Follow us

Kim Jong Nam: Wanita Vietnam Beri Keterangan Isnin

Hadi Azmi & Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-03-08
E-mel
Komen
Share
Anggota Polis DiRaja Malaysia mengiringi tertuduh warga Vietnam Doan Thi Huong semasa tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah di Shah Alam, Malaysia, 14 Disember 2018.
Anggota Polis DiRaja Malaysia mengiringi tertuduh warga Vietnam Doan Thi Huong semasa tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah di Shah Alam, Malaysia, 14 Disember 2018.
[AP]

Wanita warga Vietnam, Doan Thi Hung yang dituduh membunuh Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin diktator Korea Utara, dengan mendedahkan mangsa kepada agen saraf bertoksik, VX, berada dalam keadaan baik serta mempunyai keyakinan membela diri, kata peguambelanya pada Jumaat.

Doan Thi Hung dan seorang lagi wanita Indonesia Siti Aisyah telah dituduh membunuh Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin diktator Korea Utara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, pada 13 Febuari 2017.

"Doan berada dalam keadaan baik dan mempunyai keyakinan untuk membela diri. Kami akan menyoal beliau dan kemudian pendakwaan mengemukakan soalan balas,” kata Salim Bashir, seorang daripada tiga peguam yang mewakili Doan kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Beliau berkata, Doan akan memberi keterangan pertamanya sebagai tertuduh semasa prosiding mahkamah pada Isnin, dengan menceritakan versi beliau tentang bagaimana keadaan sebelum, semasa, dan selepas kejadian, selepas dua tahun pembunuhan itu berlaku.

Kedua-dua wanita berkenaan mengaku tidak bersalah dan menegaskan bahawa mereka telah ditipu untuk mempercayai yang mereka dibayar bagi melakukan rakaman aksi gurauan untuk siaran televisyen .

Jika disabitkan kesalahan keduanya berdepan dengan hukuman mati kerana membunuh Jong Nam.

Menurutnya, Doan akan memulakan keterangan dengan membaca kenyataan bersumpahnya dalam bahasa Vietnam yang kemudian akan diterjemah ke bahasa Inggeris oleh seorang jurubahasa.

Perbicaraan tertangguh


Pada 16 Ogos 2018, Doan dan Siti Aisyah diarahkan untuk mengemukakan pembelaan mereka di Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas Hakim Azmi Ariffin memutuskan bahawa terdapat bukti yang mencukupi penglibatan kedua mereka dalam kematian Jong Nam, sekaligus meneruskan perbicaraan dan mengemukakan keterangan membela diri.

Sejak dari itu, penghujahan membela diri pertama Siti Aisyah yang sepatutnya dimulakan pada November lepas telah ditangguhkan sebanyak dua kali, sekaligus membawa kepada tarikh baru perbicaraan pada Mac.

Hakim Azmi membenarkan perbicaraan kes itu ditangguhkan sehingga Januari kerana peguambela Gooi Soon Seng, yang mewakili Siti Aisyah terpaksa mengambil cuti kerana baru sahaja pulih daripada pembedahan pankreas.

Penangguhan kedua pula berlaku selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan pihak peguambela yang mahu mendapatkan keterangan tujuh saksi utama seperti yang telah dirakam di bawah Seksyen 112 Kod Prosedur Jenayah.

Dokumen yang dinyatakan itu adalah kenyataan keterangan kepada polis dari tujuh saksi utama yang ditampilkan oleh pihak pendakwaraya termasuk rakan rapat mangsa, dua pemandu peribadi mangsa di Malaysia dan juga rakan sebilik Siti Aisyah dan individu yang didakwa memperkenalkan Siti Aisyah kepada warga Korea Utara untuk ‘prank show’.

Gooi yang tidak berpuas hati dengan keputusan hakim itu, telah membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan sambil memaklumkan bahawa beliau telah meminta sambungan tarikh perbicaraan pada 7 Januari, dipinda kepada tarikh yang baru sementara menunggu keputusan rayuan.

Peguambela utama Doan, Hisyam Teh Pok Teik semasa sidang media pada 7 November lepas memberitahu yang pihaknya tidak pernah memohon untuk mendapatkan akses terhadap kenyataan keterangan kepada polis oleh tujug saksi yang dipertikaikan kerana kesemua saksi yang terdapat dalam dokumen itu tidak relevan bagi perbicaraan Doan.

