Follow us

Kes Kim Jong Nam: Tertuduh Pulang Ke Vietnam Selepas Dibebaskan Dari Penjara Malaysia

Hadi Azmi & Aminah Farid
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-05-03
E-mel
Komen
Share
Warga Vietnam Doan Thi Huong bercakap kepada wartawan setibanya di Hanoi berikutan pembebasannya dari penjara Malaysia di mana beliau telah ditahan, 3 Mei 2019.
Warga Vietnam Doan Thi Huong bercakap kepada wartawan setibanya di Hanoi berikutan pembebasannya dari penjara Malaysia di mana beliau telah ditahan, 3 Mei 2019.
[AFP]

Malaysia pada Jumaat membebaskan tertuduh kedua yang didakwa membunuh abang tiri pemimpin diktator Korea Utara dalam satu serangan senjata kimia di sebuah lapangan terbang di Kuala Lumpur pada 2017, dari sebuah penjara dengan wanita tersebut menaiki penerbangan komersil pulang ke Vietnam pada petang Jumaat, setelah dua tahun bertarung membela diri dalam perbicaraan kesnya di mahkamah, demikian kata peguambelanya.

Doan Thi Huong, yang akan mencecah usia 30 tahun pada penghujung bulan ini, dibebaskan pada 7.15 pagi dari Penjara Kajang di mana dia ditahan sejurus selepas kematian Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Feb , 2017.

"Kes ini telah selesai sepenuhnya," kata peguam Hisyam Teh Poh Teik kepada wartawan sambil memberitahu bahawa pihak pendakwaan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah pada bulan lalu yang membenarkan wanita Vietnam itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan lebih ringan dan menjalani hukuman penjara bagi tempoh pendek.

Para pendakwa raya dan pegawai kerajaan lain tidak memberi sebarang ulasan mengenai pembebasan Doan pada Jumaat.

Wanita Vietnam, Doan Thi Huong, dan rakyat Indonesia, Siti Aisyah, dituduh membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam, di terminal pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dengan menyapu VX, agen kimia yang diharamkan, pada wajah lelaki itu.

Jong Nam meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sebuah hospital tempatan selepas didapati tenat.

Dalam langkah yang mengejutkan para pemerhati mahkamah, Peguam Negara Malaysia, Tommy Thomas, pada Mac lalu mengumumkan bahawa pihak pendakwaan menggugurkan pertuduhan terhadap Siti Aisyah. Wanita itu kemudian dibebaskan dari penjara dan menaiki sebuah jet peribadi untuk pulang ke Indonesia di mana dia dan keluarganya bertemu dengan Presiden Joko "Jokowi" Widodo pada keesokan harinya.

Dalam video yang dirakam oleh seorang daripada peguamnya di dalam pesawat sebelum ia berlepas ke Hanoi, Doan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan untuk dirinya, lapor Associated Press.

"Saya mahu memberitahu yang saya sayangkan kamu semua. Saya berterima kasih kepada Tuhan Jesus saya. Terima kasih banyak-banyak,"katanya dalam video itu.

Kemudian, selepas tiba di Hanoi, Doan berkata dia tidak pasti apa yang mahu dilakukannya selepas ini, "tetapi saya rasa saya mahu menjadi pelakon." Dia juga bercerita tentang dirinya semasa dipenjarakan, lapor AP.

"Apa yang paling menakutkan saya ketika berada dalam penjara adalah kesepian dan rasa rindu kepada keluarga," katanya. "Keadaan saya baik-baik sahaja di penjara. Mereka juga melayani saya dengan baik.”

Para pendakwa raya dan pegawai kerajaan Malaysia tidak membuat sebarang ulasan tentang pembebasan Doan pada Jumaat.

Tertuduh bersama, Doan, pula dipenjarakan dan dibicarakan bagi kes pembunuhan Kim. Doan, yang terpaksa menjalani rawatan psikiatri di Hospital Kuala Lumpur selepas pembebasan Siti, mengaku bersalah terhadap pertuduhan lebih ringan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata berbahaya dan dibebaskan pada Jumaat selepas menjalani dua pertiga daripada hukuman penjara tiga tahun dan empat bulan.

Doan meninggalkan Penjara Wanita Kajang pada pagi Jumaat dengan menaiki sebuah van berwarna perak dengan diiringi sebuah kenderaan Jabatan Imigresen sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya. Selepas itu, dia dibawa pula ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jurubahasa mahkamah, Maridam Yacfar, memberitahu wartawan yang menunggu di luar penjara itu bahawa Doan tidak lagi berada di dalamnya.

"Saya mengesahkan bahawa Doan telah dibebaskan pada jam 7.15 pagi. Dia kelihatan gembira," kata Maridam tanpa mengulas lanjut sebelum beliau dibawa ke Kedutaan Vietnam.

190503-MY-doan-620.jpg

Hisyam Teh Poh Teik menunjukkan surat yang ditulis oleh Doan, sambil disaksikan rakannya Narin Singh pada sidang berita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Malaysia. 3 Mei 2019. [Hadi Azmi/BeritaBenar]

Baca surat

Semasa bertemu pemberita di KLIA sebelum menaiki pesawat menuju ke Hanoi pada malam Jumaat, Hisyam membaca surat kiriman Doan yang antaranya mengandungi ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Vietnam, Hakim Azmi Ariffin, Peguam Negara Tommy Thomas serta Persekutuan Peguam Vietnam.

"Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang mendoakan saya di gereja dan juga di rumah, terima kasih Tuhan Jesus kerana kasih sayang (yang dicurahkan kepada) saya," kata Doan dalam surat yang ditulisnya pada Khamis, sehari sebelum pembebasannya. "Saya berasa amat gembira dan terima kasih banyak-banyak kepada semua. Saya sayangkan anda semua. "

Wanita itu juga mengucapkan terima kasih kepada para wartawan atas sokongan yang diberikan kepadanya.

"Maksudnya ialah setiap seorang daripada anda, dia ucapkan berbanyak-banyak terima kasih," kata Hisyam kepada semua wakil media yang hadir untuk membuat liputan tentang kepulangannya ke Vietnam.

Hisyam dan peguam Doan yang lain iaitu Salim Bashir dan Naran Singh bercakap kepada pemberita di KLIA sebelum menaiki penerbangan yang dijadualkan pada 7.20 petang itu untuk mengiringi anak guam mereka pulang ke Hanoi. Wanita itu tidak kelihatan di lapangan terbang tersebut dan peguamnya memberitahu bahawa dia telah dibawa masuk terus ke dalam pesawat.

Naran Singh memberitahu BeritaBenar bahawa pembebasan Doan dianggap sebagai ‘pengakhiran sebuah buku’.

"Kami telah berulang kali  ke Hanoi sejak bermulanya  perbicaraan kes ini untuk membincangkan dan melaporkannya kepada Persekutuan Peguam Vietnam. Jadi, ini sepatutnya menjadi  perjalanan terakhir kami ke sana, tutup buku," katanya.

Persekutuan Peguam Vietnam, yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, membayar kesemua peguam Malaysia itu bagi mengendalikan kes yang dihadapi Doan.

Ketika ditanya sama ada Doan mungkin berdepan bahaya di Vietnam berikutan penglibatannya dalam kes itu, Naran Singh berkata beliau dia tidak menjangka apa-apa.

"Bagi empat rakyat Korea Utara yang terlibat,  mereka menganggap tugas itu telah dilakukan pada 2017. Jadi, saya rasa mereka tidak perlu mengambil sebarang risiko lagi," kata Naran Singh.

Pegawai-pegawai Malaysia telah menyatakan bahawa rakyat Korea Utara itu, yang dipercayai suspek dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam, telah meninggalkan Malaysia beberapa jam selepas insiden tersebut.

Naran Singh juga memberitahu bahawa kerajaan Korea Utara menjalinkan hubungan baik dengan Vietnam, dengan merujuk kepada sidang kemuncak pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang diadakan di Hanoi pada Februari lalu.

Lihat Laman Penuh