Malaysia Bakal Masuk Fasa Endemik, Rakyat Perlu Bersedia Hidup Dengan COVID-19

Negara akan beralih dari fasa kawalan pandemik kepada fasa endemik selepas berjaya mencapai imuniti kelompok Oktober ini.
Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-09-01
Share
Malaysia Bakal Masuk Fasa Endemik, Rakyat Perlu Bersedia Hidup Dengan COVID-19 Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin yang baru dilantik bercakap kepada media di Kementerian Kesihatan di Putrajaya, 1 September, 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Menteri Kesihatan Malaysia yang baharu dilantik, Khairy Jamaluddin berkata rakyat Malaysia perlu menerima hakikat bahawa COVID-19 adalah sesuatu yang endemik dan mereka juga mesti belajar untuk hidup dengan koronavirus walaupun negara berjaya mengawal pandemik berkenaan.

Semasa sidang media pertamanya sejak dilantik memegang portfolio Kesihatan, Khairy berkata kerajaan masih mengekalkan polisinya untuk tidak menjadikan vaksinasi COVID-19 sebagai satu perkara yang mandatori, akan tetapi tidak akan menghalang sektor-sektor yang mahu menjadikan vaksinasi sebagai satu pra-syarat untuk bekerja.

"Antara ketetapan yang dibuat Kementerian Kesihatan pada hari ini adalah bahawa kita perlu berusaha menerima bahawa COVID-19 ini adalah endemik.

"Maksudnya, walaupun kita berjaya mengawal wabak ini dari segi jangkitan, kes kematian dan kemasukan ke hospital, kita juga kena menerima hakikat bahawa kita perlu hidup bersama virus ini," kata Khairy dalam sidang media yang diadakan di Kementerian Kesihatan di Putrajaya pada Rabu.

Khairy memulakan tugas sebagai Menteri Kesihatan sejak mengangkat sumpah jawatan pada Isnin lalu, dan menjadi sebahagian daripada kabinet pimpinan Perdana Menteri baharu Ismail Sabri Yaakob. Sebelum itu, beliau merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos lepas.

Endemik bermaksud sesuatu penyakit yang sentiasa terdapat di dalam sesuatu kawasan seperti daerah, negeri atau negara. Salah satu contoh penyakit endemik yang terkenal adalah malaria.

Endemik juga membawa maksud yang berbeza dengan pandemik, iaitu wabak penyakit yang tersebar dengan begitu luas di seluruh wilayah, benua atau dunia; manakala epidemik pula adalah wabak yang tersebar di sesuatu daerah.

Khairy berkata kerajaan akan beralih daripada fasa kawalan pandemik total kepada fasa endemik selepas negara berjaya mencapai imuniti kelompok terhadap virus COVID-19, yang dijangka pada Oktober ini, bagi membolehkan penduduk kembali menjalani hidup dan berfungsi secara normal.

Peralihan kepada fasa endemik itu akan membolehkan pelbagai sektor dalam negara dibuka semula dan kembali berfungsi seperti biasa, tambah beliau, dan menyatakan bahawa ia adalah konsisten dengan pendekatan negara lain yang sudah beralih daripada fasa kawalan wabak.

"Satu norma baharu diperkenalkan untuk hidup secara sihat dan selamat walaupun virus masih berada di kalangan kita. Dengan adanya vaksinasi, usaha perubahan tingkah laku dan usaha amalkan prosedur operasi standard yang berterusan, kita boleh masuk fasa baharu iaitu fasa endemik.

"Kerajaan akan mengumumkan beberapa langkah untuk memudahkan SOP sedia ada, supaya kita tidak ada prosedur yang terlalu banyak, rumit dan kompleks. Supaya kita akan ada senarai SOP yang jelas serta mudah difahami, dan dapat sama-sama dipraktikkan," kata Khairy.

Menteri itu turut menyenaraikan beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh masyarakat sebagai persediaan untuk menuju ke fasa baharu itu. Antaranya ialah mereka perlu bersedia menerima norma baharu kehidupan, termasuk memakai pelitup muka dan hidung sebagai sebahagian daripada amalan hidup.

Masyarakat juga mesti bertanggungjawab mempraktikkan amalan kuarantin kendiri jika perlu berbuat demikian, termasuk apabila mereka dikenalpasti sebagai kontak rapat atau telah didapati positif COVID-19.

"Sekiranya masyarakat tidak dapat mematuhi syarat kuarantin di rumah dan kawalan kendiri, kita tidak akan dapat hidup dengan virus secara selamat. Sebab itu ditekankan mengenai tanggungjawab individu dalam menjalani kuarantin rumah."

Lebih 20 bulan telah berlalu sejak Malaysia mula dilanda wabak COVID-19, apabila kes pertama jangkitan dikesan pada Januari 2020.

Sehingga Rabu, Kementerian Kesihatan telah merekodkan lebih 1.76 juta kes positif COVID-19, dengan jumlah kematian disebabkan pandemik itu menghampiri 17,000.

