Malaysia Perlu Bebaskan Kanak-kanak dari Pusat Tahanan Imigresen, kata HRW

Ray Sherman & Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-11-20
Share
201120-MY-Children1000.jpg Seorang ibu warga asing mendukung anaknya berjalan menuju ke tempat ujian saringan COVID-19 di Pasar Pudu, Kuala Lumpur, 5 Mei, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Sebuah kumpulan hak asasi antarabangsa di New York pada Jumaat mendesak Malaysia supaya membebaskan seramai 756 kanak-kanak yang ditempatkan di pusat-pusat tahanan imigresen, dengan kebanyakannya tanpa ibu bapa atau penjaga mereka, dan menegaskan bahawa penahanan mereka adalah sama seperti penderaan.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), sebuah badan bebas yang disokong oleh Parlimen negara itu, memberitahu BeritaBenar bahawa kerajaan Malaysia melanggar undang-undang dengan menahan 756 kanak-kanak termasuk bayi hinggalah yang berusia 17 tahun di pusat-pusat tahanan imigresen.

Human Rights Watch (HRW) berkata penahanan itu mendedahkan kanak-kanak berkenaan kepada risiko penderaan dan eksploitasi seksual, lebih-lebih lagi sekiranya mereka ditahan bersama-sama orang dewasa yang tidak mempunyai ikatan perhubungan. Kebanyakan kanak-kanak lelaki dan perempuan itu adalah dari Myanmar, kata kumpulan pemerhati hak asasi manusia itu.

"Adalah mengejutkan melihat Malaysia menahan begitu ramai kanak-kanak di pusat tahanan yang sesak dan tidak bersih, sering kali tanpa ibu bapa atau penjaga mereka," kata Timbalan Pengarah Asia HRW Phil Robertson dalam satu kenyataan, sambil menggesa kerajaan Malaysia supaya segera menghentikan tindakan menahan kanak-kanak itu.

"Kanak-kanak rentan ini, termasuk ramai yang mungkin melarikan diri daripada kekejaman di Myanmar, perlulah dijaga dan bukannya dilayan sebagai penjenayah," katanya. Beliau merujuk kepada etnik Rohingya di mana puluhan ribu daripada mereka melarikan diri susulan tindakan keras tentera yang kejam di negeri Rakhine, Myanmar bermula pada Ogos 2017.

Pandemik COVID-19 memerlukan kanak-kanak ini dibebaskan dengan segera, kata Robertson.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Malaysia, seramai 756 kanak-kanak ditahan di pusat-pusat tahanan imigresen di seluruh negara sehingga 26 Oktober lalu termasuk 326 kanak-kanak dari Myanmar yang ditahan tanpa ibu bapa atau penjaga mereka. Sebanyak 405 kanak-kanak lagi tidak mempunyai ibu bapa atau penjaga bersama mereka.

Sementara itu, Malaysia menolak permohonan wakil agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNHCR melakukan lawatan ke pusat-pusat tahanan imigresen sejak lebih setahun lalu menyebabkan agensi tersebut tidak dapat mengenal pasti dan membebaskan pencari suaka yang berhak mendapat perlindungan sebagai pelarian dengan segara, kata HRW.

Pejabat UNHCR Malaysia memberitahu BeritaBenar pada Isnin bahawa para pegawainya tidak dibenarkan mengunjungi pusat-pusat tahanan imigresen sejak September 2019, dan pihak kerajaan tidak memberi alasan mengapa mereka tidak dibenarkan berbuar demikian.

Menurut Suhakam, kerajaan sebelum ini iaitu Pakatan Harapan telah memutuskan untuk tidak membenarkan UNHCR memasuki pusat tahanan imigresen pada September 2019.

"Kerajaan Perikatan Nasional meneruskan dasar itu dan sejujurnya, saya tidak faham mengapa,” kata pesuruhjaya Suhakam bagi kanak-kanak Noor Aziah Mohd Awal kepada BeritaBenar, yang merujuk kepada kerajaan Malaysia sekarang.

BeritaBenar menghubungi Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan ulasan lanjut tetapi pegawai berkenaan tidak segera memberi maklum balas.

'Melanggar undang-undang’

Malaysia ialah anggota Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (CRC), yang melarang penahanan kanak-kanak atas alasan imigresen, kata Human Rights Watch dalam kenyataannya.

Kumpulan hak asasi itu memetik kajian global Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu [PBB] 2019, yang menunjukkan bahawa penahanan kanak-kanak boleh memburukkan lagi masalah kesihatan sedia ada serta boleh menyebabkan penyakit baru - seperti kegelisahan dan kemurungan - walaupun keadaan pusat tahanan dalam keadaan agak baik.

Kerajaan Malaysia telah melanggar konvensyen tersebut dengan menempatkan kanak-kanak di pusat-pusat tahanan imigresen, kata Noor Aziah dari Suhakam, yang merujuk kepada konvensyen PBB.

Suhakam, katanya, telah menulis surat kepada Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Majlis Keselamatan Negara untuk memaklumkan bahawa tindakan menahan kanak-kanak oleh kerajaan adalah melanggar konvensyen PBB.

Jabatan Imigresen "mendakwa mereka adalah pendatang asing tanpa izin, kerana ketika kanak-kanak ini tiba, mereka tidak mempunyai kad UNHCR atau visa pelawat," kata Noor Aziah.

Pesuruhjaya Suhakam itu juga memberitahu yang beliau telah melawat beberapa pusat tahanan imigresen, yang didapati tidak sesuai untuk menahan kanak-kanak.

“Pusat-pusat tahanan ini sangat sesak. Walaupun pegawai imigresen berusaha sedaya upaya untuk memastikan masa kanak-kanak ini tidak terluang namun tidak ada pembelajaran atau ruang untuk mereka bermain,” kata Noor Aziah.

Kanak-kanak ini dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan, persekitaran keluarga, rawatan perubatan dan peluang untuk berasimilasi dalam masyarakat, katanya.

Menahan kanak-kanak di pusat-pusat tahanan imigresen, terutamanya tanpa ibu bapa mereka, adalah perbuatan yang tidak boleh diterima langsung dan "tidak masuk akal," kata pengarah eksekutif Amnesty International Malaysia, Katrina Jorene Maliamauv.

"Ini adalah perbuatan yang mengejutkan lebih-lebih lagi ketika kita dilanda jangkitan pandemik," kata Maliamauv kepada BeritaBenar.

"Hak semua kanak-kanak di Malaysia mestilah dilindungi oleh negara, tanpa mengira etnik, kewarganegaraan atau status imigresen mereka. Ini tidak harus menjadi perdebatan. "

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.