Follow us

Kim Jong Nam: Tertuduh Wanita Indonesia Dibebaskan, Pulang Ke Tanah Air

Hadi Azmi & Amy Chew & Tia Asmara
Shah Alam, Malaysia & Jakarta, Indonesia
2019-03-11
E-mel
Komen
Share
Rakyat Indonesia Siti Aisyah melemparkan senyuman ketika meninggalkan Mahkamah Tinggi Shah Alam di luar Kuala Lumpur selepas pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadapnya dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam, 11 Mac 2019.
Rakyat Indonesia Siti Aisyah melemparkan senyuman ketika meninggalkan Mahkamah Tinggi Shah Alam di luar Kuala Lumpur selepas pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadapnya dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam, 11 Mac 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

KEMASKINI pada 4.00 petang waktu tempatan - 2019-03-11

Wanita rakyat Indonesia yang didakwa membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara di sebuah lapangan terbang Malaysia dua tahun lepas telah dibebaskan dan pulang ke Jakarta pada Isnin, setelah pihak pendakwaan membuat keputusan untuk tidak meneruskan kes terhadapnya dan pihak berkuasa Malaysia telah membebaskannya.

Siti Aisyah dalam keadaan emosi meninggalkan kompleks Mahkamah Tinggi Shah Alam pada pagi Isnin dan terbang ke ibu negara Indonesia tidak lama kemudian, kata pegawai Indonesia.

Pihak berkuasa Malaysia tidak menyatakan mengapa mereka menggugurkan pertuduhan terhadap wanita itu dan membenarkannya pulang ke tanah air.

"Saya sangat gembira - saya tidak mempunyai kata-kata untuk menggambarkan perasaan saya," kata Siti Aisyah kepada media dan juga para pegawai Indonesia selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma di Jakarta beberapa jam kemudian.

Sesi mahkamah Shah Alam pada Isnin turut ditangguhkan sebentar selepas peguam rakan tertuduh Aisyah, seorang wanita warga Vietnam iaitu Doan Thi Huong, berkata mereka akan mengemukakan petisyen agar pertuduhan terhadapnya turut ditarik balik.

"Saya ingin menarik balik pertuduhan terhadap Siti Aisyah di bawah seksyen 254(1),” kata Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Iskandar Ahmad kepada mahkamah pada Isnin semasa perbicaraan kes itu disambung semula selepas ditangguh selama beberapa bulan.

Siti Aisyah dan Doan telah didakwa menggunakan agen saraf bertoksik VX untuk membunuh Kim Jong Nam, yang merupakan abang tiri pemimpin diktator Korea Utara, Kim Jong Un, ketika mangsa mendaftar masuk untuk menaiki penerbangan AirAsia ke Macau di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 pada 13 Feb 2017.

Siti Aisyah menangis dan melambaikan tangan semasa dia diiringi dua peguamnya keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Siti Aisyah, seorang ibu tunggal anak satu yang bekerja di sebuah spa hotel sebelum ditahan, telah berlepas pulang ke tanah kelahirannya pada Isnin dengan menaiki sebuah pesawat peribadi milik Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana, yang juga pemilik Lion Air, kata peguamnya dalam satu sidang akhbar di Kedutaan Indonesia pada petang Isnin.

Semasa berada di tanah tumpah darahnya dan selepas diminta oleh seorang pegawai, Siti Aisyah mengucapkan terima kasih kerana dibebaskan serta menceritakan pengalaman beliau sewaktu berada di penjara Malaysia.

"Saya berterima kasih kepada presiden kami Encik Jokowi, dan semua menteri yang telah berusaha membantu saya dan membawa saya pulang ke Indonesia," katanya sambil menambah bahawa dia telah dilayan dengan baik di Malaysia. "Mereka tidak melakukan apa-apa yang boleh membahayakan diri saya."

Bapanya, Asriah Nur Hasan, yang menutup muka, berlutut di depan Siti Aisyah sambil menangis semasa mereka bertemu semula di pejabat Kementerian Luar. Siti Aisyah membantu ayahnya untuk berdiri semula.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan mereka, besar atau kecil. Terima kasih kerana membantu anak saya sehingga dia dibebaskan," kata Asriah. "Kami memohon maaf atas sebarang kesilapan. Semoga Allah terus melindungi kita semua,"katanya.

Siti Aisyah turut mengucapkan terima kasih.

"Saya mahu berjumpa dengan keluarga saya. Saya bersyukur kepada Allah kerana ibu bapa saya sentiasa mendoakan saya," katanya.

Berita pembebasan Siti Aisyah tersebar dengan pantas di kampungnya Sindangsari yang terletak di Kepulauan Jawa.

"Kami telah mendengar berita itu dan kami sangat gembira. Kami sedang bersiap untuk meraikan kepulangan Siti Aisyah!" kata makciknya, Darmi, kepada agensi berita antarabangsa Agence France-Presse [AFP].



