Perbicaraan Kes Pembunuhan Kim Jong Nam Disambung Semula Minggu Depan

Hareez Lee & N. Nantha
2018.01.19
Kuala Lumpur
180119-MY-KIM-620.jpg Polis Malaysia mengiringi dua wanita Asia Tenggara yang didakwa membunuh Kim Jong Nam dari kompleks Mahkamah Shah Alam dekat Kuala Lumpur, 15 Nov, 2017.
(Fadzil Aziz/BeritaBenar)

Dua wanita Asia Tenggara yang didakwa terlibat dengan pembunuhan abang tiri pemimpin diktator Korea Utara, akan kembali semula ke mahkamah pada Isnin, selepas perbicaraan itu ditangguh selama tujuh minggu, dengan pendakwaraya menjangkakan dapat menyelesaikan tugas mereka pada Mac depan.

Tertuduh, masing-masing seorang warga Indonesia yang dikenali sebagai Siti Aisyah dan rakyat Vietnam Doan Thi Huong, menghadapi hukuman mati mandatori di bawah undang-undang Malaysia, jika didapati bersalah atas kesalahan membunuh Kim Jong Nam itu. Mereka dituduh cuba membunuh Kim dengan senjata kimia dengan menyerang Kim dan menyapu agen saraf VX yang membawa maut pada mukanya di terminal berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, pada 13 Februari 2017.

Kedua-dua wanita itu mengaku tidak bersalah dan menegaskan yang mereka mengambil bahagian dalam aksi gurauan dalam satu rancangan realiti TV. Empat lelaki warga Korea Utara, yang dinamakan sebagai suspek oleh polis Malaysia, telah melarikan diri dari negara itu pada hari serangan itu berlaku.

Pendakwaraya Wan Shaharuddin Wan Ladin menyifatkan kes itu sebagai sukar bagi kedua-dua pihak.

"Ia masih merupakan satu tugas yang sukar untuk kami, masih 50-50. Tetapi sekali lagi, ‘tindakan adalah lebih kuat daripada berkata-kata’ dan tugas berat serta bebanan kepada mereka adalah untuk membuktikan bahawa ia adalah aksi gurauan, " kata Wan Shaharuddin kepada BeritaBenar.

Perbicaraan peringkat permulaan bermula Oktober lepas di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan terakhir pada 30 November lalu, dijangka akan disambung semula Isnin depan, dengan peguam bela dijangka membuat soal balas terhadap penyiasat utama polis. Jadual perbicaraan bagi sesi kali ini akan diadakan selama lima hari pada Januari, dua hari pada Februari dan empat hari dijadualkan pada Mac.

Sebelum ditangguhkan pada sesi sebelum ini, pendakwaraya telah memanggil seramai 26 saksi dan boleh memanggil seramai 20 lagi semasa perbicaraan diteruskan.

"Saya rasa pada bulan Mac kita boleh menyelesaikan kes ini. Satu-satunya saksi yang tinggal adalah pegawai penyiasat, " kata Wan Shaharuddin.

‘Terdapat banyak jurang’

Pegawai penyiasat utama Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz sebelum ini memberi keterangan bahawa Doan, 29, dan Siti Aisyah, 26, dilihat di kamera pengawasan lapangan terbang, menyerang Kim pada kira-kira pukul 9.30 pagi pada 13 Feb, sebelum melarikan diri ke tandas dan kemudiannya menuju ke terminal teksi lapangan terbang berkenaan. Pegawai berkenaan juga  memberi keterangan mengenai empat lelaki Korea Utara yang disiasat atas kemungkinan mempunyai peranan dalam kes pembunuhan itu.

Peguam Doan, Hisyam Teh Poh Teik berkata, pasukan peguam bela berharap dapat menyoal balas Wan Azirul.

"Saya mempunyai banyak perkara yang mahu ditanya kepadanya. Terdapat banyak jurang. Kami sedang melihat soal balas selama tiga hari. Peguam bela bagi Siti Aisyah, Gooi Soon Seng akan menyoal semula IO [Pegawai Penyiasat], kemudian saya, " katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Pegawai penyiasat itu adalah salah satu daripada tiga saksi utama yang sama pentingnya kepada pihak pendakwaraya dan pasukan peguam bela, kata Hisyam. Yang lain telahpun memberi keterangan mereka.

"Kepada kami, orang yang paling penting untuk tempoh masa yang penting semasa perbicaraan ini adalah IO yang dipanggil untuk memberi keterangan," katanya.

Beliau berkata pihak pembelaan berharap bahawa mahkamah tidak memanggil defendan untuk memberi keterangan, tetapi jika itu berlaku, mereka mempunyai empat atau lima lagi saksi lain yang akan dipanggil.

"Ia terlalu awal untuk bercakap mengenai saksi. Tetapi perbicaraan penuh Doan akan diketahui apabila kita mengkaji semula IO, "katanya.

Pasukan pembelaan berhujah bahawa pembunuhan abang tiri pemimpin diktator Korea Utara Kim Jong Un itu, bermotifkan politik, kerana sekurang-kurangnya tiga orang lelaki yang dinamakan sebagai suspek telah dibawa ke lapangan terbang dengan sebuah minivan yang dibeli oleh seorang pegawai kedutaan Korea Utara.

Peguam Siti Aisyah memberitahu Associated Press pada Jumaat bahawa usaha peguam bela telah dihalang oleh bukti yang hilang, khususnya telefon bimbit Kim Jong Nam, yang dihantar pulang ke Korea Utara bersama mayatnya.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.