Dalam usaha mengekang penularan wabak, kerajaan telah memperkenalkan beberapa versi perintah berkurung yang dinamakan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan, termasuk tiga siri penutupan yang menyaksikan banyak sektor termasuk ekonomi, pendidikan dan sosial diarahkan tutup.

Perintah penutupan sektor ekonomi telah menyebabkan Malaysia kini turut berhadapan dengan krisis ekonomi, dan memaksa kerajaan untuk memperkenalkan beberapa siri pakej bantuan kewangan bagi menyelamatkan banyak industri termasuk perusahaan kecil dan sederhana.

Galakan vaksinasi

Sementara itu, Khairy yang turut bertanggungjawab ke atas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata bahawa kerajaan tidak bercadang untuk menjadikan vaksinasi sebagai mandatori ke atas semua penduduk negara.

Bagaimanapun, kata beliau, Putrajaya tidak mempunyai halangan sekiranya sesuatu sektor pekerjaan atau syarikat ingin menjadikan vaksinasi sebagai syarat untuk beroperasi.

"Buat masa ini, kerajaan masih kekal dengan keputusan bahawa kita tidak akan membuat mandat undang-undang untuk menjadikan vaksinasi sesuatu yang mandatori.

"Akan tetapi, kita menggalakkan pujukan secara sektor atau 'sectoral persuasion'. Perkara ini bukan dibuat secara mandat persekutuan atau undang-undang, akan tetapi sekiranya sesuatu syarikat itu mahu mengenakan syarat kepada pekerja bahawa mereka perlu divaksinasi untuk datang bekerja, atau menyertai mesyuarat misalnya, itu terpulang kepada syarikat tersebut," kata Khairy.

Keputusan itu turut terpakai untuk sekolah sekiranya pihak sekolah ingin menggalakkan para guru mengambil imunisasi.

Menteri itu berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan mengenai isu guru dan petugas sekolah yang masih belum divaksinasi, termasuk mereka yang enggan disuntik, sama ada mereka akan dibenarkan untuk bertugas apabila sekolah dibuka semula. Ia memandangkan para pelajar yang berusia bawah 12 masih tidak boleh divaksinasi kerana ketiadaan vaksin yang diperakui selamat untuk golongan tersebut buat masa ini.

Khairy berkata beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan para pegawai Kementerian Kesihatan mengenai rancangan untuk menghadapi individu yang enggan mengambil vaksinasi walaupun mereka tidak mempunyai halangan dari segi kesihatan.

Ia termasuk pelan untuk mewujudkan satu Polisi Ujian COVID-19 Kebangsaan, di mana para individu yang enggan divaksinasi perlu menjalani ujian saringan COVID-19 dengan kerap dan mengikut jadual yang akan ditentukan pihak berkuasa.

Beliau turut membayangkan bahawa kerajaan juga masih mempunyai pilihan untuk menggunakan cara yang ketat bagi imunisasi.

"Kita akan membuat satu polisi kebangsaan, dengan harapan untuk menangani individu yang enggan divaksinasi.

"Akan tetapi, apa yang saya harapkan adalah sekiranya seseorang itu tidak mempunyai halangan dari segi kesihatan, mereka harus pergi mendapatkan vaksinasi.

"Saya masih belum sampai ke tahap di mana saya akan mengesyorkan kepada kabinet supaya membuat mandat persekutuan, tetapi saya tidak jauh dari situ," kata beliau.

Amer
Amer says:
Sep 03, 2021 03:09 AM

Boleh ke rakyat bersedia dengan semua ini sedangkan pesakit yang terkena wabak covid masih tidak boleh bertahan hidup bila sudah kritikal. Menggalakan vaksininasi jika ia adalah penawar adalah sangat menggalakkan tetapi sewaktu hendak kita meletakn tanda tangan pada borang ada menyatakan vakksin ini tidak menjaminkan saya dari terkena covid bagaimaa hendak yakinkan rakyat untuk hidup bersama sama dengan covid adalah lebih baik malaysia manjadi pusat penyelidikan menjadi penawar kepada wabak yang ada

Anonymous says:
Sep 10, 2021 11:21 AM

Maaf nak tanya..sekiranya ank ank sek rendah bersekolah.. katalah semua guru guru mereka telah divaksin. Tetapi adakah ibubapa ank ank tersebut semua nya telah divaksin...dan mereka semua bercampur gaul di sekolah.. tahulah ank ank kecil bila berada di sekolah... Mereka takkan ikut peraturan 100 peratus utk tidak dekat dengan kwn kwn mereka. So apa tindakan yang akn diambil utk memastikan setiap keluarga telah divaksin dan tidak akn memudaratkan org lain. Terus terang saya katakan mmg tiada penjarakan fizikal apabila mereka berada di dlm sekolah..

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh