KJN: Peguambela Masih Gagal Dapatkan Salinan Keterangan Polis Tujuh Saksi Utama

Hadi Azmi
2018.12.14
Kuala Lumpur, Malaysia
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
181214-MY-KJN1000.jpg Kedua-dua tertuduh kes pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam, Siti Aisyah, seorang warga Indonesia dan rakyat Vietnam Doan Thi Huong sedang dibawa oleh sepasukan polis untuk hadir ke Mahkamah Shah Alam, di Selangor, 14 Dis 2018.
AP

Pasukan peguambela kes bunuh abang tiri pemimpin diktator Korea Utara masih gagal mendapatkan akses terhadap salinan keterangan kepada pihak polis oleh tujuh saksi utama yang ditampilkan oleh pihak pendakwaraya walaupun permintaan telah dibuat di mahkamah, demikian kata peguambela Gooi Soon Seng.

Peguambela itu ditemui media selepas prosiding mahkamah pada Jumaat, selepas rakan sejawat Gooi, Kulaselvi Sandrasegaran membuat permohonan meminta mahkamah mengarahkan pihak pendakwaraya untuk mengeluarkan salinan keterangan kepada pihak polis oleh tujuh saksi utama yang telah dirakam di bawah Seksyen 112 Kod Prosedur Jenayah pada 5 Nov lepas.

Katanya, pembelaan suspek kes pembunuhan akan terjejas melainkan pihak mahkamah membenarkan pihak peguambela mendapat akses kepada salinan keterangan saksi pendakwaraya.

Gooi mewakili anak guamnya, warga Indonesia Siti Aisyah yang dituduh membunuh Kim Jong Nam pada 13 Feb. 2017, yang pada Jumaat telah berhujah di depan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa pendakwaraya tidak wajib dari segi perundangan untuk berkongsi dokumen tersebut dengan pihak peguambela.

“Ini akan menjejaskan kes pembelaan. Kami mesti mengetahui apa sebenarnya yang dinyatakan oleh saksi-saksi tersebut dalam usaha untuk menyediakan pembelaan yang sewajarnya,” kata Gooi.

Dokumen yang dinyatakan itu adalah keterangan kepada polis dari tujuh saksi utama yang ditampilkan oleh pihak pendakwaraya termasuk rakan rapat mangsa, dua pemandu peribadi mangsa di Malaysia dan juga rakan sebilik Siti Aisyah dan individu yang didakwa memperkenalkan Siti Aisyah kepada warga Korea Utara untuk ‘prank show’.

Di bawah Seksyen 112 itu, pegawai polis boleh memeriksa mana-mana individu yang berkait dengan kes dan individu itu perlu menjawab semua soalan yang diberikan kepadanya oleh pegawai tersebut.

Menurut Gooi, alasan yang diberikan oleh Ketua Pendakwaraya Muhamad Iskandar Ahmad bahawa ianya melanggari perundangan Malaysia dan mendedahkan keterangan saksi yang diambil dibawah Seksyen 112 kepada pihak pembela kerana takut saksi akan diganggu.

“Dalam kes ini, saksi-saksi telah ditawarkan kepada pembelaan ketika pihak pendakwaraya menggulung kes mereka. Jadi, isu mengganggu saksi tidak timbul,” kata Gooi.

Beliau menambah kes ini berbeza daripada sebelum ini seperti yang dinyatakan oleh Muhammad Iskandar seperti dalam kes tahun 1946 di mana keterangan diberikan kepada pihak pembela sebelum perbicaraan bermula yang memberikan masa kepada pihak pembela untuk mencari dan mengganggu saksi.

Tambah Gooi lagi, sehingga kini, dia dan pasukannya cuba bercakap dengan dua orang saksi tersebut manakala yang selebihnya tidak dapat dihubungi.

“Mereka tidak dapat dihubungi jadi biar kami lihat keterangan mereka, kenapa mereka sembunyikan keterangan tersebut?

“Keterangan mereka boleh digunakan di mahkamah, jadi tolong berikan kami salinan keterangan tersebut. Itu sahaja yang kami minta,” kata Gooi kepada media selepas prosiding mahkamah.

Sebelum itu ketika prosiding, pihak peguambela turut mengemukakan kepada Hakim Azmi Ariffin contoh-contoh permintaan yang sama untuk keterangan yang diambil di bawah Seksyen 112 di bawah Mahkamah Komanwel di England, Kanada, Australia, Hong Kong, Singapura, India dan Brunei yang lebih baru dari tahun 1946 seperti yang dinyatakan oleh pihak pendakwaraya.

Ketepikan contoh

Muhammad Iskandar walaubagaimanapun memohon hakim untuk mengenepikan contoh yang dikemukakan oleh Gooi atas alasan bahawa Malaysia mempunyai kedaulatan undang-undang dan bidang kuasa sendiri.

“Mahkamah tidak harus melayan permohonan ini. Bidang kuasa kita, undang-undang kita mempunyai tafsiran yang jelas tentang keterangan di bawah Seksyen 112,” kata ketua pendakwaraya itu.

Beliau turut menambah bahawa walaupun beliau telah difahamkan kenapa pihak peguambela meminta supaya dokumen itu diserahkan, pasukan pendakwaraya walaubagaimanapun tertakluk kepada kes mahkamah terdahulu.

Dalam pada itu, Peguam Hisyam Teh Pok Teik yang mewakili tertuduh kedua dalam kes bunuh itu, Doan Thi Huong mengingatkan mahkamah dan pendakwaraya bahawa tertuduh harus diberikan hak kemanusiaan.

“Ketua Hakim Negara pada Selasa bercakap berkenaan hak pihak tertuduh termasuk hak untuk didengari dan peraturan tanpa berat sebelah harus ditegakkan pada setiap masa.

“Ini adalah isu penting bagi sesuatu perbicaraan jenayah,” kata Hisyam yang memetik kata-kata Ketua Hakim Negara Richard Malanjum dalam ucaptama beliau di Pembukaan Dialog Majlis Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan yang bertajuk “Hak tertuduh dalam kes-kes jenayah.”

Hisyam walaubagaimanapun tidak memohon untuk mendapatkan akses kepada keterangan saksi di bawah Seksyen 112 kerana ianya tidak relevan bagi mereka.

Selepas mendengar hujahan, Hakim Azmi berkata, beliau perlukan masa untuk membuat keputusan.

“Saya tidak akan membuat keputusan hari ini kerana saya mahu melihat kes-kes yang dinyatakan dalam hujahan.

“Saya akan membuat keputusan samaada keterangan di bawah Seksyen 112 ini akan diberikan atau tidak pada 18 Disember pada 2.30 petang,” kata hakim sebelum menangguh prosiding.

Pada 1 Mac, 2017, Siti Aisyah dan Doan didakwa membunuh Kim Jong Nam di KLIA2 pada 13 Februari 2017.

Jong Nam yang merupakan anak sulung bekas pemimpin Korea Utara Kim Jong Il, tiba di Malaysia pada 6 Feb dan dijadualkan menaiki pesawat ke Macau pada pukul 9 pagi pada 13 Februari.

Ketika menunggu di KLIA2, Jong Nam dihampiri seorang wanita yang menyembur sejenis cecair kearahnya manakala seorang lagi menekapkan kain kemukanya. Polis Malaysia mengesahkan bahawa agen saraf VX telah digunakan dalam kejadian tersebut sehingga menyebabkan kematian Jong Nam.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.