Agen Saraf VX Ditemui Pada Baju Wanita Yang Didakwa Membunuh Kim

Hareez Lee, N. Nantha & Fadzil Aziz
2017.10.05
Shah Alam, Selangor
171005-MY-KJN-Chemical620.jpg Raja Subramaniam, pakar senjata kimia sedang berjalan menuju ke bilik bicara Mahkamah Shah Alam untuk memberi keterangan terhadap perbicaraan hari keempat melibatkan dua wanita Asia Tenggara yang dituduh membunuh Kim Jong Nam, 5 Okt 2017.
[Fadzil Aziz/BeritaBenar]

Pendakwaraya menawarkan bukti pertama hari ini yang menghubungkan agen saraf VX dengan dua wanita Asia Tenggara yang didakwa membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Pakar senjata kimia, yang memberi keterangan kepada pihak pendakwaraya, memberitahu Mahkamah Tinggi Malaysia berhampiran Kuala Lumpur bahawa dia mendapati kesan agen saraf VX, yang diharamkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terdapat pada pakaian wanita Indonesia Siti Aisyah, 25, dan Doan Thi Hoang , 28 dari Vietnam itu.

Kedua-dua pekerja asing itu dituduh membunuh Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 pada 13 Feb lalu dengan menyapu muka Jong Nam dengan agen saraf  VX yang semasa itu sedang menunggu penerbangan ke Macau. Kedua-dua wanita berkenaan menafikan tuduhan berkenaan dan mengaku tidak bersalah melakukan jenayah itu, dengan mengatakan mereka menyangka yang mereka terlibat dalam ‘prank’ gurauan realiti TV yang sedang difilemkan dengan kamera tersembunyi.

Kim meninggal dunia dalam masa beberapa minit selepas diserang dan kedua-dua wanita berkenaan kini berdepan dengan hukuman mati jika sabit kesalahan. Kedua-duanya ditahan beberapa hari selepas pembunuhan sensasi yang turut mencetuskan perbalahan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara.

Dr Raja Subramaniam, Ketua Ahli Kimia di Pusat Analisis Senjata Kimia Malaysia, memberi keterangan pada Khamis bahawa kesan senjata kimia itu terdapat pada baju milik Siti Aisyah dan Doan.

"Kami menemui degradasi produk VX pada baju tanpa lengan milik Siti Aisyah," kata ahli kimia itu kepada Mahkamah Shah Alam di Selangor.

Katanya, beliau mendapati VX dan bentuk ejen yang degradasi terdapat pada pakaian yang dipakai Doan pada hari serangan itu. Pakaian itu dicetak dengan perkataan "LOL," akronim untuk "ketawa dengan kuat", dalam huruf besar. Kesan racun juga terdapat pada kuku Doan, katanya.

"Saya menjumpai pelopor agen saraf VX pada lengan baju 'LOL' dan lengan baju Siti," kata pakar itu.

Kewujudan pelopor, ahli kimia itu menjelaskan dan mengesahkan bahawa agen VX terdapat pada pakaian berkenaan.

VX dilarang di bawah Konvensyen Senjata Kimia. Ia boleh membawa maut selepas 15 minit terdedah dengannya, menurut Pusat Biologi Kimia Edgewood Tentera Amerika.

Peguambela yang cuba mencetuskan keraguan dalam kes pendakwaan itu tidak terganggu dengan penemuan ahli kimia tersebut.

"Ia adalah satu-satunya bukti, dan kami yakin kami dapat menggantikan keraguan (keatas anak guam) dengan alasan," kata peguam Doan, Hisyam Teh Poh Teik, kepada pemberita ketika waktu rehat pada perbicaraan itu.

VX  'tidak berwarna, tidak berbau dan tanpa rasa'

Hari keempat perbicaraan itu menyaksikan pihak pendakwaraya memperuntukkan kira-kira empat jam untuk bertanya lebih banyak soalan tentang saksi kelapan selepas beliau disoal balas oleh pasukan peguambela. Raja Subramaniam membincangkan ciri-ciri agen saraf dalam bentuk tulen dan kebolehannya.

"VX dalam bentuk tulen tidak berwarna, tidak berbau dan tanpa rasa," kata Raja Subaramaniam sambil menambah ia boleh "dibawa dengan mudah dalam botol air mineral."

Beliau berkata, jika VX bersentuhan dengan kulit manusia, kematian boleh dicegah dengan melakukan dekontaminasi dalam masa 15 minit dari masa kontak. Kehidupannya bergantung pada dos dan di bahagian mana anggota badan ia digunakan.

"Bagaimana jika titisan VX tersentuh dengan kulit manusia? Apa yang perlu kita lakukan untuk mengelakkan gangguan maut terhadap sistem saraf? " tanya pendakwaraya Wan Shaharuddin.

"Kita perlu mencuci dengan air bersih dan menggosok secara fizikal untuk tempoh tertentu sebelum mendapat bantuan perubatan," Raja Subramaniam menjawab.

Dia juga memberi keterangan bahawa VX boleh diserap ke dalam badan manusia dengan lebih cepat melalui mata berbanding kulit termasuk telapak tangan, yang paling tidak sensitif.

Terdahulu, Raja Subramaniam memberitahu mahkamah bahawa ujian kimia keatas barangan milik Kim Jong Nam, seperti beg dan jaketnya juga mendapati kesan VX.

Hakim Azmi Ariffin mengarahkan perbicaraan itu disambung pada Isnin di makmal kimia kerajaan, dengan membenarkan peguambela dan tertuduh melihat sampel VX yang didapati daripada kedua-dua wanita berkenaan. Perintah itu diberi selepas Raja Subramaniam memberitahu mahkamah bahawa VX yang masih aktif  lebih selamat untuk melihat sampelnya di makmal.

Sementara itu, Wan Shaharuddin memberitahu BeritaBenar bahawa pasukan pendakwaraya masih menghadapi pertempuran sengit meskipun terdapat keterangan dari ahli kimia itu.

"Kes ini memerlukan masa panjang sebelum ia berakhir," katanya. "Setakat ini, dua wanita itu tidak bersalah sehingga terbukti mereka bersalah."

Peguambela Salim Bashir, peguam bagi tertuduh wanita Vietnam, Doan Thi Hoang, menunjukkan gambar baju "LOL" yang dipakai oleh anak guamnya semasa waktu rehat pada hari keempat perbicaraan di kompleks Mahkamah Shah Alam, 5 Oktober, 2017. [Fadzil Aziz/BeritaBenar]


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.