"Kami mempunyai antara lima dan enam saksi. Seorang atau dua mungkin rakyat tempatan manakala yang lain adalah warga asing," kata Hisyam.

Saksi luar negara


Bagaimanapun, Naran Singh, seorang lagi peguambela Doan memberitahu BeritaBenar pada Jumaat bahawa selepas disemak semula, bilangan saksi hanya empat orang dengan seorang lagi saksi masih tidak dapat mengesahkan kehadirannya di mahkamah.

"Saksi yang tidak dapat mengesahkan kehadirannya ialah seorang warga asing dan beliau  menolak dan kami sedang berusaha mencari jalan untuk menyelesaikan perkara itu," kata Naran semasa dihubungi.

Namun beliau yakin mengenai kesediaan Doan dalam menghadapi perbicaraan dan soalan balas oleh pasukan pendakwaan, sambil menyifatkan anak guamnya itu ‘nekad’.

"Kami yakin bahawa apabila mendengar semua hujahan dan bukti, saya fikir akan ada yang mengatakan bahawa beliau tidak bersalah," tambah Naran.

Sebelum ini, mahkamah telah dimaklumkan yang Doan dalam kenyataan keterangan yang diberikan kepada polis berkata beliau telah diperkenalkan kepada Ri Ji-hyon, alias Lee yang mendakwa sedang bekerja untuk sebuah syarikat perfileman Korea Selatan dan sedang mencari calon yang mungkin dapat mengambil bahagian dalam rakaman video bergurau [prank] untuk siaran di YouTube.

Nguyen Vich Thuty telah ditawarkan peranan tersebut tetapi menolak kerana beliau terpaksa menjaga anak kecilnya, sebaliknya mencadangkan kepada Ri Ji Hyon supaya bertemu dengan rakan sekerjanya itu ketika lelaki itu datang ke barnya kerana Doan mempunyai pengalaman berbuat demikian dengan sebuah syarikat produksi tempatan Vietnam.

Ri Ji Hyon, yang fasih bercakap dalam bahasa Vietnam, memperkenalkan dirinya sebagai ‘Lee’ dengan turut memaklumkan bahawa ibubapanya berasal dari Vietnam dan Korea.

Afidavit Nguyen menyokong kenyataan keterangan Doan kepada polis Malaysia selepas beliau ditangkap pada 15 Feb 2017 bahawa dia seorang pelakon dan berada di Malaysia untuk merakamkan video lucu.

Nguyen juga berkata Ri Ji Hyon memberitahu Doan bahawa gurauan di dalam video itu akan dilakonkan di lapangan terbang di mana pelakon perlu mencurah air di kepala orang yang tidak dikenali. Tugas berkenaan memerlukan ‘pelakon’ untuk terbang ke bandar-bandar utama di rantau (Asia Tenggara), termasuk Kuala Lumpur.

Afidavit Nguyen dan kenyataan Doan kepada polis adalah konsisten dengan kenyataan Siti bahawa beliau percaya yang dia telah menyertai lakonan bergurau untuk sebuah syarikat perfileman dari Jepun.

Kedua-dua Doan dan Siti Aisyah tidak pernah bertemu sebelum ini dan mereka dipercayai digunakan sebagai kambing hitam dalam kes pembunuhan tersebut.

Pembunuhan itu telah menyebabkan ketegangan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara yang menyaksikan Kuala Lumpur memanggil pulang dutanya di Pyongyang, termasuk mengharamkan rakyatnya melawat negara itu serta membatalkan kemasukan visa percuma kepada warga Korea Utara.

Dalam tindakbalasnya, Korea Utara turut melakukan sekatan perjalanan terhadap warga Malaysia di Pyongyang sehingga tiga pegawai diplomat dan enam orang anggota keluarga mereka terperangkap di negara itu dengan hanya dibenarkan pulang ke Tanahair selepas kerajaan bersetuju menyerahkan mayat Kim Jong Nam dan menghantar pulang tiga warga negara itu yang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia.

Lihat Laman Penuh