Parti Pembangkang, Kerajaan Kritik Menteri Kesihatan Larang Kempen Fizikal PRN
2021.10.25
Kuala Lumpur
Parti-parti yang memihak kepada kerajaan Malaysia dan pakatan pembangkang pada Isnin mengkritik Menteri Kesihatan negara itu kerana melarang sebarang kempen fizikal menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung pada 20 November atas alasan penularan COVID-19.
Pihak pembangkang mendakwa larangan itu sebagai langkah tidak demokratik, manakala seorang pemimpin kanan parti pemerintah menyifatkan larangan sebagai “terlalu meluas”, atas alasan ianya tidak selari dengan kenyataan awal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) penerima vaksinasi COVID-19 yang lengkap mempunyai risiko rendah untuk dijangkiti.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan media berkata, aktiviti perhimpunan akan meningkatkan lagi risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti, ditambah dengan jangkitan varian Delta yang cepat merebak sehingga berlakunya peningkatan bilangan kes baharu yang dilaporkan.
“Bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dan peningkatan kes mendadak, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya adalah tidak dibenarkan, termasuklah penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya. Larangan ini akan mula berkuatkuasa pada 25 Oktober hingga 27 November 2021,” kata Khairy dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Rembau dari parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) berkata KKM menjangka banyak perhimpunan dan majlis sosial berkaitan dengan pilihan raya melibatkan ramai individu yang berkumpul dari seluruh negara.
Tambahnya walaupun Melaka berada dalam Fasa 4, di mana majlis sosial adalah dibenarkan, namun parti-parti politik termasuk UMNO gagal mematuhi protokol kesihatan.
“Bagaimanapun, seperti yang disaksikan dalam beberapa majlis baru-baru ini, parti politik (termasuk parti saya sendiri) tidak boleh mematuhi SOP. Demi kesihatan awam, semua perhimpunan politik kini dilarang di Melaka,” tambahnya melalui ciapan di laman media sosial Twitter miliknya selepas kenyataan tersebut dikeluarkan.
Pada hujung minggu, beberapa pemimpin politik dilihat berada di Melaka untuk berkempen bagi pilihan raya negeri itu, termasuk bekas perdana menteri yang disabitkan dengan kes rasuah di mahkamah, Najib Razak yang hadir pada beberapa majlis dengan kehadiran ramai ahli parti tanpa penjarakan sosial seperti ditetapkan.
Khairy berkata larangan tersebut dikeluarkan berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) PeraturanPeraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].
“Sebarang pelanggaran kepada peruntukan ini, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” tambah beliau.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan yang mengulas mengenainya berkata larangan tersebut bertentangan dengan kenyataan KKM seperti yang tersenarai di laman webnya, yang menyatakan risiko penularan varian Delta dalam kalangan mereka yang telah menerima vaksin adalah rendah, dan walaupun boleh dijangkiti, gejalanya tidak akan begitu teruk.
“Itu dalam laman web KKM tapi ia dijadikan alasan untuk tidak boleh dilakukan sebarang aktiviti ketika PRN Melaka… Saya harap disemak semula oleh kerajaan supaya ada perkara yang dibolehkan seperti (lawatan) rumah ke rumah, ceramah kecil-kecilan. Pertemuan kecil-kecilan sepatutnya boleh diadakan,” ulasnya lagi.
“Saya sendiri sebagai anggota parlimen yang menyokong kerajaan, tidak boleh terima apa yang disebut [oleh KKM]… tanggapan itu terlalu luas. Sebarang aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya adalah tidak dibenarkan.
“Kita nak buat PRN tapi sebarang aktiviti mengenai PRN tidak boleh dibuat,” ujar Ahmad yang juga Anggota Parlimen Pontian di sidang Parlimen pada Isnin.
Pembangkang pertikai
Fahmi Fadzil, pengarah komunikasi gabungan pembangkang Pakatan Harapan mempersoalkan larangan tersebut yang menurut beliau telah menimbulkan satu keadaan yang janggal kerana Melaka sudah berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.
“Sepatutnya pihak kerajaan patut berikan beberapa cadangan dan panduan untuk memudahkan kita [untuk bertemu dengan pengundi].
“Jadi sekiranya sikap atau semangatnya untuk mengekang maka sukar untuk kita mengikis persepsi umum ada udang di sebalik batu, sengaja dikekang, dihalang atau dipersulit urusan parti-parti politik atau samada ia bersifat demokratik ataupun tidak boleh dirumuskan atau dilihat oleh pengundi,” katanya kepada BenarNews.
Berdasarkan laman web Covidnow di bawah KKM, sehingga Ahad, kira-kira 91.6 peratus atau 620,671 populasi dewasa di Melaka telah lengkap vaksinasi COVID-19, jumlah antara yang tertinggi antara negeri-negeri lain manakala 73 peratus populasi remaja di negeri itu turut lengkap divaksinasi.
Pada Ahad, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng telah mengarahkan peguam parti itu untuk mengkaji sama ada larangan dan sekatan kepada calon untuk bertemu pengundi adalah sah dan mematuhi peraturan serta peraturan pilihan raya.
Lim menegaskan sekiranya Khairy benar-benar bimbang tentang risiko jangkitan baharu COVID-19, beliau sepatutnya tidak membenarkan pilihan raya diadakan.
“Khairy tidak berani melakukannya kerana beliau tahu bahawa ini akan menyalahi undang-undang, oleh sebab itu dia menggunakan taktik yang tidak beretika dan berat sebelah untuk menguntungkan kerajaan,” tegas Lim katanya dalam ucapan di majlis pelancaran jentera pilihan raya DAP di Melaka pada Ahad.
Pilihan raya negeri itu adalah susulan daripada pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lalu, selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari gabungan kerajaan negeri - termasuk mantan ketua menteri Idris Haron, bertindak menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.
Tiga lagi ADUN adalah Nor Azman Hassan dari UMNO; Noor Effandi Ahmad (Telok Mas dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia - Bersatu dan Bebas, Norhizam Hassan Baktee.
Susulan itu SPR telah menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November manakala tarikh mengundi pula ditetapkan pada 20 November.
Alternatif calon berkempen
Dalam pada itu, Jawatankuasa pemandu bagi pemantau pilihan raya, BERSIH 2.0 pada Isnin melahirkan kebimbangan terhadap larangan oleh KKM kerana ia menyekat calon untuk bertemu dengan pengundi, walaupun mengakui kepentingan memelihara kepentingan kesihatan umum.
“Kami mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengeluarkan peraturan, keperluan dan alternatif supaya larangan ini tidak menindas hak parti-parti politik dan calon-calon untuk berkempen,” kata badan itu dalam satu kenyataan.
Awang Azman Awang Pawi, penganalisis politik dari Universiti Malaya menyifatkan larangan aktiviti kempen bersemuka itu tidak sesuai dengan semangat atau tujuan sebenar untuk mengadakan pilihan raya dan semangat demokrasi.
“Pilihan Raya Negeri sepatutnya digunakan untuk membuka ruang memilih, medan interaksi pengundi dengan parti akan tetapi ia seolah-olah disekat dan ini boleh menyebabkan idea, wawasan calon bertanding tidak tersebar luas.
“Sepatutnya semua parti bertanding patut dibawa berbincang bagi mendapat persetujuan konsensus semua parti sebelum membuat apa-apa keputusan melibatkan keterhakisan dan hak demokrasi kalangan pengundi dan paling memburukkan ialah ia dijangka menyebabkan peratusan undi menurun,” ulasnya lagi.
Jeneri Amir, fellow kanan Majlis Professor Negara berpandangan larangan oleh KKM itu akan memberi ancaman kepada sasaran SPR untuk mencapai peratusan undi 70 peratus semasa pilihan raya negeri Melaka.
“Harus ada keseimbangan di antara melindungi kesihatan awam dengan memastikan demokrasi itu tidak terus disempitkan ruangnya, jadi harus ada adunan secara hibrid.
“Di kawasan tertentu itu kempen secara online itu berkesan, tapi harus diingat kempen guna cara konvensional dengan SOP khusus masih efektif, contohnya pengedaran risalah-risalah pilihan raya, manifesto, berkenaan calon diedar rumah ke rumah, itu lebih berkesan,” ujarnya.