Kes Pembunuhan Kim Jong-Nam Dipindahkan Ke Mahkamah Tinggi

Fadzil Aziz
2017.05.30
Sepang, Malaysia
170530_MY_ID_SITI_1000.jpg Warga Indonesia Siti Aisyah tiba di sebuah mahkamah di Sepang, Malaysia, di bawah kawalan keselamatan yang ketat, 30 Mei 2017.
AFP

Kes pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam yang membabitkan dua wanita Asia Tenggara telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan, tetapi tiada lagi tarikh bagi sebutan kes itu, sebuah mahkamah memutuskan pada Selasa.

Hakim Harith Sham Mohamed Yasin yang bertindak sebagai Majistret bagi Mahkmah Sepang, di Selangor telah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pasukan pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad meminta kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mahkamah, bagaimanapun tidak menetapkan tarikh bagi sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Keputusan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi itu dibuat mengikut 177a Kanun Acara Jenayah (CPC).

Menurut Muhammad Iskandar, pihak pendakwaan memerlukan masa kira-kira tiga bulan untuk melengkapkan semua dokumen bersabit dengan kes berkenaan.

Beliau yang temui media di perkarangan mahkamah berkata, selepas keputusan mahkamah berkenaan, tarikh perbicaraan kes hanya akan ditentukan mahkamah tinggi.

Pada 1 Mac lepas, Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28 berasal dari Vietnam telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan membunuh Kim Jong-nam, 45  bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas.

Kedua-dua wanita itu didakwa melakukan pembunuhan tersebut di Balai Pelepasan KLIA 2, pada 13 Februari lalu dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Kim Jong-nam meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya pada hari beliau diserang dengan agen saraf yang diharamkan di peringkat antarabangsa dan kes pembunuhan berprofail tinggi itu telah  menyebabkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang.

Pada Selasa [hari ini] buat pertama kali, Kedutaan Korea Utara menghantar wakil peguam mereka iaitu Jagjit Singh yang bertindak selaku peguam pemerhati.

Jagjit ketika ditemui media selepas sesi mahkamah memberitahu beliau mula berurusan dengan Korea Utara sejak 2 Mac lalu serta membantu tiga suspek warga Korea Utara yang berada di Kedutaan negara itu kembali ke negara asal.

"Kami bekerja di belakang tabir, berunding dengan kerajaan bagi pihak mereka untuk menghantar mereka pulang," katanya di luar mahkamah.

Tiga warga Korea Utara tersebut adalah ahli kimia Ri Jong Chol, kakitangan Air Koryo Kim Uk Il dan Setiausaha Kedua Kedutaan negara itu, Hyong Kwan Song.

Terdahulu, dua tertuduh iaitu Siti Aisyah, dan Thi Huong, tiba di Kompleks Mahkamah Sepang secara berasingan pada kira-kira pukul 9 pagi dengan kawalan ketat polis bagi menghadiri sebutan semula kes berkenaan.

Mereka diiringi konvoi pacuan empat roda pasukan petugas khas jenayah terancang (STAFOC) yang lengkap memakai topeng muka, berpakaian gelap serta dibantu oleh pasukan polis trafik.

Kedua-dua suspek yang kelihatan tenang dilihat turut memakai baju kalis peluru.

Siti Aisyah sempat melambai dan tersenyum kepada wakil Kedutaan Indonesia yang hadir di prosiding berkenaan.

Semasa prosiding mahkamah pada Selasa itu, para peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Gooi Soon Seng, Naran Singh dan Hisyam Teh Poh Teik mengulangi kegusaran  mereka terhadap pihak polis dan pejabat pendakwa raya yang tidak memberikan dokumen berkaitan kes termasuk rakaman CCTV seperti dimohon oleh pihak pembelaan.

“Ini akan menyebabkan kedua-dua wanita itu tidak mendapat menjalani perbicaraan yang adil kerana mereka tidak boleh bersedia untuk pembelaan diri, kerana kekurangan maklumat” kata Gooi kepada mahkamah.

Pendakwa raya Iskandar Ahmad memberi jaminan yang Jabatan Peguam Negara akan menyerahkan dokumen berkaitan kepada mereka sebelum perbicaraan bermula seperti mana di bawah Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Surat kepada keluarga

Sementara itu, seorang pegawai dari pejabat Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur telah membacakan isi surat yang ditulis oleh Siti Aisyah kepada keluarganya di Serang, Indonesia.

Antara kandungan surat itu berbunyi, "Mak, abah, saya di sini sihat. Jaga kesihatan dan doakan saya. Ramai orang yang membantu saya di sini, Kedutaan datang berjumpa dengan saya dan para peguam juga,”

"Jangan bimbang, kamu tidak perlu datang. Doakan saya. Kes ini akan berakhir tidak lama lagi dan saya boleh pulang ke rumah. Kirimkan salam saya kepada Rio (anaknya)," demikian menurut pegawai yang membacakan isi surat berkenaan.

Kerajaan Indonesia sebelum ini telah menggesa supaya perbicaraan dilakukan secara adil bagi rakyatnya yang dituduh membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara itu dan perkara tersebut telah disampaikan oleh jurucakap Menteri Luarnya, Arrmanatha Nasir.

Sementara itu, Kompleks Mahkamah Sepang sekali lagi menjadi tumpuan media melibatkan kes berprofil tinggi itu apabila media tempatan dan asing menunggu di hadapan pintu masuk komplek mahkamah seawal lima pagi.

Seperti prosiding sebelum ini, pemberita yang masuk ke dalam bilik mahkamah tidak dibenarkan membawa sebarang peralatan elektronik termasuk telefon bimbit.

Manakala jurugambar dan jurukamera pula hanya dibenarkan merakam dari jauh iaitu dari luar pintu masuk kompleks mahkamah.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.