Kim Jong Nam Bimbangkan Nyawanya Beberapa Bulan Sebelum Dibunuh

Hadi Azmi
2018.02.27
Shah Alam, Malaysia
180227-MY-KJN-620.jpg Rakyat Indonesia, Siti Aisyah, (kiri) tiba di Mahkamah Tinggi Shah Alam di Malaysia, di mana dia dan rakyat Vietnam, Doan Thi Huong, sedang dibicarakan bagi kes pembunuhan Kim Jong Nam pada 27 Feb, 2018.
[AP]

Beberapa bulan sebelum dibunuh di sebuah lapangan terbang Kuala Lumpur tahun lepas, Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin diktator Korea Utara, pernah menyuarakan rasa bimbang tentang nyawanya, kata seorang penyiasat utama semasa memberi keterangan pada Selasa.

Kim memberitahu rakannya di Malaysia mengenai kebimbangannya itu, kata ketua penyiasat polis Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz  dalam perbicaraan kes pembunuhan Kim.

"Enam bulan sebelum kejadian itu, Kim Jong Nam telah berkata ‘saya bimbangkan tentang nyawa saya dan saya memerlukan seorang pemandu’," kata Wan Azirul. Beliau menamakan rakan Kim, yang dikenali sebagai Tomie Yoshio, warganegara Jepun, sebagai orang yang menyediakan pemandu peribadi, Ahmad Fuad Ramli, untuk Kim.

"Fuad ditugaskan untuk mengambil Kim Chol ketika beliau tiba di KLIA2 [Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2] dan menghantarnya ke Hotel Grand Millennium di Kuala Lumpur, membawanya makan dan memandu ke mana sahaja beliau mahu pergi," kata Wan Azirul kepada mahkamah semasa peguam pembelaan Gooi Soon Seng menyoal balasnya. Penyiasat itu merujuk kepada Kim Jong Nam dengan nama lain yang dinyatakan di dalam pasport Korea Utara miliknya.

Gooi mewakili Siti Aisyah dari Indonesia, yang bersama-sama dengan tertuduh, Doan Thi Huong, dari Vietnam, sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dekat Kuala Lumpur atas tuduhan menyapu agen saraf VX yang membawa maut pada muka Kim pada 13 Feb 2017, di KLIA2. Kedua-dua wanita itu berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah juga diberitahu bahawa Kim menginap di sebuah hotel di kawasan pusat membeli-belah Kuala Lumpur dari 6 hingga 8 Feb sebelum pergi ke pulau Langkawi, Malaysia, di mana beliau berada di sana sehingga 12 Feb.

Pada Mei lalu, akhbar Jepun, Asahi Shinbun, melaporkan bahawa Kim telah bertemu dengan ejen perisikan Amerika Syarikat berketurunan Korea-Amerika di Langkawi beberapa hari sebelum kematiannya.

Di mahkamah itu, Gooi mengemukakan gambar yang kelihatan menunjukkan ejen yang didakwa itu, yang dikatakan tiba di Langkawi pada hari sama dan menginap di hotel yang sama, bersama-sama dengan Kim dalam sebuah lif.

Bercakap kepada BeritaBenar selepas perbicaraan hari ini, Gooi berkata, bukti forensik digital menunjukkan bahawa maklumat itu telah diambil daripada  komputer Kim dan dimasukkan ke pemacu USB.

"Biasanya, apabila pemacu digunakan, ia bermakna sejumlah besar data  dikumpulkan dan ia berlaku ketika [ejen perisikan yang didakwa itu] bertemu Kim di Westin Hotel," katanya.

Gooi berkata, data itu diberikan sebagai pertukaran sebanyak US$138,000 (541,000 ringgit) yang dibawa oleh Kim ketika beliau dibunuh.

Pada perbicaraan itu, Wan Azirul memberi keterangan bahawa beliau tidak menyiasat sumber wang itu dan menafikan ia mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu. Tidak seperti barangan peribadi milik Kim, yang diberikan kepada kerajaan Korea Utara bersama-sama dengan mayatnya pada Mac 2017, pihak berkuasa Malaysia tidak menyerahkan wang itu.

Empat rakyat Korea Utara yang dianggap sebagai suspek dalam kes itu dan berada di lapangan terbang ketika abang tiri diktator Kim Jong Un dibunuh, telah melarikan diri dari Kuala Lumpur pada hari kejadian itu.

Soal balas

Semasa menjawab soalan Gooi, Wan Azirul berkata, beliau tidak pernah pergi ke bilik Siti Aisyah di sebuah hotel ketika dia ditangkap atau selepasnya. Gooi membangkitkan percanggahan dalam keterangan daripada pegawai yang membuat tangkapan iaitu Supt Nasri Mansor dan Wan Azirul.

"Anda kata anda tidak pernah berada dalam Bilik 356 semasa penangkapan itu, oleh itu, anda tidak mengetahui bagaimana Supt Nasri melakukan penangkapan itu?," soal Gooi.

Wan Azirul bersetuju bahawa beliau tidak tahu bagaimana Nasri mengumpul dan menyimpan bukti sebelum menyerahkannya kepada beliau. Gooi bertanyakan soalan itu selepas penyiasat itu memberi keterangan mengenai penerimaan bukti, yang berbeza dengan keterangan awal daripada Supt Nasri.

Wan Azirul juga memberitahu bahawa walaupun beliau adalah ketua penyiasat kes itu, secara peribadinya beliau hanya menyoal siasat dua saksi manakala pegawai-pegawai lain menyoal saksi yang lain.

Peguam Doan dijadualkan menyoal balas Wan Azirul selepas Gooi selesai berbuat demikian

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.