Surat dari Peguam Negara

Pihak pendakwaan Malaysia tidak menyatakan alasan mengapa mereka memutuskan untuk tidak meneruskan kes itu terhadap Aisyah, kata peguamnya Gooi Soon Seng kepada pemberita. Beliau membuat spekulasi bahawa pendakwaan menarik balik pertuduhan kerana mereka tidak mempunyai bukti dalam kes yang melibatkan anak guamnya.

“Tiada bukti langsung bahawa dia [Siti Aisyah] telah melumurkan apa-apa ke muka Kim Jong Nam. Tiada bukti... CCTV tidak menunjukkan bahawa dia melakukan perbuatan yang menunjukkan beliau telah melumurkan sesuatu ke muka Kim Jong Nam. Apa yang ditemui ialah kesan produk VX yang berbahaya,” katanya merujuk kepada kesan senjata kimia yang dilarang, yang telah ditemui pada pakaian Siti Aisyah.

Dalam sepucuk surat yang ditunjukkan kepada pemberita pada Isnin, Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas telah memaklumkan seorang pegawai kanan Indonesia mengenai pembebasan dan pelepasan Siti Aisyah dengan berkata keputusan beliau dalam perkara itu dibuat "dengan mengambil kira hubungan baik antara kedua-dua negara."

Doan, wanita yang dituduh bersama Siti Aisyah dan masih dalam tahanan, tidak tahu mengenai keputusan pendakwa raya itu.

“Saya terkejut dan saya harap saya juga akan dibebaskan,” kata Doan sambil menangis menerusi seorang jurubahasa semasa mahkamah berehat. Dia dijadualkan memberi keterangan di peringkat pembelaan pada Isnin, namun hanya sempat membaca tiga perenggan sebelum peguamnya menghentikan beliau.

“Bagi pihak Doan, kami akan meminta Peguam Negara untuk mengkaji semula kes ini bagi membolehkan pertuduhan terhadapnya ditarik balik atas alasan yang sama seperti Siti Aishah. Kami akan mengemukakan permohonan hari ini,” kata peguam Hisyam Teh Poh Teik.

“Kami terkejut dengan keputusan yang membabitkan Siti Aisyah. Kami tidak dimaklumkan mengenainya terlebih dahulu,” katanya kemudian kepada pemberita.

"Doan tidak dapat memberi keterangan. Dia trauma. Dia gagal mengawal perasaannya dan menangis," katanya sambil menambah "Keputusan ini tidak adil. Tidak ada persamaan dan keadilan di hadapan undang-undang. Jika Siti Aisyah boleh dibebaskan, maka Doan juga sepatutnya begitu."

Hakim Azmi Ariffin berkata beliau “keberatan” untuk membenarkan petisyen bagi pihak Doan dan berkata “Jika Pejabat Peguam Negara menolak permohonan itu, perbicaraan akan disambung semula pada pukul 10 pagi Khamis.”

Beliau telah membuat keputusan untuk melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah daripada pertuduhan dan ini bermakna, wanita itu boleh didakwa semula kemudian jika terdapat bukti baharu.

190311_ID_RetnoAisyah_1000.jpeg

Siti Aisyah (dua dari kanan) berdiri bersebelahan Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi (tengah) bersama kedua ibu bapanya semasa sidang media di Jakarta, 11 Mac 2019. [Tia Asmara/BeritaBenar]

Rundingan bawa kepada pembebasan

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada tengah hari Isnin, Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur menyifatkan pembebasan Siti Aisyah sebagai kemuncak usaha diplomatik sejak sekian lama seperti arahan Presiden Joko Widodo, yang berhasrat memenangi penggal kedua jawatan itu dalam pilihan raya yang dijadualkan pada 17 April ini.

Menteri Kehakiman Yasonna Laoly menyambut ketibaan Siti Aisyah di lapangan terbang.

"Hari ini adalah hari gembira bagi kita semua sebagai sebuah negara," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di kementerian luar.

"Atas perintah Presiden, ketua polis negara, peguam negara dan pegawai-pegawai lain telah bekerjasama dalam mencari kaedah untuk membebaskannya serta berkomunikasi dengan baik dengan kepimpinan bekas Perdana Menteri Perdana Menteri Najib Razak serta kerajaan Perdana Menteri Mahathir Mohamad," katanya.

"Oleh itu, usaha yang panjang dan bersepadu telah dilakukan bagi membantu Siti Aisyah, saudara perempuan kita serta memastikan yang dia berada di sini bersama kita semua."

Pendakwaan telah mendakwa Siti Aisyah dan Doan mendekati Kim Jong Nam dan melumurkan bahan tidak berwarna dan berbau ke muka mangsa di terminal berlepas lapangan terbang itu. Mangsa meninggal dunia kira-kira 20 minit kemudian. Kedua-dua wanita muda tersebut telah ditahan beberapa hari selepas itu.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan peguam mereka berhujah bahawa mereka telah diperdaya agar mempercayai bahawa mereka sedang mengambil bahagian dalam aksi gurauan bagi sebuah rancangan komedi Jepun di YouTube.

Ali Nufael di Kuala Lumpur dan Nisita Kirana Pratiwi di Jakarta turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh