KJN: Perbicaraan Disambung Semula Dengan Lima Saksi Dipanggil
2018.01.22
Shah Alam, Selangor
Pasukan pendakwaan dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam akan memanggil lima saksi terakhir termasuk ketua penyiasat polis sebelum selesai perbicaraan yang dijangka pada Mac depan dengan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin memulakan semula perbicaraan kes dua wanita Asia Tenggara yang didakwa terlibat dengan pembunuhan abang tiri pemimpin diktator Korea Utara, selepas ditangguhkan selama tujuh minggu.
Ketua pendakwaraya Muhammad Iskandar Ahmad memberitahu mahkamah itu pada Isnin bahawa empat daripada saksi dalam kes tersebut dijangka memberi keterangan mereka dalam minggu ini, sebelum pegawai penyiasat Wan Azirul Nizam Che Wan Ahmad dipanggil semula ke kandang saksi.
Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Iskandar berkata tempoh perbicaraan terhadap dua wanita Asia Tenggara yang dituduh membunuh Kim Jong Nam itu telah disambung hingga Mei.
"Kami berharap untuk menyelesaikan keterangan semua saksi dalam bulan Mac," kata pendakwaraya veteran itu yang juga adalah pengarah pasukan pendakwaraya negeri Selangor.
Tertuduh yang terdiri daripada rakyat Indonesia, Siti Aisyah, dan Vietnam, Doan Thi Huong, menghadapi hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan Malaysia, atas pembunuhan Jong Nam sekiranya didapati bersalah.
Mereka dituduh cuba membunuh Jong Nam dengan menyerang dan menyapu ke muka beliau sejenis senjata kimia, agen saraf VX, yang membawa maut, di terminal berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, pada 13 Februari 2017.
Kedua-dua wanita itu mengaku tidak bersalah dan menegaskan yang mereka mengambil bahagian dalam aksi gurauan dalam satu rancangan realiti TV. Empat lelaki warga Korea Utara, yang dinamakan sebagai suspek oleh polis Malaysia, telah melarikan diri dari negara itu pada hari serangan itu berlaku.
Sehingga Isnin, semasa persidangan kes berkenaan disambung semula selepas ditangguh selama tujuh minggu, seramai 29 saksi telah memberi keterangan termasuk Wan Azirul, pakar-pakar patologi dan pakar senjata kimia Malaysia.
Perbicaraan peringkat permulaan bermula Oktober lepas di mahkamah yang sama dan berakhir pada 30 November lalu.
Saksi terbaru pada Isnin termasuk pengawal keselamatan KLIA2, K. Govulan, yang dipanggil pasukan pendakwaan untuk memberi keterangan mengenai kejadian yang melibatkan salah seorang tertuduh yang terdapat di dalam rakaman CCTV di lapangan terbang itu.
Tindakan itu namun dibantah peguambela Siti Aisyah, Gooi Soon Seng, yang memberitahu mahkamah bahawa pasukan pembelaan telah diberitahu sebelum ini bahawa rakaman itu tidak akan digunakan sebagai bukti kerana ia dibuat selepas kedua-dua tertuduh ditahan.
Hakim Azmi Ariffin pula membuat keputusan untuk mengarahkan supaya rakaman berkenaan dimainkan lagi atau digunakan sebagai bukti dalam perbicaran tersebut.
Pasukan pembelaan telah berhujah bahawa pembunuhan abang tiri pemimpin diktator Korea Utara Kim Jong Un itu, bermotifkan politik, kerana sekurang-kurangnya tiga orang lelaki yang dinamakan sebagai suspek telah dibawa ke lapangan terbang dengan sebuah minivan yang dibeli oleh seorang pegawai kedutaan Korea Utara.
Peguam Siti Aisyah memberitahu Associated Press pada Jumaat lepas bahawa usaha peguam bela telah dihalang oleh bukti yang hilang, khususnya telefon bimbit Kim Jong Nam, yang dihantar pulang ke Korea Utara bersama mayatnya.