP

Polis Malaysia telah menahan seramai 808 individu sepanjang tahun lepas, atas pelbagai kesalahan jenayah di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 (POCA), akta yang membolehkan seseorang yang ditangkap, ditahan tanpa bicara bagi tempoh tidak melebihi dua tahun.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, daripada jumlah itu, seramai 188 individu dikenakan perintah tahanan dan 403 orang lagi dikenakan perintah sekatan.

"Seramai 257 orang daripada 403 individu itu juga dipakaikan alat Peranti Pemantauan Elektronik bagi membolehkan mereka dipantau polis,” katanya melalui akaunnya di Facebook dan Twitter pada Selasa.

Menurutnya, kes tahanan yang lain masih dalam siasatan dan tindakan.

Antara yang turut ditahan mengikut POCA ialah 57 orang penganjur  judi, 18 orang 'bapa ayam' serta 42 individu yang terlibat dalam jenayah di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

POCA telah digubal pada 1959 sebelum ia dipinda pada 1989. Ia dipinda pada 2013 susulan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 pada 2011. Pada 2015, POCA dipinda lagi  bagi memperluaskan usaha menangani jenayah berat dan jenayah terancang, khususnya aktiviti gengsterisme.

POCA 2015 turut memberi kuasa kepada satu Lembaga Pencegahan Jenayah, yang dipengerusikan seorang Hakim untuk melanjutkan tempoh tahanan selama dua tahun  sekiranya perlu.

Sebelum ini, polis mempunyai kuasa melalui akta ini untuk menahan suspek bagi tempoh 72 hari untuk membantu siasatan.

Akta itu turut diperluaskan pemakaiannya ke seluruh Malaysia setelah tidak boleh diguna pakai di Sabah dan Sarawak sebelum ini.

Pada Mac 2015, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pindaan akta itu bertujuan membolehkan pihak berkuasa memastikan tiada individu terlepas daripada sebarang tindakan perundangan, jika terbabit di dalam perbuatan keganasan.

Dalam pada itu, pada September lepas, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengumumkan bahawa POCA (Akta 769) berkuat kuasa secara rasmi pada 1 September 2015.

Namun, banyak pihak, termasuk Badan Peguam Malaysia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) serta parti-parti pembangkang di Malaysia membantah POCA selepas ia dibentang untuk pindaan sekali lagi pada 2013 dengan alasan ia mencabul hak asasi manusia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.